Thursday, August 21, 2008

Solat Sunat Tahajjud


Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam ialah solat tahajjud. Sabda Nabi saw:

أفضل الصيام بعد رمضان ثهر الله المحرم وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل

“Puasa paling utama selepas Ramadan ialah puasa(sunat) pada bulan Allah iaitu Muharram. Sedangkan solat paling utama selepas solat fardu ialah solat malam (tahajjud)”. (Sahih Muslim, Kitab al-Syiam no.1163)

Solat tahajjud ialah solat sunat pada waktu malam selepas Isyak –sebelum masuk Subuh. Namun, waktu paling utama bertahajjud ialah 1/3 malam terakhir (kira-kira 3.00 pagi – masuk Subuh). Solat ini biasanya diganding dengan solat sunat witir sebagai penutup.

Dalil disyariatkan tahajjud ialah firman Allah swt :

ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا

“dan bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah tahajjud di waktu itu sebagai solat tambahan semoga Tuhanmu membangkit & menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji”. (al-Isra’: 79)

Dalil lebih utama dibuat 1/3 malam ialah sabda Nabi saw:

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة لى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر.يقول : من يدعونى فأستجيب له من يسألنى فأعطيه من يستغفرنى فأغفر له

“Tuhan kita Tabaraka waTaala turun setiap malam ke langit dunia ketika masih berbaki 1/3 malam yang akhir. Allah berfirman : sesiapa berdoa kepada-Ku, pasti Aku makbulkannya , sesiapa meminta kepada-Ku, pasti Aku memberinya , sesiapa mohon ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuninya”. (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1145)


CARA SOLAT SUNAT TAHAJJUD


- Boleh dilakukan 2 rakaat tanpa had tertentu. Malah, solat sunat witir 1 rakaat juga dikira tahajjud. (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1137)

- Jumlah paling utama ialah tak lebih 11 atau 13 rakaat kerana itulah amlan Nabi saw. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir wa Qasruha no. 736 & Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1140)

Boleh juga dibuat 4 rakaat, 4 rakaat kemudian witir 3 rakaat (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1147). Samada 2 tahiyat 1 salam atau 4 rakaat sekaligus 1 salam. Jika solat 4 rakaat 1 salam, setiap rakaat hendaklah dibaca surah atau ayat al-Quran sesudah al-Fatihah.

SUNNAH TAHAJJUD

- Niat sebelum tidur hendak solat sunat itu. Jika sudah berniat tapi tak bangun, Allah tetap kurniakan pahala tahajjud. (Sunan Nasaie, Kitab Qiyam al-Lail no. 1763)

- Hilangkan mengantuk dengan bersugi & berdoa:

لا له لا الله وحده لا شريك له.له الملك وله الحمد وهو على كل شئ قدير. الحمدلله وسبحان الله ولا له لا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة لا بالله

Kemudian ucapkan :

اللهم اغفرلى

(Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no.1154)

Atau baca 10 ayat terakhir surah Ali Imran. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir Wa Qasruha no. 763)

- Mengerjakan solat 2 rakaat yang ringan sebelum bertahajjud. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir Wa Qasruha no. 768 & Fath Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani jld 6 m/s273)

- Solat ini lebih utama dilakukan di rumah sendiri bukan di masjid kerana Nabi saw biasa melakukannya di rumah. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir Wa Qasruha no. 781)

- Mengejutkan ahli keluarga untuk turut bertahajjud bersama. (Sunan Nasaie, Kitab Qiyam al-Lail no. 1592)

- Memanjangkan berdiri dengan membaca surah panjang & melamakan sujud. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir wa Qasruha no. 756 – Sahih Bukhari

Al-Quran Sebagai Pembela di Hari Akhirat


Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya." Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?"

Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?" Maka berkata Al-Qur'an :"Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayahnya dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Monday, August 11, 2008

HENTIAN MANAKAH KITA TUJU?

By: ABDUL AZIM BIN ABD JAMIL









Kehidupan dunia mengajar erti kita dijadikan di muka bumi Allah ini.Terkadang kehidupan dunia ini membuatkan kita lupa dan leka tentang hakikat untuk apa kita ada, untuk apa Allah menciptakan kita.Kehidupan di dunia menjadi satu ladang untuk kita menanam hasil agar dapat dituai semasa di akhirat kelak.Allah menciptakan kehidupan ini sebagai satu medan untuk menguji manusia dan sudah pasti kehidupan ini menjadi tempat persingahan sementara manusia sebelum berangkat ke alam barzakh dan perkampungan akhirat seterusnya.

Mangapa dan untuk apa kita ada?
Pernahkah kita berfikir untuk apa kita ada? Mengapa kita hidup di dunia ini? Apakah dengan keinginan dan rencana kita sehingga kita ada ?.Pasti tidak kerana mustahil untuk kita merencanakan keinginan sedangkan kita belum dilahirkan.Oleh itu, adakah kerana keinginan dan rencana dari kedua ibu bapa yang kita cintai? . Sudah pasti juga tidak kerana berapa banyak suami isteri yang mengiginkan zuriat tetapi masih belum dikurniakannya.Jadi, adanya kita bukan atas kehendak kita malah bukan juga atas kehendak ibu bapa kita,lantas atas kehendak siapa?.

Allah merakamkan sepotong ayat di dalam Al-quran:

“Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan berangsur- angsur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (adapula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai usia sangat tua, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya” (Al-Hajj: 5)

Ya, adanya kita malah makhluk lain adalah atas kehendak Allah yang Maha Pencipta.

Kehidupan di dunia adalah ujian untuk kita.Allah pasti akan menguji amalan manusia sepanjang hidupnya.Mengapa Allah tidak menyatakan yang paling banyak amalannya tetapi Allah menyatakan yang paling baik amalannya.Sudah pasti kita mengetahui bahawa yang baik amalannya adalah mereka yang melakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan dunia.

Kemana selepas ini?

Seringkali kita lupa dan alpa tentang tujuan dan matlamat hidup di dunia.Bersuka ria dan berfoya-foya telah menjadi matlamat hidup kehidupan sesetengah daripada kita.Bagi mengigatkan kembali kenapa kita hidup di dunia ini,saya bawakan hadith tentang syurga dan neraka.

Nabi shalallahu’alaihi wa sallam bersabda:

“Syurga dan neraka telah diperlihatkan kepadaku, maka aku belum pernah memandang hari yang lebih banyak mengandung kebaikan sekaligus keburukan daripada hari ini. Kalau kalian mengetahui apa yang aku ketahui, niscaya kalian akan sedikit tertawa dan banyak menangis” Anas bin Malik melanjutkan, “Tidak ada hari setelah itu yang lebih berat bagi para Sahabat dibandingkan dengan hari tersebut. Pada hari itu, mereka semua menutup kepalanya sambil terisak-isak karena tangisan” (HR Bukhari dan Muslim)

Bagaimana sahabatku sekalian?Adakah hati kita tidak tergetar membaca hadith diatas?Kalau seandainya tidak,maka kita lah orang yang patut dikasihi.Kenapa kita perlu dikasihi?. Para sahabat yang jiwa, raga dan hartanya telah mereka curahkan untuk membela dan memperjuangkan Islam, dengan ketakwaannya mereka adalah manusia yang sangat takut kalau-kalau akhir kehidupan mereka di neraka.Sahabat Rasulullah jelas telah meletakkan matlamat kehidupan mereka di dunia ini hanya untuk mengabdikan diri kepada Allah.Persoalannya terletak pada diri kita bagaimana kita merencanakan matlamat kehidupan kita ini.

Kembara sang hamba.

Bayangkan jika kita dalam sebuah perjalanan untuk menuju suatu pulau. Kemudian dalam perjalanan melewati sebuah pulau kecil, nahkoda memerintahkan agar para penumpang singgah 3 hari untuk mengumpulkan bekal berupa makanan dan minuman. Kemudian kita masuk hutan untuk mengumpulkan bekal. Setiap penumpang bertanggung jawab masing-masing dan tidak dapat saling berkongsi bekal. Semuanya memikirkan keselamatan masing-masing karena begitu berat perjalanan bahkan seorang bapak tidak mungkin mahu berkongsi bekal dengan istri dan anak-anaknya, seorang ibu juga tidak akan mahu berkongsi bekal kepada anaknya, masing-masing sangat memerlukan bekal tersebut untuk keselamatannya.

Apa yang akan kita lakukan dalam 3 hari tersebut? Tentu kita akan memanfaatkan waktu yang hanya 3 hari untuk mencari makanan, mencari buah-buahan dan air segar untuk bekal perjalanan kerana perjalanan masih jauh. Tetapi tidak semua seperti itu sahabatku, banyak diantara mereka malah bersenang-senang di pulau kecil tersebut, membuat rumah bahkan bertingkat-tingkat, bersenang-senang sampai lupa bahawa mereka akan kembali melanjutkan perjalanan sehingga harus mengumpulkan bekal yang cukup untuk sampai ke pulau kampung asal mereka. Ketika nahkoda mengumumkan agar semua penumpang naik ke kapal karena perjalanan akan dilanjutkan, apa yang terjadi?

Sebagian penumpang mengumpulkan bekal yang cukup, sebagian hanya sedikit saja, dan sebagian lagi lupa untuk pulang ke kampung halaman-mereka malah bersenang-senang di pulau tersebut, membuat rumah bertingkat, membuat sawah yang luas, berternak binatang dan lain sebagainya. Orang yang mengumpulkan bekal cukup maka akan sampai ke kampung asal dengan selamat, orang yang mengumpulkan bekal sedikit akan bersakit-sakitan di perjalanan bahkan boleh jadi meninggal dunia, adapun orang yang lupa akan perjalanan akan tinggal dipulau kecil tersebut dan tidak akan pernah kembali ke kampung asalnya. Kemudian tersiar khabar bahwa Pulau kecil tersebut ternyata pada hari ke 7 sudah hilang tersapu tsunami!

Hakikatnya kita semua adalah perantau, kita hanya singgah sebentar di dunia ini. Ingatlah saudaraku, kampung halaman kita adalah di Syurga, nenek moyang kita asalnya tinggal di surga. Bukankah Adam ‘alaihissalam asalnya tinggal di syurga? Kalau kita tidak dapat pulang ke syurga, bererti kita telah terlena seperti penumpang yang bersenang-senang dipulau kecil tersebut.

Agar kita tidak tersesat, agar kita dapat pulang ke kampung halaman-yakni ke Syurga, maka ekita harus mempelajari agama ini dengan serius. Untuk urusan kuliah saja kita dapat serius, berapa banyak waktu, fikiran, tenaga dan dana tercurahkan untuk kuliah? Sekarang, berapa banyak waktu, fikiran, tenaga dan dana untuk menuntut ilmu syar’i yang telah kita curahkan

Jalan petunjuk telah jelas, dan jalan kesesatan juga jelas. Saya yakin bahwa kita akan mengikuti jalan petunjuk, mempelajari ilmu syar’i dan mengamalkannya. Kita tidak akan mahu terlena seperti penumpang yang bersenang-senang di pulau kecil itu.Jangan sampai kita memohon ketika ajal menjemput, pada saat meregang nyawa kemudian kita memohon kepada Allah

(maksud)
Kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang saleh terhadap yang telah aku tinggalkan (Al-Mu’minun :100)

Dan saat itu, keinginanmu tidak pernah akan dikabulkan !

Friday, July 25, 2008

Hassan Al Banna : Semarak Perjuangannya Masih Terasa


Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai keperibadian tokoh pada kali ini iaitu As Syahid Imam hassan Al Banna. Walaupun telah 54 tahun Almarhum meninggalkan kita semua, namun perjuangan dan kegigihannya dalam menegakkan kembali Islam di bumi Mesir tetap kukuh bersemadi dalarn hati sanubari masyarakat Islam hingga ke hari ini.




Tanggal 12 Februari 1949 meninggalkan sejarah hitam dan pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama. Pada tarikh itu dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya. Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok, pemerintah Mesir pada ketika itu.

Imam Hassan Al Banna telah dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al Mahmudiya yang terletak di daerah al Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah keluarga Ulama yang dihormati dan terkenal kerana begitu kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang merendah diri dan hidup dalam keadaan yaug serba sederhana.

Hassan al Banna merupakani anak sulung daripada lima beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad ibn Abd al Rahman al-Banna. adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang beberapa buah kitab hadis dan fikah perundangan Islam, yang berkelulusan dari Universiti Al Azhar Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, pemurah, merendah diri dan tingkah laku yang menarik. Namun beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam di desa al Mahmudiya untuk menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakann untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al Quran dan hadis kepada penduduk tempatan


Ayah Hassan Al Banna


Sebagai seorang ulama, Sheikh Ahmed Abd Rahman al Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari Sunnah Rasulullah dan membincangkannya dengan rakan-rakan di kedai dan di rumah. Hassan al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian dalarn perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran, wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan, keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad al Banna diwarisi oleh Hassan al Banna.

Sifat kepimpinan Hassan al Banna terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pernimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-lkhwan al- Hasafiyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudiannya memainkan peranan penting dalarn penubuhan Ikhwam Muslimin

Keluarga Hassan Al- Banna begitu tegas dalam mendidik anak-anak berdasarkan ajaran Islam. Hal ini menyebabkan beliau telah menghafaz Quran dalam usia yang begitu muda dan telah memasuki Pusat Latihan Perguruan. Selepas tiga tahun di sana beliau mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir. Beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah pada awal usia 16 tahun kerana kebijaksanaan dan ilmu pengetahuannya yang luas.

Semasa di Kaherah, Hassan al Banna terdedah dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular kebanyakannya bertujuan melemahkan pengaruh Islam. Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jamaitul Makram a;-Akhlaq yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hassan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain..


Menubuhkan lkhwan Muslim

Pada Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan al-Banna beserta adik dan lima orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan mati kerana Islam. Di rumah itu jemaah Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan. Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah.

Ketika ditanya mengapa beliau melibatkan diri dalam kerja kerja dakwah, Hassan al Banna dengan tegas menjawab, ia hanya Allah yang tahu berapa malam kita menghabiskan masa untuk memikirkan masalah Ummah, pada peringkat mana mereka telah melaluinya dan kesakitan dan keperitan yang telah mereka lalui. Dan kita merenung sumpahan yang dikenakan atas kesakitan yang dilalui oleh Ummah. Kesukaran dan kepahitan yang dilalui oleh mereka mungkin berakhir dengan munajat dari kita sernua.

Setelah berkhidmat selarna 19 (tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat di bandar. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Di dalam buku "Letter To A Muslim Student" (FOSIS,1995) kedinamikan Ikhwan Muslimin dijelaskan: Pencapaian Hassan al Banna yang paling membanggakan ialah kernampuannya membangunkan organisasi yang canggih dan berjaya menterjemahkan wawasannya dalam kehidupan sebenar. Ikhwan bukan sekadar pertubuhan yang berasaskan sosial, politik atau kumpulan agarria tetapi lebih dari itu.

Menurut Dr. Muhammad Karnal khalifah, Pensyarah di Universiti Cairo melalui mukadimah buku Ikhwan Muslimin dan Masyarakat Mesir, kemunculan Hassan Al Banna yang mendapat inspirasi dari Jamaluddin Al Afghani dan Muhammad Abduh, serta menjalani aliran rakyat melahirkan golongan mukmin yang sebenar-benarnya melalui pengajian dan pembelajaran untuk menyebarkan akidah yang sahih, kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Usaha beliau ini amat dikagumi masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.




Dalam usia yang muda, Hassan al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau dapat meyakinkan para pendengar dengan kebenaran yang dibawa, matlamat dan keikhlasannya. Beliau mampu meyakinkan golongan intelektual dan orang biasa.


Berdasarkan kepimpinannya, Hassan al Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, seterusnya melaksanakan cita cita perjuangan dengan tegas.

lkhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam perebutan kuasa politik. Para penentangnya menyifatkan Ikhwan Muslimin sebagai negara di dalam negara. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangannya di Mesir. Pertubuhan ini telah menubuhkan beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, lkhwan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong (sesetengah sumber menyebut sekitar 3 juta). Lebih 3000 cawangan kesernuanya telah wujud di Mesir dan 50 di Sudan dihasil-kerja Ikhwan yang melangkaui batas negara.

Dalam satu jawapan yang diberikan oleh wartawan barat terhadap dirinya yang bertanyakan siapakah dia, Hassan Al Banna menjawab, saya adalah pelancong yang mencari kebenaran, dan insan yang mencari erti kemanusiaan di kalangan manusia, dan warganegara yang inginkan kemuliaan, kebebasan, kestabilan, hidup yang baik untuk negara dan berjuang untuk menaikkan Islam.

Malah, kerajaan British telah menjemput Hassan al Banna ke kedutaan mereka untuk minum teh. Beliau dipuji kerana perwatakannya yang baik, kerja-kerja kebajikannya untuk membantu anak-anak yatim dan janda. Malah pegawai atasan British menjelaskan bahawa dunia sangat fragile dan Mesir perlu dibangunkan sebagai negara yang moden dan makmur.


Pengharaman Ikhwan Muslimin dan Pembunuhan Hassan AI-Banna

Pengaruh Ikhwan Muslimin yang kuat amat dikhuatiri oleh Kerajaan Mesir di bawah Noqrashi Pasha dari Parti al-Safdi. Pada 8 November 1948 Beliau telah mengharamkan Ikhwan Muslimin atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwan Muslimin menghantar beribu ribu orang pejuang dalam perang menghadapi Israel seolah olah dinafikan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Unit-unit tentera Mesir dan tentera Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestine dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Anggota-anggotanya ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara, di seksa dengan teruk, malah ada yang dibunuh. Apabila seorang wartawan bertanyakan Hassan al-Banna tentang pengharaman itu, beliau menjawab, apabila kata-kata diharamkan, maka tanganlah yang akan menggerakkannya. Begitu mendalam kata katanya.

Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh dan Gerakan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda pergerakan itu telah dirampas dan beribu ribu orang beliau telah disumbatkan ke dalam penjara.

Dengan alasan untuk mengendurkan (mengurangkan) ketegangan (konflik) antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hassan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al Muslimin. Sebenarnya jernputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.

Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan al Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.

Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena ternbakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Walaupun terkena tujuh tembakan, Hasan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.

Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan al Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.


Pengurusan Jenazah

Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan: Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan, jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.

Ayah Hasan al Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyingsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah Almarhum dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.

Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandikan dan mengapankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis ruenjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.

Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Quran. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Abdur Rahman seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah Almarhum.

Pada waktu itu usia Hassan Al-Banna baru mencecah 43 tahun. Anak bongsunya telah dilahirkan pada hari yang sama isteri Hassan Al-Barma menamakannya "Esteshhaad" yang bermaksud syahid.

Pembunuhan Hassan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pernerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pernerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pernerintahan Perdana Menteri Mustafa al Nahhas Basya.

Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.

Pemandu kereta, Sarjan Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat. Major Muhammad al Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan kerja berat.

Sejak pembunuhan terhadap Hassan al Banna, ramai pendukung Ikhwan Muslimin yang telah ditindas dan dizalimi. Namun tindakan tindakan tersebut menyebabkan pertubuhan itu bukan sahaja semakin bertambah kuat di Mesir, malah telah mengembangkan sayapnya di negara-negara Arab. Kebangkitan Islam yang berlaku di negara Arab pada hari ini sebenarnya secara tidak langsung bertitik tolak dari Gerakan Ikhwan Muslimin,

Tegasnya, Hasan al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang pejuang dan harakah Islamiah pada hari ini.

Anak Luar Nikah.. Episod Sedih Masyarakat Kita


Seorang ramaja wanita mengadu sakit perut. ‘Mungkin gastrik agaknya’, duga ibubapanya. Apabila pemeriksaan kesihatan dilakukan gastrik yang disangka, rupanya ada bayi dalam kandungan.

Ini hanyalah satu gambaran kes yang mungkin biasa dijumpai di klinik dan hospital negara kita. Ini bukan lagi carita nadir dalam masyarakat negara kita.

Tidak sampai 2 bulan di bahagian sakit puan sebuah hospital, seorang teman saya telah temui banyak kes kelahiran luar nikah. Ceritanya lagi pesakit termuda yang pernah beliau temui berumur 15 tahun. Akhirnya diijabkabulkan dengan pasangan lelakinya yang berusia 19 tahun.


Cerita teman saya lagi, apa yang menyedihkan ialah bila melihat ada remaja sebegini yang hadir daripada kalangan yang ibubapa mereka tergolong daripada kalangan mereka yang baik-baik.

Aibnya bukan ditanggung seorang diri, ibubapa terpalit sama.

Juga sejarah hitam buat bayi yang tidak sedikit pun bersalah dan berdosa.

‘Habis anta tak tampar ke?’ tanya saya secara berseloroh.

‘Setakat marah je la, nak tampar kena saman pulak kita’, responnya menerusi yahoo messenger.

Saya mula berfikir, bagaimanakah cara terbaik bila berhadapan dengan kes sedemikian yang kemungkinan besarnya akan saya temui bila bertugas nanti. Cara terbaik untuk merawat kegawatan akhlak masyarakat islam di negara kita.

Agaknya apa tindakan anda? Berikan pandangan anda sebagai perkongsian bersama, mana tahu ada gunanya untuk saya kelak.





Unsur meruntuh jiwa yang melata.

Apabila Pengerusi Halehwal Wanitanya (HEWI) PKPIM, saudari Munirah Bahari daripada mencadangkan agar baju kurang pelajar sekolah yang sedikt nipis ditukar atau ditangani dengan pakaian dalam atau tudung labuh, ramai yang mula menyerang cadangan sebegini. PKPIM dicerca.

Idea dan cadangan yang bertujuan untuk mengurangkan gangguan seksual yang melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dinilai dengan emosi tanpa mengkaji munasabahnya.

Baju nipis, pakaian ketat, rambut yang terurai pastinya menjadi satu tarikan kepada lelaki. Ianya boleh menjadi pemangkin kepada gangguan seksual. Lebih teruk lagi rogol, atau zina dengan rela.

Sikap masyarakat dalam berpakaian pada saya merupakan salah satu penyumbang kepada kes-kes zina dan anak luar nikah. Ianya mukaddimah kepada terangsangnya syahwat.

Apabila ada suara hadir untuk menangani hal sebegini, hanya respon negatif banyak yang kedengaran. Seolah-oleh merelakan gangguan seksual terhadap wanita demi mempertahankan hak wanita dalam berpakaian.

Baju kurung sememangnya menutup aurat, tapi sekiranya kain yang digunakan jarang dan nipis aurat masih dikira tidak ditutup. Syariat masih belum tertunai seratus peratus.

Respon segera yang bersifat negatif terhadap cadangan PKPIM ini sangat menyedihkan saya. Hari ke hari kita berhadapan dengan suasana dalam negara yang bersifat meruntuh bukan membina jiwa. Justeru tidak hairan sekiranya kes-kes anak luar nikah, terlanjur dan sebagainya turut melibatkan remaja telah mendapat didikan sempurna daripada ibubapa. Anak ustaz-ustazah, pak iman dan pak lebai turut dalam bahaya.

Kita sewajarnya mulai bimbang apa nasib generasi mendatang. Nasib anak-anak kita, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, masyarakat dan negara.

Sabda nabi saw : Apabila zahirnya zina dalam sebuah kampung, sesungguhnya mereka (ahli kawasan tersebut) telah menghalalkan bagi diri mereka azab Allah. (Riwayat a-Tabrani)

Friday, July 18, 2008

Di antara dua tangisan..


AIR MATA ada kalanya penyubur hati, penawar duka dan ada kalanya ia menjadi buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor yang berlimpahan. Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH SWT persis perata indah yang bergemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru. Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH SWT dan RasulNya, bukan semata-mata kerana harta dan kedudukan serta hal duniawi. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat pula menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil… alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan (pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap kemenangan serta rindu akan RasulNya.

“Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang.” (al-Hasr:20)

Tangis adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW, “Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.”

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Namun ALLAH SWT telah berfirman,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, meyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafa’at Rasulullah SWT yang dikasihi Tuhan.

Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menagis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menagislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, “Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. “Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya, “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang.” Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, “Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.”

Ibnu Mas’ud r.a berkata, “Seseorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur , dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai bersuara keras dan marah.” Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur. “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur dihadapan kami dan perhentian kami ialah ALLAH SWT”

Kita 'Member'


Siapa kata mat rempit tidak boleh dibuat 'member'(kawan)? Kalau betul caranya, sesiapa sahaja boleh dijadikan member. Setiap orang di sekeliling kita perlu kita jadikan mereka sebagai member kita.
Selalu kita dengar kata-kata seperti, “Hendak berkawan mesti kena pilih betul-betul. Jangan berkawan dengan budak tak tentu arah” dan “Berkawanlah dengan penjual minyak wangi, nescaya akan dapat harumannya.Sekiranya berkawan dengan penempa besi, nanti akan terasa bahangnya.”Bagi saya sahabat dan kawan dua watak yang berbeza. Sahabat yang perlu dipilih betul-betul tetapi berkawanlah dengan sesiapa sahaja.Andai kata kita mengelakkan diri daripada berkawan dengan orang yang tidak tentu arah, siapa pula yang akan memberi haruman kepada mereka?Inilah yang ingin saya ceritakan satu pengalaman saya sendiri semasa mengikuti satu program anjuran Kementerian Belia dan Sukan empat bulan yang lepas.
Bagaimana saya terjebak?

Saya menerima tawaran untuk mewakili Matrikulasi UIAM ketika itu walaupun saya baru sahaja menamatkan program matrikulasi saya. Ini kerana program itu berlangsung selama 10 hari dan pihak UIAM tidak mahu membebankan pelajar yang masih belajar. Jadi mereka menawarkan kepada saya dan beberapa orang kawan yang lain.Saya ketika itu yang sedang bercuti tiga bulan tertarik dengan tentatif program yang diberikan. Ada beberapa sesi tentang leadership dan perniagaan terpapar pada tentatif tersebut. Saya terus menerima tawaran tersebut.Saya dan 3 orang lagi MPP Matrikulasi UIAM pergi ke program tersebut iaitu Nabil, Azizuddin dan juga Najwa.

Kejutan

Sebenarnya ada satu perkara yang mengejutkan kami sebaik sahaja kami sampai di tempat berkumpul di Kompleks Belia dan Sukan Lembah Pantai.Apa yang mengejutkan kami ialah hampir 70% peserta lelakinya adalah golongan pelajar bermasalah. Sampaikan yang pakai dressing macam mat rempit pun ramai.Memang ketika itu saya berasa sedikit takut kerana pertama kali bersama dengan golongan mat rempit dalam jumlah yang agak ramai.

Pada hari pertama, memang kami bertiga agak menjauhkan diri sedikit dengan peserta lain. Tegur, tegur juga tetapi tidaklah semesra mana.Pada malam hari pertama itu saya banyak berfikir tentang apa yang saya boleh buat dalam program tersebut. Kalau hendak balik rumah, memang sudah tidak boleh balik.Sudah dari awal pasang niat untuk pergi program leadership, jadi apa kata saya jadikan program tersebut sebagai latihan leadership untuk saya.

Esoknya semasa berjumpa dengan Nabil, dia dengan wajah penuh riang berkata kepada saya dan Aziz, “Mulai hari ni kita putus kawan. Ok tak? Haha.”.“Wah, best juga idea kau ni,” balas Aziz dengan gelak ketawa juga.Rupanya mereka juga memikirkan perkara yang sama. Daripada kami menjauhkan diri daripada peserta lain, lebih baik kami cuba mendekatkan diri dengan mereka. Apa yang bermain di fikiran kami ketika itu adalah inilah dunia realiti di luar.

Misi

Leadership kami dalam program tersebut ialah membimbing mereka semua dan misi kami ialah mencari seberapa ramai kawan yang boleh. Setiap daripada kami bertiga mempunyai perwatakan yang berbeza. Jadi, cara pembawakan kami juga turut berbeza.Nabil yang semasa silamnya turut pernah menjadi antara pelajar bermasalah di sekolah, pembawakannya lebih seperti seorang kawan dengan mereka.Aziz yang merupakan salah seorang fasilitator UIAM lebih suka buat permainan yang berunsur persahabatan yang dapat menarik perhatian mereka semua.Dan saya…. eh. Saya sendiri tak tahu nak describe bagaimana,yang pasti kami semua dapat membuat kawan di dalam kem tersebut.

Kita Member

Apa yang saya belajar daripada pengalaman di sana sangat berguna untuk saya kongsikan di sini.Golongan remaja yang bermasalah bukanlah golongan yang tidak mahu mendengar kata. Seperti yang saya katakan di atas, kalau betul caranya sesiapa sahaja boleh dijadikan member.Apa yang mereka perlukan adalah rasa dihormati oleh masyarakat, dan semestinya semua orang mahu dirinya dihormati. Mahu pendapatnya dihormati. Anda juga begitu bukan?Kalau ingin diri kita dihormati, kita kenalah menghormati orang lain terlebih dahulu. Dengar sahaja mudah tetapi adakah kita dapat menurunkan ego kita untuk menghormati pandangan daripada orang yang kita rasakan diri mereka adalah orang yang bermasalah?

Jadi, apa yang saya lakukan di situ adalah merapatkan diri dengan mereka. Berbual dan gelak ketawa bersama-sama. Setiap apa yang mereka katakan saya sokong tetapi saya tambahkan lagi ’added value’ dalam pendapat mereka. Added value inilah yang memberikan kelainan kepada mereka.Mereka bukannya tidak mahu mendengar kata, tetapi kita perlulah mendengar kata mereka dahulu barulah kata-kata kita akan mereka dengari.

Soft spot

Setiap orang ada sudut kelembutan dalam hatinya walau sekeras mana pun hatinya dan mungkin dapat dilembutkan di sudut-sudut lembut ini.Mungkin jika kita sebut tentang agama mereka masih belum dapat menerima perkara tersebut. Jadi, kita sebut perkara yang mereka suka. Melalui perkara itulah kita akan masukkan nilai tambah supaya sudut lembut mereka itu terarah kepada perkara yang betul.Contohnya, semasa saya cuba bergaul dengan golongan remaja bermasalah ini apabila saya sebut tentang perkara berkaitan agama mereka mula menjauhkan diri. Tetapi apabila saya berbual-bual mengikut apa yang mereka suka seperti muzik dan sebagainya barulah mereka senang dengan tajuk perbualan tersebut. Jadi, pada masa itulah saya masukkan nilai agama dalam perbualan tersebut dan mereka turut sama berbual mengenainya.Nampak mudah tetapi kita kena pandai menyusun strategi.

Kesimpulan

Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut, ”Allah akan menolong hambanya selama mana hambanya menolong saudaranya.”

Jadikan diri kita orang yang selalu membantu orang di sekeliling kita. Setiap orang di sekeliling kita adalah aset kita yang dapat membantu kita secara langsung atau tidak langsung. Tidak kira mereka adalah siapa, mereka tetap saudara kita dan mereka tetap kawan kita.Biarpun hanya dapat mengajak berbuat beberapa perkara yang baik, itu sudah cukup daripada hanya duduk berdiam diri dan mengutuk perbuatan mereka.


*Azree Hanifiah merupakan salah seorang penulis jemputan di iLuvislam.com dan kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang kejuruteraan. Artikel ini dipetik daripada blog beliau; www.studiomuslim.com