Selalu kita dengar kata-kata seperti, “Hendak berkawan mesti kena pilih betul-betul. Jangan berkawan dengan budak tak tentu arah” dan “Berkawanlah dengan penjual minyak wangi, nescaya akan dapat harumannya.Sekiranya berkawan dengan penempa besi, nanti akan terasa bahangnya.”Bagi saya sahabat dan kawan dua watak yang berbeza. Sahabat yang perlu dipilih betul-betul tetapi berkawanlah dengan sesiapa sahaja.Andai kata kita mengelakkan diri daripada berkawan dengan orang yang tidak tentu arah, siapa pula yang akan memberi haruman kepada mereka?Inilah yang ingin saya ceritakan satu pengalaman saya sendiri semasa mengikuti satu program anjuran Kementerian Belia dan Sukan empat bulan yang lepas. Bagaimana saya terjebak?
Saya menerima tawaran untuk mewakili Matrikulasi UIAM ketika itu walaupun saya baru sahaja menamatkan program matrikulasi saya. Ini kerana program itu berlangsung selama 10 hari dan pihak UIAM tidak mahu membebankan pelajar yang masih belajar. Jadi mereka menawarkan kepada saya dan beberapa orang kawan yang lain.Saya ketika itu yang sedang bercuti tiga bulan tertarik dengan tentatif program yang diberikan. Ada beberapa sesi tentang leadership dan perniagaan terpapar pada tentatif tersebut. Saya terus menerima tawaran tersebut.Saya dan 3 orang lagi MPP Matrikulasi UIAM pergi ke program tersebut iaitu Nabil, Azizuddin dan juga Najwa.
Kejutan
Sebenarnya ada satu perkara yang mengejutkan kami sebaik sahaja kami sampai di tempat berkumpul di Kompleks Belia dan Sukan Lembah Pantai.Apa yang mengejutkan kami ialah hampir 70% peserta lelakinya adalah golongan pelajar bermasalah. Sampaikan yang pakai dressing macam mat rempit pun ramai.Memang ketika itu saya berasa sedikit takut kerana pertama kali bersama dengan golongan mat rempit dalam jumlah yang agak ramai.
Pada hari pertama, memang kami bertiga agak menjauhkan diri sedikit dengan peserta lain. Tegur, tegur juga tetapi tidaklah semesra mana.Pada malam hari pertama itu saya banyak berfikir tentang apa yang saya boleh buat dalam program tersebut. Kalau hendak balik rumah, memang sudah tidak boleh balik.Sudah dari awal pasang niat untuk pergi program leadership, jadi apa kata saya jadikan program tersebut sebagai latihan leadership untuk saya.
Esoknya semasa berjumpa dengan Nabil, dia dengan wajah penuh riang berkata kepada saya dan Aziz, “Mulai hari ni kita putus kawan. Ok tak? Haha.”.“Wah, best juga idea kau ni,” balas Aziz dengan gelak ketawa juga.Rupanya mereka juga memikirkan perkara yang sama. Daripada kami menjauhkan diri daripada peserta lain, lebih baik kami cuba mendekatkan diri dengan mereka. Apa yang bermain di fikiran kami ketika itu adalah inilah dunia realiti di luar.
Misi
Leadership kami dalam program tersebut ialah membimbing mereka semua dan misi kami ialah mencari seberapa ramai kawan yang boleh. Setiap daripada kami bertiga mempunyai perwatakan yang berbeza. Jadi, cara pembawakan kami juga turut berbeza.Nabil yang semasa silamnya turut pernah menjadi antara pelajar bermasalah di sekolah, pembawakannya lebih seperti seorang kawan dengan mereka.Aziz yang merupakan salah seorang fasilitator UIAM lebih suka buat permainan yang berunsur persahabatan yang dapat menarik perhatian mereka semua.Dan saya…. eh. Saya sendiri tak tahu nak describe bagaimana,yang pasti kami semua dapat membuat kawan di dalam kem tersebut.
Kita Member
Apa yang saya belajar daripada pengalaman di sana sangat berguna untuk saya kongsikan di sini.Golongan remaja yang bermasalah bukanlah golongan yang tidak mahu mendengar kata. Seperti yang saya katakan di atas, kalau betul caranya sesiapa sahaja boleh dijadikan member.Apa yang mereka perlukan adalah rasa dihormati oleh masyarakat, dan semestinya semua orang mahu dirinya dihormati. Mahu pendapatnya dihormati. Anda juga begitu bukan?Kalau ingin diri kita dihormati, kita kenalah menghormati orang lain terlebih dahulu. Dengar sahaja mudah tetapi adakah kita dapat menurunkan ego kita untuk menghormati pandangan daripada orang yang kita rasakan diri mereka adalah orang yang bermasalah?
Jadi, apa yang saya lakukan di situ adalah merapatkan diri dengan mereka. Berbual dan gelak ketawa bersama-sama. Setiap apa yang mereka katakan saya sokong tetapi saya tambahkan lagi ’added value’ dalam pendapat mereka. Added value inilah yang memberikan kelainan kepada mereka.Mereka bukannya tidak mahu mendengar kata, tetapi kita perlulah mendengar kata mereka dahulu barulah kata-kata kita akan mereka dengari.
Soft spot
Setiap orang ada sudut kelembutan dalam hatinya walau sekeras mana pun hatinya dan mungkin dapat dilembutkan di sudut-sudut lembut ini.Mungkin jika kita sebut tentang agama mereka masih belum dapat menerima perkara tersebut. Jadi, kita sebut perkara yang mereka suka. Melalui perkara itulah kita akan masukkan nilai tambah supaya sudut lembut mereka itu terarah kepada perkara yang betul.Contohnya, semasa saya cuba bergaul dengan golongan remaja bermasalah ini apabila saya sebut tentang perkara berkaitan agama mereka mula menjauhkan diri. Tetapi apabila saya berbual-bual mengikut apa yang mereka suka seperti muzik dan sebagainya barulah mereka senang dengan tajuk perbualan tersebut. Jadi, pada masa itulah saya masukkan nilai agama dalam perbualan tersebut dan mereka turut sama berbual mengenainya.Nampak mudah tetapi kita kena pandai menyusun strategi.
Kesimpulan
Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut, ”Allah akan menolong hambanya selama mana hambanya menolong saudaranya.”
Jadikan diri kita orang yang selalu membantu orang di sekeliling kita. Setiap orang di sekeliling kita adalah aset kita yang dapat membantu kita secara langsung atau tidak langsung. Tidak kira mereka adalah siapa, mereka tetap saudara kita dan mereka tetap kawan kita.Biarpun hanya dapat mengajak berbuat beberapa perkara yang baik, itu sudah cukup daripada hanya duduk berdiam diri dan mengutuk perbuatan mereka.
*Azree Hanifiah merupakan salah seorang penulis jemputan di iLuvislam.com dan kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang kejuruteraan. Artikel ini dipetik daripada blog beliau; www.studiomuslim.com
No comments:
Post a Comment