Friday, July 31, 2009

Forum Israk Mikraj


Alhamdulillah..selesai sudah majlis isra' mikraj yang dianjurkan oleh Biro Kerohanian JKM KTC. Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada barisan ajk pelaksana yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan program kali ini. Terima kasih juga kepada para hadirin yang sudi memeriahkan majlis ilmu ini. Semoga hadirin yang hadir mendapat limpahan rahmat dari para malaikat yang melebarkan sayapnya.

Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .”-Hr At-Tarmizi


Namun berjayanya sesebuah program tidak boleh diukur dengan hanya melihat dengan mata kasar, mendengar dengan telinga lebar dan menghayati dengan hati luhur. Tetapi, perlu diukur sejauh mana hadirin menghayati intipati dari ulasan-ulasan para ilmuan (Dr Mohd Ismail Mustari dan Utz Mohd Rifqi Maidin) dengan tajuk kupasan 'Disebalik yang tersurat dan tersirat' dalam isra' mikraj itu sendiri. Selaku moderator, Saudara Muhajirih Ahmad turut membawa hadirin mendalami secara lebih mendalam mengenai topik yang dibicarakan dengan soalan-soalan dan kesimpulan mantap.

Israk dan Mikraj

Bulan Rejab kian hampir melabuhkan tirainya. Maka semakin terasa dekatnya pertemuan dengan bulan mulia lagi penuh rahmat, iaitu Ramadan al-mubarak. Namun, di penghujung Rejab yang mulia ini, kita terpanggil untuk merenung sejenak peristiwa yang besar dan bermakna bagi seluruh umat. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah peristiwa Israk Mikraj yang menakjubkan, yang berlaku pada malam 27 Rejab, tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad SAW.


Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya.

Sungguhpun peristiwa luar biasa yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah itu mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun kita selaku umat Islam wajib percaya dan mengyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.


Tersurat dan tersirat

Salah satu intipati israk mikraj yang banyak disentuh oleh ahli panel adalah mengenai perintah solat yang diwajibkan 5 kali sehari semalam. Bagaimana kepentingannya dan kelebihannya diceritakan sendiri melalui pengalaman-pengalaman menarik yang dialami oleh ahli-ahli panel sendiri. Ingin tahu pengalaman-pengalaman benar yang menarik, penuh ikhtibar, nasihat dan panduan??? Maka boleh la download rakaman forum di blog Saudara Abdul Azim Abdul Jamil .
Semoga beroleh banyak manfaat darinya. Wallaua'lam.

Thursday, July 30, 2009

Pembinaan identiti diri

Gambar hiasan: antara dua jalan

Setiap manusia mempunyai keperibadiaan tersendiri. Peribadi juga dikaitkan dengan akhlak. Istilah ini secara intelektual disebut sebagai identiti diri.

Identiti Diri atau makna yang seumpamanya sebenarnya berkait rapat dengan persoalan iman. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Didalam badan manusia ini terdapat seketul daging, jika baik daging tersebut maka baiklah seluruh jasadnya. Jika buruk(rosak) daging tersebut, maka rosaklah seluruh jasadnya. Dan ia adalah hati”.

Perkaitan identiti diri dan iman seseorang adalah berkadar lansung. Jika seseorang itu mempunyai iman dan akhlak yang baik maka keperibadian dan identiti diri yang terserlah adalah baik dan begitulah sebaliknya pula.

gambar hiasan: Peribadi muslim sejati itu yg dicari


Bagaimana mengawal identiti diri

Dalam membicarakan persoalan mengawal identiti diri ia secara automatik juga membincangkan perkara mengawal iman seseorang. Dalam dunia yang serba mencabar ini, manusia diuji dengan pelbagai perkara melalui pelbagai cara. Setiap mereka punyai ujian yang tersendiri. Pengawalan ini identiti diri tidak punyai cara yang berbeza mengikut ujian yang mereka hadapi. Cukup sekadar ia dapat memelihara identiti dirinya ke arah kebaikan justeru datanglah cabaran dari pelbagai arah dan peringkat mana pun, insyaAllah akan dapat mereka hadapinya. Justeru, dapat dikeluarkan satu maklumat penting bahawa bukanlah ubat yang harus dicari melihatkan kepada penyakit yang dihadapi tetapi benteng atau pertahananlah yang harus dibina untuk mengelak dari penyakit yang bakal mendatang. Selari dengan pepatah melayu ada menyebut
“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati”.
Dalam mencari jalan mengawal iman atau hati ini, kata ulama' mereka perlu melihat dari mana datangnya sumber kerosakan hati atau iman ini. Sumber kerosakan utama seseorang itu kadang-kadang berbeza-beza namun rawatannya adalah sama jika dapat sumber-sumber ini dapat dipatahkan atau dialurkan kearah yang baik. Disini ana menyebut satu sumber utamanya adalah melalui mata. Melalui pandangan mata, otak menafsir dan perbuatan menggerakan anggota jasad. Mata adalah laluan pertama atau checkpoint pertama sebelum menjuruskan kepada perkara-perkara lain. Wallahu'alam.

~Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad ~

Tuesday, July 21, 2009

Say NO to BONCENG


bannerbonceng2


Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia (PMIUTM) mengambil langkah proaktif bagi mencegah gejala sosial dikalangan mahasiswa dengan menubuhkan Badan Bertindak UTM Zon Larangan Bonceng.


Badan bertindak ini bertujuan membenteras gejala bonceng dikalangan siswa-siswi yang bukan mahram yang berleluasa sekarang. Menurut Pengerusinya Ismail Bin Sirajudin, Badan bertindak ini akan mengumpulkan 10,000 tandatangan pelajar selain mendapatkan sokongan dari pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pensyarah-pensyarah, Pengetua-Pengetua Kolej, Dekan-dekan Fakulti, Pihak keselamatan, Pusat Islam UTM dan jika perlu akan dirujuk ke peringkat Mufti Johor bagi menjayakan penguatkuasaan ini.


Menurutnya lagi, gejala membonceng dengan bukan mahram ini memberi imej buruk kepada pelakunya sahaja malahan kepada masyarakat kampus keseluruhanya. Kes gejala sosial agak meruncing di kampus ini sehingga menyebabkan kematian, merujuk kepada kematian seorang siswi baru-baru ini


sumber : http://utmsayno2bonceng.blogspot.com/

Sunday, July 19, 2009

Analisis kritikal rancangan TV

Tanyalah remaja-remaja hari ini, siapa yang tidak tahu apa itu Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in a Million, Bintang RTM, Bintang Klasik, Mentor, Bintang Kecil, Sehati Berdansa, Geng Starz, U think U Can Dance?, My Starz LG, dan Raja Lawak.? Dan mungkin juga ada lagi rancangan reality TV yang lain yang tidak mampu untuk saya senaraikan di sini.


Hari ini saya meminta bantuan sahabat-sahabat saya untuk menyenaraikan program-program berunsur hiburan dan agama. Banyak sekali rancangan hiburan berjaya disenaraikan tetapi untuk rancangan yang berunsur ilmu hanyalah beberapa jenis sahaja. Antaranya hanyalah Akademi Al-Quran, Gadis Melayu, Akademi Nasyid, Cari Menantu dan Tilawah al-Quran sahaja. Bukan salah sahabat-sahabat saya yang kurang tahu tentang rancangan berunsur agama, tetapi hakikatnya memang ianya tidak wujud sebanyak rancangan berunsur hiburan!


Ligat otak saya berfikir, apakah peranan media dewasa ini hanyalah untuk memberikan hiburan melampau yang tidak sudah-sudah kepada masyarakat? Saya ambil contoh yang cukup mudah. Seawal usia anak-anak kecil yang masih berada di sekolah rendah, yang masih tidak tahu mengaji al-Quran, tidak kenal siapa Rasul dan Allah, sudah pun diajar untuk menjadi bintang melalui rancangan Bintang Kecil.

Bagi anak-anak muda remaja pula yang masih perlukan bimbingan untuk menjadi bintang, ada tersedia ‘mentor-mentor’ di TV3 dan Akademi Fantasia. Bagi mereka yang agak matang pula dan ingin menjadi bintang-bintang berkerlipan di angkasa, ada Malaysian Idol, One in a Million, Geng Starz, Bintang RTM, Bintang Klasik dan My Starz LG.

Tidak cukup dengan itu, bagi mereka yang tidaklah bersuara merdu tetapi pandai menari, ada lagi ruang yang tersedia untuk tetap menjadi popular iaitu U Think U Can Dance?, Sehati Berdansa dan yang terbaru, Sayang, U Can Dance! Bagi mereka yang pandai membuat lawak pula, Raja Lawak tidak terkecuali.

Nah! Habis sudah semuanya. Pihak televisyen masing-masing berlumba-lumba ‘mambantu’ rakyat Malaysia yang ingin mengejar populariti. Apa lagi yang ada untuk pencinta-pencinta ilmu? Yang tinggal hanyalah 4 hingga 5 sahaja program reality yang boleh dijadikan manfaat.
Sebab itu, tidak hairanlah jumlah penonton Akademi Nasyid, Akademi al-Quran, Gadis Melayu dan Cari Menantu mencecah jutaan orang. Nyata dan terbukti, masyarakat sedang dahagakan rancangan-rancangan ilmiah yang mendidik jiwa dan sesuai dengan identiti timur yang penuh kesopanan.



Manfaat Program Realiti TV

Ya, tidak dinafikan program-program hiburan tersebut masih ada manfaatnya. Saya boleh berikan 2 manfaat utama. Pertama sekali kepada mereka yang ingin menjadi popular tersebut. Kalau nasib menyebelahi diri, mereka akan menang dan mendapat kenikmatan material yang melimpah ruah dalam sekelip mata sahaja. Dan yang paling penting, rakyat Malaysia mengenali mereka.

Daripada orang biasa, terus menjadi orang yang luar daripada kenormalan. Kedua, kepada pihak penganjur. Program-program reality TV biasanya mengharapkan undian daripada penonton. Contoh yang paling mudah, AF UNDI MAWI. Jadi, peminat-peminat Mawi pun berpusu-pusulah menghantar undian. Akhirnya, Mawi ditakdirkan menang, dapat hadiah bermacam-macam, berjuta-juta.


Tapi pengundinya pula dapat apa? Adakah Mawi memberikan sekurang-kurangnya RM 10 kepada pengundinya sebagai tanda terima kasih? TIADA! Bagi pihak penganjur pula, nilai yang mereka korbankan sebagai hadiah untuk pemenang-pemenang hanyalah sebesar kuman jika hendak dibandingkan dengan nilai yang mereka berjaya kumpulkan daripada undian SMS peminat-peminat tersebut.


Yang Tidak Enak

Walaupun saya belum menyatakan dengan jelas akan perkara-perkara yang kurang enak pada program realiti yang berbentuk hiburan ini, sudah ada seorang sahabat saya yang berbangsa India menyuarakan, “Berlaku PEMBAZIRAN, la.” Ya, tepat sekali.

Ini salah satunya yang paling dekat terkena pada orang yang murah kredit untuk mengundi bakal artis kesayangan mereka. Seperti huraian di atas, samada manusia yang mereka minati itu menang atau kalah, duit mereka tetap habis dan mereka tidak mendapat sebarang kelebihan daripada artis-artis tersebut.

Apabila kita tinjau dari sudut pakaian, sudah pasti ramai yang bersetuju dengan saya bahawa tiada pakaian mereka yang menjalani program reality tv ini boleh dimasukkan dalam kategori menutup aurat secara sempurna bahkan mereka ini berpakaian (maaf saya katakan di sini) seperti bertelanjang!

Saya memetik hadith Rasulullah yang menyatakan perempuan akhir zaman, berpakaian tetapi seperti bertelanjang. Tidak perlu saya memberi definisi menutup aurat dengan sempurna di sini kerana saya yakin pembaca-pembaca sudah jelas dengan panduan yang Pencipta kita lampirkan dalam Surah An-Nur Ayat 31.

Namun. di sini saya ingin menyatakan kekhuatiran saya yang teramat, melihat corak pemakaian bakal-bakal artis yang bakal dipuja oleh kebanyakan masyarakat khususnya remaja. Pakaian mereka terlalu singkat, jarang, ketat dan menjolok bola mata sesiapa sahaja yang melihatnya. Pendek kata, mereka beraksi di pentas dengan penuh seksi dan membangkitkan keghairahan kaum lelaki.

Saya tidak pasti kenapa perlu memilih pakaian seumpama ini. Adakah untuk memancing undi kaum lelaki yang memamg mudah terpancing dengan keseksian wanita? Satu persoalan yang mungkin merupakan jawapan. Tetapi saya yakin, jawapan sebenar ialah pasti ada yang pincang pada hiburan yang melampau tanpa fesyen yang pelik-pelik dan mengghairahkan ini.

Pakej hiburan melampau hanya akan lengkap bila hadirnya pakaian yang, “WOW! Seksi dan menggairahkan”, suara yang sengaja dimerdukan, tarian yang mempesonakan dan keakraban antara peserta-peserta program tanpa mengira harta, keturunan, rupa dan yang paling penting, JANTINA.

Lantas, pasti ada yang tak kena andai tiada adegan peluk-memeluk, cium-mencium sambil menangisi kawan-kawan yang tersingkir tanpa mengira lelaki atau perempuan. Adakah amalan ini selari dengan budaya timur tradisi turun-temurun, zaman-berzaman kita?


Ikutan yang Tidak Kena

Mereka yang menyertai rancangan-rancangan seumpama ini kerap kali akan mendapat popularity yang segera dan pasti akan menjadi ikutan anak-anak muda yang sedang mencari identity. Semua tindak-tanduk, gerak-geri, kata-kata, imej, personality dan segala-galanya akan menjadi panduan remaja masa kini yang mempersetankan halal dan haram serta baik atau buruk.

Maka, lahirlah generasi baru yang jauh daripada nilai-nilai murni yang pernah diterapkan oleh nenek moyang dahulu. Ikon-ikon yang sama sekali tidak mendidik ini akhirnya mewujudkan ‘krisis nilai’ dalam jiwa ahli masyarakat muda hari ini. Krisis nilai inilah merupakan punca utama runtuhnya akhlak dan moral. Mereka tidak mampu membezakan yang baik dan buruk, yang halal dan haram kerana contoh mereka yang di depan mata sendiri, pincang dalam membuat perbandingan tersebut.

Teringat zaman persekolahan dahulu, terlalu kerap isu keruntuhan akhlak dan moral dibincangkan hatta seringkali menjadi tajuk utama dalam karangan Bahasa Melayu kertas 2. Isi utama yang kerapkali saya lontarkan ialah kurangnya didikan agama, didikan ibu bapa dan pengaruh media massa .

Tiap kali menulis, saya dengan sepenuh hati berharap agar pihak-pihak yang terlibat mengambil berat akan kritikan yang dilontarkan sehingga akhirnya mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung gejala keruntuhan sahsiah ini. Namun, nyata sekali, apa yang telah saya dan semua pelajar sezaman saya utarakan hanya tinggal catatan di kertas yang akhirnya dikitar semula.

Kita harus sedar, fenomena krisis nilai yang dapat kita saksikan secara langsung hari ini memungkinkan masa depan negara dalam beberapa tahun akan datang hanya bisa dipimpin oleh mereka yang lemah akhlak serta emosi dan rendah tahap inteleknya. Bolehkah anda bayangkan apakah akan terjadi pada Malaysia 20 tahun akan datang? Bersungguh-sungguh saya katakan di sini, SAYA SANGAT KHUATIR!



Peranan media

Di sini, saya ingin menyeru pihak yang paling bertanggungjawab dalam hal ini iaitu media massa agar kalian menginsafi diri. Kejarlah keuntungan dengan cara menang-menang bukan anda sahaja yang mendapat manfaat tetapi mengakibatkan masyarakat akhirnya menuju satu fasa yang melemahkan.

Tidak salah untuk melahirkan mereka yang berbakat kerana seni adalah sebahagian daripada kehidupan dan merupakan fitrah dalam diri insan. Namun, sejauhmana pembawaan seni itu ke arah kebaikan atau keburukan, pasti akan dipersoalkan suatu masa nanti.

Janganlah kerana untung berganda hari ini akhirnya menjadi punca kita semua mengalami kerugian pada suatu masa yang akan datang. Sementara masih belum terlambat, jalankan peranan anda yang sebenar!


Siti Rogayah Bahari