Memang meletakkan Melayu sebagai matlamat perjuangan sehingga mengesampingkan Islam itu tidak tepat. Tetapi dalam konteks Malaysia, memperjuangkan jatidiri Melayu itu bagi saya berperanan penting juga dalam membina sebuah umat yang berjaya.
Bahasa dan kebudayaan Melayu itu adalah medium utama yang digunakan untuk menzahirkan 'nilai-nilai Islami' dalam masyarakat sejak mula Islam didakap oleh umat lagi. Kebudayaan di sini merangkum aspek sopan santun dan budi bahasa, malah merangkum kedudukan Islam sendiri yang diletakkan tertinggi dalam struktur budaya Melayu. bukan merujuk kepada seni-senian yang ada tempatnya melanggar nilai Islam.
Kerana 'gaya hidup Islam' itu adalah subjektif, dan mengaitkannya dengan imej yang lebih hampir seperti jati diri bangsa sendiri, bagi saya akan menjadikan umat lebih mudah mesra dan menghayati.
Lagipun, tidak salah bukan untuk kita menghargai dan menyayangi jatidiri kita sendiri? Identiti kita sendiri. Islam itu fleksibel dan tidak menuntut kita mencabut diri daripada akar umbi.
Banyak orang menyedari peri mustahaknya kepentingan agama dimartabatkan dan diserapkan dalam jiwa rakyat. Tetapi tidak ramai yang mengerti, apatah lagi menyuarakan, jauh sekali memperjuangkan, tentang letak duduknya budaya dan bahasa Melayu dalam strata prioriti pembangunan insan.
Abaikan suara-suara retorik yang menggadai 'perjuangan bangsa' demi kepentingan sendiri. Bukan itu yang saya maksudkan. Bukan 'jihad menyelamatkan makyong' dan 'perjuangan mengembalikan kegemilangan joget' yang saya kaitkan.
Saya merujuk kepada ajakan, galakan, seruan, dan desakan supaya umat Melayu kembali kepada akar budaya mereka yang kaya dengan segala falsafah dan sopan santunnya, yang berlilit kait dengan Islam.
Bukanlah maksud saya pemerkasaan jatidiri Melayu ini lebih penting daripada memartabatkan Islam, jauh sekali menggantikan perjuangan memartabatkan Islam. pemerkasaan jatidiri Melayu, Bagi saya, akan menjadi instrumen yang dapat membantu dalam usaha memartabatkan Islam.
Pihak-pihak yang memperjuangkan ketuanan Melayu mempunyai justifikasi mereka sendiri. Ada yang berkata, inilah caranya, 'taktik sulit' untuk memelihara martabat Islam. Sementelah perlembagaan tidak memberikan sebarang keistimewaan terhadap Islam selain daripada Artikel 3 - Islam agama rasmi - , dan kita maklum mudahnya sensitiviti tercuit jika apa-apa berunsur Islam diwara-warakan dan disebarluaskan. Sesatlah, ekstrimislah, macam-macam lagi. dan mereka melihat agenda ketuanan Melayu ini memberi ruang kepada mereka untuk memelihara ketuanan Melayu sekaligus martabat Islam di bumi bertuah ini, Sementelah juga dilihat lebih mudah menjaga martabat Islam melalui cara ini kerana sudah termaktub 'ketuanan Melayu' dalam dasar negara. Hasil persetiaan murni yang mengizinkan pendatang berkongsi hak menjadi warga negeri.
Sukar sekali sebenarnya memisahkan soal-soal Islami daripada soal-soal Melayu, dalam konteks negara ini. Lihatlah, apabila 'pihak-pihak tertentu' mempersoalkan ketuanan Melayu, hampir serentak 'ketuanan Islam' turut dipersoalkan. Mereka bertanya mengapa Melayu punya hak istimewa, adakah Islam bersifat tidak adil.
Daripada satu segi, nampaklah silapnya apabila melabelkan Melayu=Islam dan Islam=Melayu, kerana kekalutan yang melanda umat Melayu akan memalit noda kepada Islam yang tidak salah apa-apa.
Jadi bagaimana? Memang kita tahu, meletakkan Islam sebagai teras perjuangan mengatasi unsur-unsur bangsa dan perkauman adalah kunci untuk mencapai kesepaduan dan kemakmuran. Tetapi dalam konteks sekarang, jalan seolah-olah buntu.
Pertubuhan-pertubuhan yang mengaku memperjuangkan Islam bertelagah sesama sendiri. Masalah dalaman mencanak. Memperalatkan agama. Jumud dalam penafsiran dan aplikasi agama, Tuntas khalayak silap mengerti, langsung menolak Islam itu sendiri.
Pertubuhan-pertubuhan politik ala 'ketuanan Melayu' pula taksub dengan agenda bangsa sehingga meremehkan atau mengelakkan daripada meletakkan agama sebagai item yang penting dalam perjuangan mereka. Mengapa? Kepentingan diri, kejahilan.
Tetapi jika kita cabut 'ketuanan Melayu' daripada konsep bernegara di Malaysia sekarang, logiknya Islam juga tidak akan mendapat tempat dalam perundangan. 'ketuanan Melayu' telah membolehkan orang-orang Melayu berada di tempat-tempat yang 'tinggi', dengan 'jaminan hak', sekaligus memberikan mereka 'suara' untuk mempertahankan Islam.
Kerana Islam di Malaysia seolah-olah belum mampu berdiri sendiri dalam lokus perundangan, sekadar menumpang peruntukan-peruntukan kecil perlembagaan (yang diserang dari segenap segi, hatta oleh Melayu-Islam sendiri), dan musuh-musuh menanti daripada segenap sudut, mencari lompong walaupun sebesar kuman untuk menerobos dan menyerang.
Saya rindu melihat gagasan penyelesaian yang sistematik, kemas, dan realistik kepada situasi ini.
No comments:
Post a Comment