Wednesday, June 4, 2014

TELADAN UNTUK KITA:KEPENTINGAN MENJAGA MASA DAN ILMU

بسم الله الرحمن الرحيم
 
||Kisah Ulama Menjaga Waktu dan Ilmu||


Kisah Ibnu Nafis
Beliau adalah seorang doktor perubatan yang terkenal. Beliau juga adalah orang pertama yang menjumpai teori perjalanan darah pada kurun ketujuh Hijrah.
Diriwayatkan bahawa Ibnu Nafis seorang yang tidak suka membuang masa. Apabila ingin menulis beliau akan memalingkan mukanya menghadap dinding, kemudian mula menulis daripada ilmu pengetahuannya tanpa merujuk apa-apa kitab. Dikatakan beliau menulis laju seperti air yang mengalir. Apabila penselnya tumpul beliau akan mencampaknya ke suatu tempat khas kemudian mengambil pensel baru, oleh yang demikian beliau akan pastikan pensel-pensel yang telah diasah tersedia di atas mejanya sebelum memulakan penulisan kerana ditakuti masanya akan terbuang dengan mengasah pensel-pensel berkenaan.
Satu ketika, beliau masuk tandas untuk mandi, kemudian beliau keluar kembali seraya meminta pen, dakwat dan kertas, justeru menulis satu karangan mengenai denyutan nadi. Setelah itu beliau masuk semula ke dalam tandas untuk menghabiskan mandiannya.

Kisah Ibnu Jauzi
Setiap kali selepas mengasah penselnya, Ibnu Jauzi akan mengumpul habuk tersebut di dalam satu bekas khusus. Apabila beliau jatuh sakit, beliau mewasiatkan agar habuk tersebut dijadikan bahan bakar untuk memasak air mandian mayatnya. Apabila beliau wafat, sahabat dan kerabat beliau melaksanakan wasiat yang ditinggalkan, ternyata habuk pensil tersebut sempat memanaskan air mandian mayatnya malah ianya masih berbaki sedikit.

Kisah Imam at-Tabari
Beliau seorang ahli tafsir yang masyhur. Beliau juga terkenal dengan pengawasannya terhadap ilmu pengetahuan. As-Simsimi berkata: “Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa empat puluh tahun.”
Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah meriwayatkan bahawa beliau seorang yang terlalu menjaga rutin hariannya. Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar. Apabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu Feqah sehingga larut malam.
Kalau kita perhatikan, betapa beliau pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan dirinya sendiri. Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun untuk mengambil faedah daripada orang lain.
Sebuah kisah lain, mengisahkan kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang datang menziarahinya ketika beliau sakit. Apabila Imam at-Tabari mendengar salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya, lalu beliau meminta agar diberikan sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: “Apakah kamu masih menulis ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini?” Jawab beliau: “Sememangnya menjadi kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu sahaja hingga mati.”
Kisah Sulaim ar-Razi

Imam Sulaim ar-Razi merupakan seorang yang amat mementingkan masa dan ilmu, warak dan selalu menghisab dirinya. Beliau tidak pernah meninggalkan sedetik waktu tanpa faedah. Sama ada beliau akan belajar, mengajar, menyalin ataupun membaca. Diriwayatkan daripada beliau sendiri: “Aku sempat menghabiskan satu juzuk (bab) bacaanku di dalam perjalanan pulang ke rumahku.”
Perkara ini diakui oleh salah seorang sahabat beliau (al-Muammil bin al-Hassan): “Aku terlihat Sulaim mengasah pensel sambil mulutnya terkumat kamit menyebut sesuatu. Apabila ditanya, aku mengetahui beliau sedang membaca al-Quran semasa mengasah penselnya, kerana ditakuti masa akan berlalu begitu sahaja tanpa beliau mengambil apa-apa faedah ataupun suatu tindakan yang positif.” Inilah dia seorang ulama’ Islam yang hidup di zaman silam, oleh sebab itulah tidak dinafikan bahawa Islam pada zaman mereka telah melalui satu zaman kegemilangan yang tidak ada tolok bandingnya.

Kisah Imam al-Juwaini
Beliau adalah Imam Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi. Katanya: “Aku tak tidur dan tak makan pada kebiasaannya, tetapi apabila terlalu mengantuk aku tertidur, sama ada pada waktu malam ataupun siang, begitu juga aku makan jika aku terasa nak makan, tidak kira masa dan ketika.” Hal ini menggambarkan betapa kelazatannya hanya tertumpu kepada ilmu semata-mata.

Kisah Abu al-Wafa’
Imam Abu al-Wafa’ pernah berkata: “Tidak boleh untukku persiakan setiap detik kuniaan Yang Maha Esa buatku, hatta kalaulah lidahku kelu untuk meneruskan hafalan dan mataku penat menatapi patah tulisan, aku akan berusaha menggerakkan fikiranku dengan memikirkan sesuatu cadangan mahupun permasalahan, aku tidak akan berasa lega dan berpuas hati melainkan setelah aku mendapati jalan penyelesaiannya.”
“Aku juga mendapati, kesusahan menghadapi ilmu ini pada usiaku lapan puluhan lebih daripada usiaku dua puluhan. Aku juga berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan masa makanku, kadangkala hanya memadai dengan sepotong kek dan seteguk air sejuk. Sehingga aku dapat meluangkan semaksima masa yang mungkin untuk ilmu pengetahuanku.” Sesungguhnya harta yang paling berharga di sisi ulama ialah waktu dan ilmu. Kerana waktu itu tidak akan menunggu seseorang sebaliknya tanggungjawab yang datang bertandang pula bertindan-tindan.
Beliau berkata, “Sesungguhnya aku takut berbuat dosa pada Tuhan Yang Rahman selama lima puluh tahun. Kerana selama masa tersebut aku telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang mungkin tidak bertepatan dengan kehendak Allah. Maka doakanlah agar aku diampuni-Nya.”
Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa melainkan kitab-kitabnya yang banyak serta beberapa helai pakaian yang hanya cukup untuk dijadikan kain kafan serta membayar segala hutang-hutangnya. Lihatlah betapa agungnya pengorbanan seorang hamba terhadap tuhannya yang Esa. Walaupun telah banyak mengorbankan masanya demi kepentingan agama, tapi masih tidak berpuas hati, masih lagi takut seksa Ilahi. Tapi kita, apakah yang kita cari? Renungilah perbuatan-perbuatanmu wahai diri.

Kisah Imam ar-Razi
Imam ar-Razi yang merupakan seorang ahli tafsir yang terkemuka pernah berkata bahawa beliau sangat menyesal kerana tidak dapat mengulangkaji ilmu ketika makan. Sesungguhnya masa dan usia itu amat mahal harganya.

Kisah Ibnu Asakir
Diriwayatkan daripada anaknya, al-Qasim: “Ayahku seorang yang terlalu menjaga solat berjamaah dan bacaan al-Quran. Beliau akan khatam al-Quran tersebut pada setiap hari Jumaat dan setiap hari di bulan Ramadhan. Beliau juga sentiasa beriktikaf dalam masjid dan membanyakkan perkara-perkara sunnat serta zikir.”
Salah seorang muridnya (Abu al-Mawahib) juga berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang boleh menandingi Ibn Asakir di dalam banyak perkara, seperti mengikuti cara ibadah yang sama sepanjang empat puluh tahun, sentiasa berada di saf yang pertama setiap waktu sembahyang kecuali jika ada keuzuran, sentiasa beriktikaf di masjid pada bulan Ramadhan dan sepuluh Zulhijjah, tidak meminta untuk menjadi seorang pemimpin ataupun khatib (pembaca khutbah, kerana martabat pembaca khutbah pada masa itu terlalu tinggi), beliau juga selalu menasihati manusia ke arah kebaikan dan melarang mereka daripada berbuat kejahatan, tanpa gentar kepada sebarang ugutan ataupun celaan orang-orang yang mencela.”

Kisah Ibnu Malik
Beliau adalah seorang ahli Nahu yang terkenal. Seorang yang banyak merujuk dan cepat menyemak. Beliau tidak akan menulis sesuatu tanpa merujuk kepada kitab asal. Para sahabatnya tidak pernah melihat beliau membuat perkara yang sia-sia, kecuali melihat beliau sama ada sedang solat ataupun membaca al-Quran ataupun mengarang ataupun membaca kitab.
Apabila anak lelakinya datang melawat beliau masa sakitnya, bersama anak tersebut lapan bait (baris) syair, maka beliau meminta agar anaknya membaca syair-syair tersebut kemudian beliau menghafalnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kisah-kisah di atas dirujuk dari kitab “Nilai Masa di Sisi Ulama” karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Kitab ini antara lainnya menceritakan kesabaran para ulama silam mencari ilmu walaupun terpaksa berpisah daripada isteri kesayangan, anak yang menjadi cahaya kehidupan, bahkan mereka sanggup mengurangkan rutin harian mereka seperti makan, minum, serta tidur.
Oleh sebab itu, tidak pelik jika kita perhatikan Islam pernah gemilang pada zaman dahulu, malah kita masih berbangga dengan kegemilangan tersebut hingga ke hari ini. Apakah cukup hanya dengan kita berbangga? Adakah Islam akan kembali gemilang dan memerintah dunia hanya kerana kita bangga dengan apa yang umat Islam telah capai dahulu? Jawabnya, tidak.
Justeru itu, marilah kita mendalami kisah hidup para ulama’ yang hidup pada zaman tersebut, pada tangan merekalah datangnya kegemilangan. Apakah yang mereka lakukan sehingga mereka menjadi begitu hebat? Inilah dia pegangan mereka, mereka sanggup melakukan segala-galanya kerana pentingkan ilmu, hanya demi agama Allah yang suci murni.
Semoga dengan kisah-kisah ini kita mendapat motivasi dan ibrah untuk kebaikan hidup kita. Insya Allah.



والله أعلمُ بالـصـواب

SEBARKAN KASIH SAYANG ALLAH#
BADAR KTC BERSAMAMU#

No comments: