“Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang.” (al-Hasr:20)
Tangis adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW, “Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.”
Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”
Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.
Namun ALLAH SWT telah berfirman,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)
Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, meyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafa’at Rasulullah SWT yang dikasihi Tuhan.
Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menagis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menagislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, “Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. “Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya, “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang.” Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, “Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.”
Ibnu Mas’ud r.a berkata, “Seseorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur , dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai bersuara keras dan marah.” Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur. “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur dihadapan kami dan perhentian kami ialah ALLAH SWT”
No comments:
Post a Comment