Sunday, February 17, 2008

Sapa lebih besaq nie????





Pernahkah anda baru masuk ke dalam satu komuniti atau satu organisasi dan anda memandang rendah kepada seseorang kerana perwatakannya atau sifat fizikalnya?

Atau anda pergi ke pasar dan memandang salah seorang peniaga di situ dengan ada rasa merendahkan si dia? Ia berlaku kepada saya semasa sesi perkenalan untuk ahli-ahli baru dalam salah satu persatuan di universiti.

Saya melihat seorang rakan yang juga merupakan ahli baru seperti saya berpakaian agak kurang kemas(lebih kurang seperti budak yang gemar melepak-lepak). Dan dia juga tergagap-gagap semasa memperkenalkan diri di hadapan.

“Bolehkah dia buat kerja?” Tanya saya dalam hati dengan nada sedikit meremehkan.

Tetapi setahun selepas itu, selepas saya dilantik menjadi salah seorang mainboard dalam persatuan tersebut, si dia yang dipandang rendah oleh saya dahululah yang paling aktif di dalam persatuan tersebut. Malah merupakan antara orang yang perlu ada dalam setiap program yang dianjurkan.

Kalau tiada dia dalam satu-satu program, maka program agak kelam kabut jadinya. Dalam masa setahun, personalitinya berubah. Cara berpakaian tetap sama tetapi cara dia bercakap menampakkan keyakinan yang tinggi dalam dirinya.

Di situ, saya sedar yang first impression saya dahulu terhadapnya adalah salah. Kalau cara berpakaian atau tingkah lakunya sahaja yang tidak kena dengan diri kita, tidak sepatutnya kita memandang rendah kepadanya atau kita rasakan diri kita lebih baik daripadanya.

Siapa yang lebih besar?

Pernah seorang ustaz saya memberi satu contoh mudah tentang bagaimana cara kita melihat sesuatu atau seseorang.

Ada dua huruf. Satu ‘A kecil(small caps)’ dan satu lagi ‘B besar(big caps)’. Antara dua huruf ini, yang mana satu adalah besar?

Kemudian dengan mudah, ramai yang menjawab, “Tentulah huruf ‘B’.”

Kemudian dia keluarkan satu gambar lain pula. Sekarang huruf ‘A kecil’ tadi itu saiznya lebih besar daripada huruf ‘B besar’. Kemudian ustaz saya itu bertanya lagi, “Sekarang yang mana satu yang besar? ‘A kecil’ yang saiznya besar atau ‘B’ yang sememangnya ‘besar’?”

Seisi kelas senyap. Ada yang tersenyum-senyum. Ada yang menjeling-jeling rakan di sebelah. Ada yang mahu jawab, tapi takut-takut. Teragak-agak.

Contoh sederhana ini menggambarkan yang kita sering menilai sesuatu berdasarkan ciri fizikal yang kita nampak dan juga berdasarkan gelaran yang terdapat padanya.

Kadang terjadi first impression kita memandang si dia sebagai orang yang tidak boleh buat kerja sedangkan kita masih lihat lagi kemampuan sebenarnya. Dan kalau orang lain menggelarkan si dia itu ‘lembab’, maka kita juga akan menilainya sebagai seorang yang lembab.

Tetapi kita tidak tahu yang si ‘lembab’ itu mungkin lebih baik daripada kita atau lebih baik daripada seseorang yang kita anggap yang ‘terbaik’. Dan kita juga tidak tahu orang yang selalu kita pandang dengan pandangan yang meremehkan itu mungkin lebih baik daripada orang yang kita anggap sebagai unggul.

Jadi, berhati-hati dengan cara kita melihat orang di sekeliling kita. Kalau kita ‘lebih besar’ dari satu aspek, tidak bermakna kita juga ‘lebih besar’ pada aspek-aspek yang lain.

Rasa diri sendiri lebih baik

Dalam satu kuliah saya bersama Puan Ainon Mohd, beliau pernah memberi sesuatu fakta. Dalam diri setiap manusia itu, ada sifat over rate diri sendiri atau dengan kata lainnya menilai diri sendiri sebagai yang terbaik.

Ia boleh juga dikatakan sebagai ‘ego’ dalam diri iaitu merasakan apa yang kita ada atau kita buat, ia lebih baik daripada orang lain yang kita pandang rendah kepadanya.

Tidaklah menjadi satu kesalahan, tetapi seboleh mungkin kita perlu cuba mengawalnya. Siapa yang dapat mengawalnya, dialah yang paling pandai mengambil hati orang lain. Siapa yang pandai mengawalnya, maka dialah calon pemimpin yang hebat.

“Taatilah Allah dan rasul-Nya. Jangan bertengkar, supaya jangan kamu gentar dan kekuatanmu akan hilang. Bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar.” (Al-Anfal: 46)

John C. Maxwell dalam salah satu bukunya menyatakan bahawa siapa diri kita adalah bagaimana kita memandang orang lain. Apa yang kita nampak akan memberi kesan kepada diri kita.

Lain orang dalam satu bilik akan melihat sesuatu benda yang sama dengan pandangan yang berbeza. Tetapi manusia yang terbaik adalah mereka yang bijak dalam menilai sesuatu dan selalu berpandangan positif serta berbaik sangka.

Siapa di sekeliling kita

Andai kata kita adalah huruf ‘B besar’ seperti dalam analogi yang diberikan tadi, kita tidak tahu ada berapa banyak ‘A kecil’ di sekeliling kita. Dan dalam bilangan ‘A’ yang banyak itu, kita tidak tahu yang mana lebih baik daripada kita.

Jadi, sentiasalah bersangka baik dengan orang di sekeliling kita. Biarpun mereka itu bukan yang sealiran dengan kita atau yang sebulu dengan kita.



Kerana kita juga tidak tahu ada berapa banyak huruf small caps lain di sekeliling kita.

No comments: