Friday, March 20, 2009

Induksi Badar dan Ajk Surau

Salam ukhuwah dan salam muhibbah.

Alhamdulillah, pada 13 dan 14 Mac yang lalu, badar telah berjaya menyempurnakan program induksinya dengan izin Allah s.w.t. Induksi gabungan Badar dan ajk surau ini diadakan dengan matlamat untuk mengenengahkan para peserta dengan ilmu-ilmu pengurusan serta kepimpinan serta merapatkan lagi ukhuwah diantara ahli-ahlinya. Bermula dengan pengenalan kepada Badar oleh mantan pengerusi Badar, Saudara Azim Jamil, peserta kemudiannya bertaaruf untuk lebih mengenali sahabat dan sahabiah masing-masing. Kata orang, ‘Tak kenal, maka tak cinta’. Slot taaruf ini dan slot-slot seterusnya dikelolakan oleh saudara Firdaus dan Saudara Fatah serta dibantu oleh saudari Hismawati dan saudari Shahida.

Keesokan harinya, selepas berqiamullai dan solat subuh berjemaah, peserta diberi sedikit pengisian untuk mengisi hati-hati yang dahagakan ilmu. Pengisian mantap bertajuk ukhuwah dalam berorganisasi, banyak menyedarkan peserta betapa pentingnya ukhuwah itu sendiri. Tanpa ukhuwah, masalah miss communication akan berlaku dan ini akan merencatkan perkembangan malahan aktiviti sesuatu organisasi itu sendiri.

Program kemudiannya diteruskan dengan slot-slot yang disusun khas untuk memantapkan lagi para peserta. Bermula dengan perancangan strategik oleh saudara Ridwanto, Mesyuarat berkesan oleh saudari Junainah, Pengurusan kertas kerja dan pengurusan masa oleh saudara Hafiz Muhamad dan akhirnya diakhiri oleh saudara Izwan dalam slotnya, Strategi Perancangan. Setiap slot disampaikan dalam bentuk yang kreatif dan berbeza-beza membuatkan para peserta tidak jemu mahupun bosan. Setiap slot juga diselang-selikan dengan LDK untuk memberi lebih kefahaman kepada para peserta. LDK-LDK yang dijalankan pula menjurus kepada pelaksanaan program yang akan diadakan pada malam harinya. Ini bagi membolehkan para peserta mengaplikasikan semua teknik yang dipelajari sebelumnya.

LDK terakhir yang dijalankan cukup menarik yaitu para peserta diberi task dalam tulisan jawi untuk membeli 1 hamper dan barang-barang keperluan untuk program Hari Keluarga Badar dan Ajk Surau yang akan diadakan selepas solat isyak pada hari yang sama. Peserta dibekalkan dengan sejumlah wang dan dikehendaki bergerak dalam kumpulan. Segala aktiviti pembelian hendaklah dilakukan diluar universiti sama ada di Jusco mahupun Giant dengan menaiki kenderaan awam seperti bus, teksi, komuter, LRT dan sebagainya. Para peserta juga dilarang sama sekali untuk membeli barang-barangan yang diboikot dan hendaklah berkumpul semula di bilik seminar pada waktu yang ditetapkan. Alhamdulillah, para peserta dapat berkumpul semula dalam waktu yang ditetapkan dan tidak lalai dengan nikmat dunia.

Setelah penat merancang dan menjalankan gerak kerja dalam tempoh masa yang singkat, para peserta akhirnya berjaya juga melaksanakan Hari Keluarga selaku majlis penutupan induksi. Walaupun masih terdapat kekurangan, namun segalanya berjalan seadanya. Diharapkan para peserta tidak mensia-siakan pengalaman dan ilmu-ilmu yang diperolehi kerana mereka yang hadir adalah peserta-peserta terpilih yang dipilih Allah untuk menerima input-input berharga yang tidak ternilai dengan wang ringgit dunia. Wallahua’lam.

Tuesday, March 10, 2009

LOVE is CINTA


"Cinta yag lazimnya ditujukan kepada pemuas nafsu semata, sebenarnya ialah cinta yang diilhamkan kepada haiwan"
(Al-Farabi)

Lampu kuning anda berhenti. Itulah tindakan yang betul berpandukan teori yang telah dipelajari di dalam kelas memandu. Tetapi kereta dibelakang membunyikan hon dengan kuat. Hon sekali. Sekali lagi. Berkali-kali. Kita rasa seperti bersalah. Lampu kuning bersedia untuk berhenti atau perlu terus laju, lebih laju sebelum munculnya lampu merah? Serba salah dibuatnya. Kita betul dari segi teori, tetapi praktikalnya semacam salah pula. Persoalan timbul. Mengapa?

Sebab ramai orang yang apabila lampu kuning , begitulah gelagatnya, 'speed' makin laju. Lalu kita yang 'skema' ini terasa semacam salah pula. Tetapi benarkah kita yang bersalah? Jawabnya tidak! Tunggu hingga polis trafik ada di hadapan, waktu itu barulah terserah siapa yang benar.



Begitulah analoginya yang dikaitkan dengan trend ber'couple' yang kini sudah menjadi budaya. Budaya itu semacam dianggap betul. Ramai yang terlibat. Masyarakat sekarang semacam sudah biasa dan lali dengannya. Apa tidaknya, kalau diperhatikan dengan mata kasar sahaja, budaya berpasangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram ini sudah diterima sebagai suatu yang trendy dalam kalangan remaja. Sesetengah ibubapa pula suka dan rela membenarkan anak-anaknya ber'couple'. Itu sebagai tanda 'sporting'. Jika tidak, diri dianggap ketinggalan zaman pula.

Bila yang buruk diamalkan secara meluas dan berterusan, terasa pula yang baik itu semacam suatu kejanggalan. Akhirnya, yang baik nampak buruk, yang buruk nampak baik. Ini bukan silap mata tetapi ini silap hati. Begitulah bila ber'couple' sudah menjadi budaya-dosa dianggap perkara biasa. Al-hasil, pergaulan bebas yang sinonim dengan budaya couple ini sudah tidak dianggap bahaya lagi.........tidak seperti bahayanya dadah, arak malah rokok. Rokok? Tak Nak. Ber'couple'? Jawablah sendiri....

" Dan jika kamu mengikut sebahagian besar umat (majoriti) manusia di atas muka bumi ini nescaya kamu akan disesatkan dari jalan Alah" ( Al-An'aam 6:116)
Assalamualaikum w.b.t dan salam perpaduan.


Saban tahun, kita meraikan maulidur rasul pada setiap 12 Rabiulawal.Tarikh keramat ini begitu bermakna bagi umat islam kerana pada hari tersebut lahirlah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu, pernahkah kita terlintas sebab musabab mengapa kita meraikannya?? Ini adalah kerana kita ini, umat akhir zaman yang tidak pernah melihat Nabi, para sahabat Nabi dan para solehin terdahulu. Iman dan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad SAW hanya senipis kulit bawang, tidak sepadan dengan kecintaan para sahabat kepada Nabi. Para sahabat melihat sendiri Nabi, membuatkan kecintaan mereka kepada baginda sangatlah tinggi. Mereka tidak perlukan program-program seperti sambutan Maulidur rasul untuk meningkatkan kecintaaan mereka kepada baginda. Tetapi program-program seperti ini memang sangat baik untuk kita yang tidak sempat melihat baginda, dan dengan kecintaan kita kepada baginda yang hanya senipis kulit bawang ini.

Sesungguhnya mencintai Nabi Muhammad itu wajib, Ini dapat kita fahami daripada hadith-hadith baginda sebagaimana di bawah:

“Tidak beriman seorang daripada kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” (Bukhari & Muslim)

“Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) lebih dicintainya daripada isterinya, hartanya dan seluruh umat manusia.” (Bukhari & Muslim)

“Cintailah aku (Rasulullah), kerana Allah mencintai aku.” (Turmizi)

Abu Razin al-Uqaili bertanya: “Ya Rasulullah, apakah iman itu?” Jawab baginda: “(Iman itu ialah) Allah dan Rasul-Nya lebih kamu cintai daripada yang lain-lain.” (Ahmad)

Sesungguhnya mencintai Nabi Muhammad itu terbukti sesuatu yang wajib. Apakah kita fahami erti “cinta” yang dimaksudkan ini? Secara mudahnya cinta ialah “selalu teringat-ingat, selalu dicakap-cakap”. Apa benda yang banyak kita ingat dan banyak kita cakapkan, maka itulah benda yang kita cinta. Contohnya seorang yang minat memancing, malah sampai ke tahap gila memancing. Pasti dalam fikirannya selalu teringat-ingat tentang hal ehwal memancing. Dia juga berasa suka untuk berbicara tentang pancing-memancing dengan orang-orang yang ditemuinya. Jadi, jika benar kita ini mengaku mencintai Allah dan Nabi, sudah tentulah kita selalu teringat-ingat dan suka berbicara tentang Allah dan Nabi- ringkasnya hal ehwal berkaitan agama.

Dalam kita menyambut hari kelahiran baginda, janganlah kita sekadar meraikannya. Lebih penting ialah bagaimana mahu mencontohi baginda dalam kehidupan seharian kita. Allah menjelaskan dalam surah Al-Ahzab ayat 21, “ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat”.

Oleh itu, sama-samalah kita mempelajari dan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah. Walaupun tidak mampu banyak, sedikit sudah mencukupi dalam membentuk peribadi dan sahsiah diri.

Wallahualam.
Salam Maulidur Rasul.
(a copy from Qalbu Fiqri BADAR 09)

Friday, March 6, 2009

seketul daging bernama 'HATI'

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah

Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126)