Sunday, April 5, 2009

Ujian dan Dugaan -NYA Adalah Anugerah…

Setiap perjalanan kehidupan yang dilalui manusia di muka bumi ini terdapat banyak cabaran, dugaan, halangan, suka duka, pahit manis dan berbagai macam ragam lagi wujud kerana itu sudah menjadi lumrah kita sebagai hamba-NYA yang sentiasa diuji untuk menilai sejauhmana keimanan dan ketaqwaan kita kepada Sang Pecipta seluruh alam ini. Ujian Sang Pencipta adalah berbagai bentuk antaranya sakit demam, bencana alam, gempa bumi dan sebagainya.


Apabila didatangi ujian yang menimpa diri setiap daripada kita, maka ada yang mengeluh kesah, kecewa malah ada juga yang sanggup menyalahkan Sang Pencipta dengan apa yang menimpa ke atas dirinya. Tahukah kita setiap ujian yang datang itu adalah anugerah yang dikurniakan oleh Sang Pencipta kepada kita? Itu tandanya DIA mengasihi dan menyayangi kita. Bukankah semakin banyak cabaran dan dugaan serta ujian yang dihadapi semakin dekat kita kepada Sang Pencipta?

Sekiranya tidak didatangi pelbagai ujian dalam kehidupan kita, mungkin kita alpa dan lalai dengan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Bukankah Sang Pencipta menjadikan manusia dan jin adalah untuk beribadat kepada-NYA? Kalau kita mengetahui hakikat ini, pasti kita akan sentiasa melakukan dan menurut apa yang diperintahkan oleh-NYA. Tetapi masih ramai manusia yang lupa dengan tuntutan dan kehendak ini. Mereka lupa tujuan apa sebenarnya mereka dilahirkan di dunia ini, apa matlamat dan halatuju mereka serta apakah kesudahan kehidupan mereka di akhirat kelak.


Dengan keterlupaan inilah maka wujudlah di muka bumi ini manusia-manusia yang angkuh dan sombong sehingga tidak mempedulikan apa yang dilakukan itu adalah hak ataupun bathil. Sehingga hati-hati mereka tertutup rapat untuk membezakan kebenaran ataupun kezaliman dan kebaikan ataupun kejahatan. Malah ada juga yang merasa bangga dan mendabit dada apabila melakukan kejahatan dan kezaliman terhadap diri sendiri dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini.

Manusia seperti ini apabila tidak didatangi ujian dan dugaan daripada Sang Penciptanya, maka dia terus alpa dan lalai dengan keangkuhannya. Apabila ujian Sang Pencipta menimpa diri barulah mereka sedar dan insaf serta kembali kepangkal jalan kebenaran. Maka dengan itulah baru mereka mengakui bahawasanya ujian dan dugaan daripada Sang Pencipta adalah satu anugerah yang paling berharga jika dibandingkan dengan kemewahan duniawi. Justeru itu, setiap yang berlaku terhadap diri kita hadapilah dengan penuh rasa syukur kerana itu adalah satu ANUGERAH DARIPADA SANG PENCIPTA YANG MAHA AGUNG.

No comments: