Friday, July 25, 2008

Hassan Al Banna : Semarak Perjuangannya Masih Terasa


Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama dan jasa yang ditaburkan. Inilah yang dapat diperkatakan mengenai keperibadian tokoh pada kali ini iaitu As Syahid Imam hassan Al Banna. Walaupun telah 54 tahun Almarhum meninggalkan kita semua, namun perjuangan dan kegigihannya dalam menegakkan kembali Islam di bumi Mesir tetap kukuh bersemadi dalarn hati sanubari masyarakat Islam hingga ke hari ini.




Tanggal 12 Februari 1949 meninggalkan sejarah hitam dan pilu bagi masyarakat Islam khususnya pejuang-pejuang agama. Pada tarikh itu dunia Islam kehilangan seorang ulama dan mujahid yang menjadi pelopor dalam mengembalikan kegemilangan Islam ke kemuncaknya. Pemergiannya yang tidak diduga merupakan suatu pembunuhan kejam hasil konspirasi musuh-musuh Islam yang berselindung di sebalik Raja Farok, pemerintah Mesir pada ketika itu.

Imam Hassan Al Banna telah dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al Mahmudiya yang terletak di daerah al Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah keluarga Ulama yang dihormati dan terkenal kerana begitu kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang merendah diri dan hidup dalam keadaan yaug serba sederhana.

Hassan al Banna merupakani anak sulung daripada lima beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad ibn Abd al Rahman al-Banna. adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang beberapa buah kitab hadis dan fikah perundangan Islam, yang berkelulusan dari Universiti Al Azhar Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, pemurah, merendah diri dan tingkah laku yang menarik. Namun beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam di desa al Mahmudiya untuk menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakann untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al Quran dan hadis kepada penduduk tempatan


Ayah Hassan Al Banna


Sebagai seorang ulama, Sheikh Ahmed Abd Rahman al Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari Sunnah Rasulullah dan membincangkannya dengan rakan-rakan di kedai dan di rumah. Hassan al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian dalarn perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran, wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan, keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad al Banna diwarisi oleh Hassan al Banna.

Sifat kepimpinan Hassan al Banna terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah. Beliau menjadi pernimpin Badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-lkhwan al- Hasafiyah. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudiannya memainkan peranan penting dalarn penubuhan Ikhwam Muslimin

Keluarga Hassan Al- Banna begitu tegas dalam mendidik anak-anak berdasarkan ajaran Islam. Hal ini menyebabkan beliau telah menghafaz Quran dalam usia yang begitu muda dan telah memasuki Pusat Latihan Perguruan. Selepas tiga tahun di sana beliau mendapat tempat pertama dalam peperiksaan akhir. Beliau telah memasuki Darul Ulum di Kaherah pada awal usia 16 tahun kerana kebijaksanaan dan ilmu pengetahuannya yang luas.

Semasa di Kaherah, Hassan al Banna terdedah dengan pergolakan parti politik dan aliran-aliran menentang Islam yang dicetuskan oleh gerakan Kamal Ataturk. Parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular kebanyakannya bertujuan melemahkan pengaruh Islam. Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jamaitul Makram a;-Akhlaq yang giat mengadakan ceramah-ceramah Islam. Melalui pertubuhan ini, Hassan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat, di kedai-kedai kopi dan tempat perhimpunan orang ramai.

Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain..


Menubuhkan lkhwan Muslim

Pada Mac 1928, dalam usia 23 tahun, Hassan al-Banna beserta adik dan lima orang sahabatnya berkumpul di rumahnya dan bersumpah untuk hidup dan mati kerana Islam. Di rumah itu jemaah Ikhwan Muslimin telah ditubuhkan. Pada ketika itu beliau baru mendapat ijazah dari Darul Ulum serta berkhidmat sebagai guru bahasa Arab di salah sebuah sekolah di bandar Ismailiyah.

Ketika ditanya mengapa beliau melibatkan diri dalam kerja kerja dakwah, Hassan al Banna dengan tegas menjawab, ia hanya Allah yang tahu berapa malam kita menghabiskan masa untuk memikirkan masalah Ummah, pada peringkat mana mereka telah melaluinya dan kesakitan dan keperitan yang telah mereka lalui. Dan kita merenung sumpahan yang dikenakan atas kesakitan yang dilalui oleh Ummah. Kesukaran dan kepahitan yang dilalui oleh mereka mungkin berakhir dengan munajat dari kita sernua.

Setelah berkhidmat selarna 19 (tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat di bandar. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Di dalam buku "Letter To A Muslim Student" (FOSIS,1995) kedinamikan Ikhwan Muslimin dijelaskan: Pencapaian Hassan al Banna yang paling membanggakan ialah kernampuannya membangunkan organisasi yang canggih dan berjaya menterjemahkan wawasannya dalam kehidupan sebenar. Ikhwan bukan sekadar pertubuhan yang berasaskan sosial, politik atau kumpulan agarria tetapi lebih dari itu.

Menurut Dr. Muhammad Karnal khalifah, Pensyarah di Universiti Cairo melalui mukadimah buku Ikhwan Muslimin dan Masyarakat Mesir, kemunculan Hassan Al Banna yang mendapat inspirasi dari Jamaluddin Al Afghani dan Muhammad Abduh, serta menjalani aliran rakyat melahirkan golongan mukmin yang sebenar-benarnya melalui pengajian dan pembelajaran untuk menyebarkan akidah yang sahih, kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Usaha beliau ini amat dikagumi masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat.




Dalam usia yang muda, Hassan al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau dapat meyakinkan para pendengar dengan kebenaran yang dibawa, matlamat dan keikhlasannya. Beliau mampu meyakinkan golongan intelektual dan orang biasa.


Berdasarkan kepimpinannya, Hassan al Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad, seterusnya melaksanakan cita cita perjuangan dengan tegas.

lkhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam perebutan kuasa politik. Para penentangnya menyifatkan Ikhwan Muslimin sebagai negara di dalam negara. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangannya di Mesir. Pertubuhan ini telah menubuhkan beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, lkhwan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong (sesetengah sumber menyebut sekitar 3 juta). Lebih 3000 cawangan kesernuanya telah wujud di Mesir dan 50 di Sudan dihasil-kerja Ikhwan yang melangkaui batas negara.

Dalam satu jawapan yang diberikan oleh wartawan barat terhadap dirinya yang bertanyakan siapakah dia, Hassan Al Banna menjawab, saya adalah pelancong yang mencari kebenaran, dan insan yang mencari erti kemanusiaan di kalangan manusia, dan warganegara yang inginkan kemuliaan, kebebasan, kestabilan, hidup yang baik untuk negara dan berjuang untuk menaikkan Islam.

Malah, kerajaan British telah menjemput Hassan al Banna ke kedutaan mereka untuk minum teh. Beliau dipuji kerana perwatakannya yang baik, kerja-kerja kebajikannya untuk membantu anak-anak yatim dan janda. Malah pegawai atasan British menjelaskan bahawa dunia sangat fragile dan Mesir perlu dibangunkan sebagai negara yang moden dan makmur.


Pengharaman Ikhwan Muslimin dan Pembunuhan Hassan AI-Banna

Pengaruh Ikhwan Muslimin yang kuat amat dikhuatiri oleh Kerajaan Mesir di bawah Noqrashi Pasha dari Parti al-Safdi. Pada 8 November 1948 Beliau telah mengharamkan Ikhwan Muslimin atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwan Muslimin menghantar beribu ribu orang pejuang dalam perang menghadapi Israel seolah olah dinafikan. Kesemua cawangannya yang berjumlah lebih 3000 diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dikira sebagai pertubuhan haram, pelampau dan pengganas. Unit-unit tentera Mesir dan tentera Ikhwan Muslimin yang berjuang di Palestine dipanggil balik. Berbagai-bagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Anggota-anggotanya ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara, di seksa dengan teruk, malah ada yang dibunuh. Apabila seorang wartawan bertanyakan Hassan al-Banna tentang pengharaman itu, beliau menjawab, apabila kata-kata diharamkan, maka tanganlah yang akan menggerakkannya. Begitu mendalam kata katanya.

Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh dan Gerakan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda pergerakan itu telah dirampas dan beribu ribu orang beliau telah disumbatkan ke dalam penjara.

Dengan alasan untuk mengendurkan (mengurangkan) ketegangan (konflik) antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Hassan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al Muslimin. Sebenarnya jernputan itu hanyalah sebagai helah untuk membunuh beliau.

Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan al Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.

Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena ternbakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Walaupun terkena tujuh tembakan, Hasan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.

Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan al Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.


Pengurusan Jenazah

Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan: Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan, jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.

Ayah Hasan al Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyingsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah Almarhum dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.

Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandikan dan mengapankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis ruenjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.

Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Quran. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Abdur Rahman seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah Almarhum.

Pada waktu itu usia Hassan Al-Banna baru mencecah 43 tahun. Anak bongsunya telah dilahirkan pada hari yang sama isteri Hassan Al-Barma menamakannya "Esteshhaad" yang bermaksud syahid.

Pembunuhan Hassan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pernerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pernerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pernerintahan Perdana Menteri Mustafa al Nahhas Basya.

Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.

Pemandu kereta, Sarjan Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat. Major Muhammad al Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan kerja berat.

Sejak pembunuhan terhadap Hassan al Banna, ramai pendukung Ikhwan Muslimin yang telah ditindas dan dizalimi. Namun tindakan tindakan tersebut menyebabkan pertubuhan itu bukan sahaja semakin bertambah kuat di Mesir, malah telah mengembangkan sayapnya di negara-negara Arab. Kebangkitan Islam yang berlaku di negara Arab pada hari ini sebenarnya secara tidak langsung bertitik tolak dari Gerakan Ikhwan Muslimin,

Tegasnya, Hasan al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang pejuang dan harakah Islamiah pada hari ini.

Anak Luar Nikah.. Episod Sedih Masyarakat Kita


Seorang ramaja wanita mengadu sakit perut. ‘Mungkin gastrik agaknya’, duga ibubapanya. Apabila pemeriksaan kesihatan dilakukan gastrik yang disangka, rupanya ada bayi dalam kandungan.

Ini hanyalah satu gambaran kes yang mungkin biasa dijumpai di klinik dan hospital negara kita. Ini bukan lagi carita nadir dalam masyarakat negara kita.

Tidak sampai 2 bulan di bahagian sakit puan sebuah hospital, seorang teman saya telah temui banyak kes kelahiran luar nikah. Ceritanya lagi pesakit termuda yang pernah beliau temui berumur 15 tahun. Akhirnya diijabkabulkan dengan pasangan lelakinya yang berusia 19 tahun.


Cerita teman saya lagi, apa yang menyedihkan ialah bila melihat ada remaja sebegini yang hadir daripada kalangan yang ibubapa mereka tergolong daripada kalangan mereka yang baik-baik.

Aibnya bukan ditanggung seorang diri, ibubapa terpalit sama.

Juga sejarah hitam buat bayi yang tidak sedikit pun bersalah dan berdosa.

‘Habis anta tak tampar ke?’ tanya saya secara berseloroh.

‘Setakat marah je la, nak tampar kena saman pulak kita’, responnya menerusi yahoo messenger.

Saya mula berfikir, bagaimanakah cara terbaik bila berhadapan dengan kes sedemikian yang kemungkinan besarnya akan saya temui bila bertugas nanti. Cara terbaik untuk merawat kegawatan akhlak masyarakat islam di negara kita.

Agaknya apa tindakan anda? Berikan pandangan anda sebagai perkongsian bersama, mana tahu ada gunanya untuk saya kelak.





Unsur meruntuh jiwa yang melata.

Apabila Pengerusi Halehwal Wanitanya (HEWI) PKPIM, saudari Munirah Bahari daripada mencadangkan agar baju kurang pelajar sekolah yang sedikt nipis ditukar atau ditangani dengan pakaian dalam atau tudung labuh, ramai yang mula menyerang cadangan sebegini. PKPIM dicerca.

Idea dan cadangan yang bertujuan untuk mengurangkan gangguan seksual yang melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dinilai dengan emosi tanpa mengkaji munasabahnya.

Baju nipis, pakaian ketat, rambut yang terurai pastinya menjadi satu tarikan kepada lelaki. Ianya boleh menjadi pemangkin kepada gangguan seksual. Lebih teruk lagi rogol, atau zina dengan rela.

Sikap masyarakat dalam berpakaian pada saya merupakan salah satu penyumbang kepada kes-kes zina dan anak luar nikah. Ianya mukaddimah kepada terangsangnya syahwat.

Apabila ada suara hadir untuk menangani hal sebegini, hanya respon negatif banyak yang kedengaran. Seolah-oleh merelakan gangguan seksual terhadap wanita demi mempertahankan hak wanita dalam berpakaian.

Baju kurung sememangnya menutup aurat, tapi sekiranya kain yang digunakan jarang dan nipis aurat masih dikira tidak ditutup. Syariat masih belum tertunai seratus peratus.

Respon segera yang bersifat negatif terhadap cadangan PKPIM ini sangat menyedihkan saya. Hari ke hari kita berhadapan dengan suasana dalam negara yang bersifat meruntuh bukan membina jiwa. Justeru tidak hairan sekiranya kes-kes anak luar nikah, terlanjur dan sebagainya turut melibatkan remaja telah mendapat didikan sempurna daripada ibubapa. Anak ustaz-ustazah, pak iman dan pak lebai turut dalam bahaya.

Kita sewajarnya mulai bimbang apa nasib generasi mendatang. Nasib anak-anak kita, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai, masyarakat dan negara.

Sabda nabi saw : Apabila zahirnya zina dalam sebuah kampung, sesungguhnya mereka (ahli kawasan tersebut) telah menghalalkan bagi diri mereka azab Allah. (Riwayat a-Tabrani)

Friday, July 18, 2008

Di antara dua tangisan..


AIR MATA ada kalanya penyubur hati, penawar duka dan ada kalanya ia menjadi buih kekecewaan yang menghimpit perasaan dan kehidupan ini. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor yang berlimpahan. Namun setitis air mata kerana takut kepada ALLAH SWT persis perata indah yang bergemerlapan terpancar dari segala arah dan penjuru. Penghuni syurga ialah mereka yang banyak mencucurkan air mata demi ALLAH SWT dan RasulNya, bukan semata-mata kerana harta dan kedudukan serta hal duniawi. Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat pula menangis kerana dunia yang datang. Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang batil… alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan (pemuja dunia). Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata keinsafan mengharap kemenangan serta rindu akan RasulNya.

“Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang.” (al-Hasr:20)

Tangis adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangis, dicela oleh tangis dan diakhiri dengan tangis.. Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sabda Rasulullah SAW, “Ada titis yang ALLAH SWT cintai, pertama titisan darah para syuhada dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH SWT.”

Nabi Muhammad SAW bersabda lagi, “Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH kasihi daripada tasbih para wali.” Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan, kerana ada tangisan yang membawa bahagia untuk selamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana dosanya adalah lebih baik daripada seorang ‘abid. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih, lebih ALLAH sukai dari satu kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.” Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang ulama’ dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil, semakin keras hati dan perasaannya. Nabi Muhammad SAW bersabda “Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa.” Seseorang Hukama pernah bersyair, “Aku hairan dan terperanjat melihat orang ketawa kerana perkara-perkara yang akan menyusahkan, lebih banyak daripada perkara yang menyenangkan.”

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, bimbang tidak diterima ibadatnya, kita ketawa walaupun sedar kita kosong daripada amalan. Lupakah kita? Sabda Nabi SAW, “Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis.” Kita gembira jika apa-apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau apa yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan menjemput duka.

Namun ALLAH SWT telah berfirman,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH SWT mengetahui sedangkan kamu tidak.” (al-Baqarah:216)

Menangislah wahai diri, agar senyumanmu banyak dikemudian hari kerana engkau belum tahu nasibmu dihisab kanan atau hisab kiri. Di sana, lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, meyemarakkan rasa malu berabad-abad lamanya bergantung kepada syafa’at Rasulullah SWT yang dikasihi Tuhan.

Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu banjiran air mata Nabi Adam yang menagis bertaubat, maka suburlah dan sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menagislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata, “Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu. “Menangis Ummu Sulaim apabila ditanya, “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya, “Aku tidak mempunyai anak lagi untuk ku kirimkan ke medan perang.” Menangislah seperti Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan. Diharamkan matanya memandang langit seumur hidup, lalu berkata, “Engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu.”

Ibnu Mas’ud r.a berkata, “Seseorang yang mengerti al-Quran dikenali waktu malam ketika orang lain tidur , dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa, sedihnya diwaktu orang lain ketawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusyuknya di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai bersuara keras dan marah.” Tanyakan kepada orang-orang yang soleh mengapa tidak berhibur. “Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur dihadapan kami dan perhentian kami ialah ALLAH SWT”

Kita 'Member'


Siapa kata mat rempit tidak boleh dibuat 'member'(kawan)? Kalau betul caranya, sesiapa sahaja boleh dijadikan member. Setiap orang di sekeliling kita perlu kita jadikan mereka sebagai member kita.
Selalu kita dengar kata-kata seperti, “Hendak berkawan mesti kena pilih betul-betul. Jangan berkawan dengan budak tak tentu arah” dan “Berkawanlah dengan penjual minyak wangi, nescaya akan dapat harumannya.Sekiranya berkawan dengan penempa besi, nanti akan terasa bahangnya.”Bagi saya sahabat dan kawan dua watak yang berbeza. Sahabat yang perlu dipilih betul-betul tetapi berkawanlah dengan sesiapa sahaja.Andai kata kita mengelakkan diri daripada berkawan dengan orang yang tidak tentu arah, siapa pula yang akan memberi haruman kepada mereka?Inilah yang ingin saya ceritakan satu pengalaman saya sendiri semasa mengikuti satu program anjuran Kementerian Belia dan Sukan empat bulan yang lepas.
Bagaimana saya terjebak?

Saya menerima tawaran untuk mewakili Matrikulasi UIAM ketika itu walaupun saya baru sahaja menamatkan program matrikulasi saya. Ini kerana program itu berlangsung selama 10 hari dan pihak UIAM tidak mahu membebankan pelajar yang masih belajar. Jadi mereka menawarkan kepada saya dan beberapa orang kawan yang lain.Saya ketika itu yang sedang bercuti tiga bulan tertarik dengan tentatif program yang diberikan. Ada beberapa sesi tentang leadership dan perniagaan terpapar pada tentatif tersebut. Saya terus menerima tawaran tersebut.Saya dan 3 orang lagi MPP Matrikulasi UIAM pergi ke program tersebut iaitu Nabil, Azizuddin dan juga Najwa.

Kejutan

Sebenarnya ada satu perkara yang mengejutkan kami sebaik sahaja kami sampai di tempat berkumpul di Kompleks Belia dan Sukan Lembah Pantai.Apa yang mengejutkan kami ialah hampir 70% peserta lelakinya adalah golongan pelajar bermasalah. Sampaikan yang pakai dressing macam mat rempit pun ramai.Memang ketika itu saya berasa sedikit takut kerana pertama kali bersama dengan golongan mat rempit dalam jumlah yang agak ramai.

Pada hari pertama, memang kami bertiga agak menjauhkan diri sedikit dengan peserta lain. Tegur, tegur juga tetapi tidaklah semesra mana.Pada malam hari pertama itu saya banyak berfikir tentang apa yang saya boleh buat dalam program tersebut. Kalau hendak balik rumah, memang sudah tidak boleh balik.Sudah dari awal pasang niat untuk pergi program leadership, jadi apa kata saya jadikan program tersebut sebagai latihan leadership untuk saya.

Esoknya semasa berjumpa dengan Nabil, dia dengan wajah penuh riang berkata kepada saya dan Aziz, “Mulai hari ni kita putus kawan. Ok tak? Haha.”.“Wah, best juga idea kau ni,” balas Aziz dengan gelak ketawa juga.Rupanya mereka juga memikirkan perkara yang sama. Daripada kami menjauhkan diri daripada peserta lain, lebih baik kami cuba mendekatkan diri dengan mereka. Apa yang bermain di fikiran kami ketika itu adalah inilah dunia realiti di luar.

Misi

Leadership kami dalam program tersebut ialah membimbing mereka semua dan misi kami ialah mencari seberapa ramai kawan yang boleh. Setiap daripada kami bertiga mempunyai perwatakan yang berbeza. Jadi, cara pembawakan kami juga turut berbeza.Nabil yang semasa silamnya turut pernah menjadi antara pelajar bermasalah di sekolah, pembawakannya lebih seperti seorang kawan dengan mereka.Aziz yang merupakan salah seorang fasilitator UIAM lebih suka buat permainan yang berunsur persahabatan yang dapat menarik perhatian mereka semua.Dan saya…. eh. Saya sendiri tak tahu nak describe bagaimana,yang pasti kami semua dapat membuat kawan di dalam kem tersebut.

Kita Member

Apa yang saya belajar daripada pengalaman di sana sangat berguna untuk saya kongsikan di sini.Golongan remaja yang bermasalah bukanlah golongan yang tidak mahu mendengar kata. Seperti yang saya katakan di atas, kalau betul caranya sesiapa sahaja boleh dijadikan member.Apa yang mereka perlukan adalah rasa dihormati oleh masyarakat, dan semestinya semua orang mahu dirinya dihormati. Mahu pendapatnya dihormati. Anda juga begitu bukan?Kalau ingin diri kita dihormati, kita kenalah menghormati orang lain terlebih dahulu. Dengar sahaja mudah tetapi adakah kita dapat menurunkan ego kita untuk menghormati pandangan daripada orang yang kita rasakan diri mereka adalah orang yang bermasalah?

Jadi, apa yang saya lakukan di situ adalah merapatkan diri dengan mereka. Berbual dan gelak ketawa bersama-sama. Setiap apa yang mereka katakan saya sokong tetapi saya tambahkan lagi ’added value’ dalam pendapat mereka. Added value inilah yang memberikan kelainan kepada mereka.Mereka bukannya tidak mahu mendengar kata, tetapi kita perlulah mendengar kata mereka dahulu barulah kata-kata kita akan mereka dengari.

Soft spot

Setiap orang ada sudut kelembutan dalam hatinya walau sekeras mana pun hatinya dan mungkin dapat dilembutkan di sudut-sudut lembut ini.Mungkin jika kita sebut tentang agama mereka masih belum dapat menerima perkara tersebut. Jadi, kita sebut perkara yang mereka suka. Melalui perkara itulah kita akan masukkan nilai tambah supaya sudut lembut mereka itu terarah kepada perkara yang betul.Contohnya, semasa saya cuba bergaul dengan golongan remaja bermasalah ini apabila saya sebut tentang perkara berkaitan agama mereka mula menjauhkan diri. Tetapi apabila saya berbual-bual mengikut apa yang mereka suka seperti muzik dan sebagainya barulah mereka senang dengan tajuk perbualan tersebut. Jadi, pada masa itulah saya masukkan nilai agama dalam perbualan tersebut dan mereka turut sama berbual mengenainya.Nampak mudah tetapi kita kena pandai menyusun strategi.

Kesimpulan

Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut, ”Allah akan menolong hambanya selama mana hambanya menolong saudaranya.”

Jadikan diri kita orang yang selalu membantu orang di sekeliling kita. Setiap orang di sekeliling kita adalah aset kita yang dapat membantu kita secara langsung atau tidak langsung. Tidak kira mereka adalah siapa, mereka tetap saudara kita dan mereka tetap kawan kita.Biarpun hanya dapat mengajak berbuat beberapa perkara yang baik, itu sudah cukup daripada hanya duduk berdiam diri dan mengutuk perbuatan mereka.


*Azree Hanifiah merupakan salah seorang penulis jemputan di iLuvislam.com dan kini menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang kejuruteraan. Artikel ini dipetik daripada blog beliau; www.studiomuslim.com

Monday, July 14, 2008

Akibat Buat Maksiat


Maksiat Menghalangi Ilmu Pengetahuan

Ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati. Namun, kemaksiatan dalam hati dapat menghalangi dan memadamkan cahaya tersebut. Ketika Imam Malik melihat kecerdasan dan daya hafal Imam Syafi'e yang luarbiasa, beliau (Imam Malik) berkata, "Aku melihat Allah telah menyiratkan cahaya di dalam hatimu, wahai anakku. Janganlah engkau padamkan cahaya itu dengan maksiat".

Maksiat mengahalangi Rezeki

Jika ketakwaan adalah penyebab datangnya rezeki, maka meninggalkannya bererti menimbulkan kefakiran. "Seorang hamba dicegah dari rezeki akibat dosa yang diperbuatnya". (HR Ahmad)

Maksiat Menimbulkan Jarak dengan Allah

Diriwayatkan ada seorang lelaki yang mengeluh kepada seorang arif tentang kesunyian jiwanya. Sang arif berpesan, "Jika kegersangan hatimu akibat dosa-dosa, maka tinggalkanlah (perbuatan dosa itu). Dalam hati kita, tak ada perkara yang lebih pahit daripada kegersangan dosa di atas dosa".

Maksiat Menjauhkan Pelakunya dengan Orang Lain

Maksiat menjauhkan pelakunya dari orang lain, terutama dari golongan yang baik. Semakin berat tekanannya, maka semakin jauh pula jaraknya hingga berbagai manfaat dari orang yang baik terhalangi. Kesunyian dan kegersangan ini semakin menguat hingga berpengaruh pada hubungan dengan keluarga, anak-anak dan hati nuraninya sendiri. Seorang salaf berkata, "Sesungguhnya aku bermaksiat kepada Allah, maka aku lihat pengaruhnya pada perilaku binatang(kenderaan) dan isteriku".

Maksiat Menyulitkan Urusan

Jika ketakwaan dapat memudahkan segala urusan, maka pelaku maksiat akan menghadapi kesulitan dalam menghadapi segala urusannya.

Maksiat menggelapkan hati

Ketaatan adalah cahaya, sedangkan maksiat adalah gelap-gulita. Ibnu Abbas RA berkata, "Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk".

Maksiat Melemahkan Hati dan Badan

Kekuatan seorang mukmin terpancar dari kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat maka kuatlah badannya. Tapi bagi pelaku maksiat, meskipun badannya kuat, sesungguhnya dia sangat lemah jika kekuatan itu sedang dia perlukan, hingga kekuatan pada dirinya sering menipu dirinya sendiri. Lihatlah bagaimana kekuatan fizik dan hati kaum muslimin yang telah mengalahkan kekuatan fizik bangsa Persia dan Romawi.

Maksiat Mnghalangi Ketaatan

Orang yang melakukan dosa dan maksiat akan cenderung untuk memutuskan ketaatan. Seperti selayaknya orang yang satu kali makan tetapi mangalami sakit berkepanjangan dan menghalanginya dari memakan makanan lain yang lebih baik.

Maksiat Memendekkan Umur dan Menghapus Keberkahan

Pada dasarnya umur manusia dihitung dari masa hidupnya. Sementara itu tak ada yang namanya hidup kecuaki jika kehidupan itu dihabiskan dengan ketaatan, ibadah, cinta dan zikir kepada Allah serta mementingkan keredhaanNya.

Maksiat Menumbuhkan Maksiat Lain

Seorang ulama salaf berkata bahawa jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorong dia untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Dan jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi si pelaku.

Maksiat Mematikan Bisikan Hati Nurani

Maksiat dapat melemahkan hati dari kebaikan dan sebaliknya akan menguatkan kehendak untuk berbuat maksiat yang lain. Maksiat pun dapat memutuskan keinginan untuk bertaubat.

Thursday, July 10, 2008

kita adalah cermin!!



“Perempuan Islam kena pakai tudung kan?” Tanya beberapa peserta perempuan India di Kem Seri Perkasa. Pada malam itu saya sedang duduk berbual-bual bersama beberapa orang rakan di dewan makan.

Kami didatangi sekumpulan peserta PLKN India perempuan yang seakan mahu bertanya banyak hal. Dan itu antara soalannya.

“A’ah. Kalau dalam Islam ia dimasukkan dalam kategori wajib yang maksudnya mesti atau tidak boleh tidak buat perkara tersebut. Jadi, semua orang perempuan memang kena pakai tudung tu,” Jawab Zulhaizar kepadanya. Saya sekadar menganggukkan kepala sahaja mengiyakan jawapannya.

“Kalau macam tu kenapa ada peserta perempuan kat bilik kami tak pakai tudung pun bila keluar?” Soalnya pula. Soalannya kali ini sedikit mengejutkan saya. Tidak tahu hendak dijawab bagaimana. Seakan tempelaknya terkena ke muka saya juga.

“Manusia ni walaupun berbeza agama tetapi perangainya tetap sama. Ada yang hendak ikut undang-undang dan ada yang langgar. Samalah macam pelajar sekolah, ada pelajar yang ikut peraturan dan ada pelajar yang tak ikut,” Dan saya harap jawapan ini dapat menjawab soalannya tadi.

Cuma apa yang ingin diutarakan di sini, bukan isu bagaimana hendak menjawab soalan tersebut. Tetapi isunya adalah jika seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang tidak baik, yang rosak bukan sekadar namanya tetapi juga organisasi yang dimasukinya. Mugkin ada sedikit terpantul kepada organisasinya itu.

Begitulah juga dengan agama yang anda pegang hari ini. Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai jenis manusia. Tidak kiralah orang itu agama apa. Tetapi mereka juga memerhati tingkah laku kita.

Dan mungkin jika kita berkelakuan tidak elok, ada jenis yang sekadar mempersoalkannya di dalam hati, tetapi bila sampai ada orang yang mahu mengajaknya masuk ke dalam Islam, jangan hairan jika perkara tersebut yang akan menjadi persoalannya nanti.

Dan andai orang yang melihat jika kita berkelakuan tidak sedap dipandang itu adalah orang Islam sendiri tetapi ragu-ragu dengan keislamannya, mungkin hal ini menjadi lebih parah lagi.

Kita Adalah Cermin

Ada satu lagi kisah yang saya alami semasa mengikuti Program Latihan Khidmat Negara dulu. Ada seorang sahabat baik saya seorang lelaki cina, Ng Teng Hong.

“Azree, kamu orang Islam kena sembahyang hari-hari kan?” Saya menganggukan kepala dan kemudian dia menyambung, “Tapi kenapa tak nampak diorang sembahyang pun.”

Itu pandangan seorang beragama Budha terhadap kami peserta Muslim. Kemudian masih dalam perkara yang sama tetapi saya berhadapan dengan peserta lelaki yang beragama Islam pula bila diajak sembahyang sama-sama.

“Kau nak ajak aku buat apa. Tu budak sekolah agama tu, tak sembahyang pun,” Katanya sambil menunjukkan ke arah seorang rakan sebilik. Terasa dengan kata-kata rakan itu, barulah dia sembahyang juga. Tapi, tidak pasal-pasal nama ‘sekolah agama’ juga yang keluar.

Teringat kata Nabi Muhammad, “Seorang yang beriman itu adalah cermin kepada saudaranya.”

Kata-kata yang ringkas tetapi memberi makna mendalam. Nabi Muhammad hanya mengibaratkan seorang muslim kepada muslim yang lain dengan objek cermin. Mesti ada sebab-sebabnya.

Ciri-ciri cermin

Saya cuba bahagikan kepada dua untuk menerangkan ciri-ciri cermin ini. Pertama, bagaimana kita cirinya yang perlu kita ambil. Kedua, ciri-ciri cermin yang perlu kita berhati-hati.

Kenapa kita pula yang kena berhati-hati? Kerana Nabi Muhammad telah mengibaratkan kita sebagai cermin. Cuma kita kurang berhati-hati dengan sifat kita yang seperti cermin.

Ciri paling umum sesuatu cermin adalah pantulan(reflection). Apabila kita berdiri di depan cermin, akan wujud imej kita di cermin tersebut. Itulah yang dipanggil sebagai pantulan. Sifat pantulan inilah yang perlu ada bagi setiap orang muslim, tidak kira jurujual, doktor, peguam dan lain-lain lagi.

Dan kita perhatikan pula bagaimana cermin bertugas dalam memberi pantulan(reflection) yang perlu kita tiru:

1. Senyap - Cermin memberi reflection tanpa berkata apa-apa. Begitulah juga kita, untuk menegur, perlulah menegur secara hikmah, baik bukannya dengan cara memaki hamun, mengata, mengumpat dan sebagainya.

2. Sepanjang masa – Cermin memberi reflection sepanjang masa, tidak kiralah bila-bila masa kita ke cermin tersebut, pasti cermin tersebut akan menjalankan tugasnya. Dari pagi sampailah ke pagi esoknya. 24 jam. Begitulah juga dengan kita, perlu memberi imej diri yang baik 24 jam. Dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Bukan sejam dua sehari.

3. Tidak lupa tugas - Jika kita memecahkan cermin, kita masih boleh nampak diri kita pada serpihan-serpihan cermin itu kerana perlu diingat reflection cermin sepanjang masa. Signifikannya biar dimaki hamun, dizalimi, atau dalam keadaan susah kita tetap perlu menunjukkan imej muslim yang baik.

4. Tidak mengungkit - Keburukan yang terserlah hanya diberitahu semasa kita berhadapan dengan cermin. Cermin tidak akan menyimpan imej-imej buruk tersebut selepas kita beredar dari cermin tersebut. Begitulah juga dengan kita, setelah memberi teguran kepada saudara kita, haruslah kita cuba melupakan keburukan mereka.


Kemudian kita lihat pula apa ciri-ciri cermin yang perlu kita berhati-hati:

1. Tidak memilih imej - Cermin tidak memilih imej untuk dipantulkan. Kalau imej luar seseorang itu buruk, maka buruklah juga imej dalam cermin tersebut. Jadi, perlu kita hati-hati setiap masa kerana diri kita sentiasa memberi pantulan imej muslim kepada orang ramai.

2. Boleh berhabuk dan berdebu - Cermin tidak boleh memberi imej yang sempurna dalam keadaannya berhabuk dan berdebu. Jadi, walaupun imej kita baik tetapi badannya penuh debu atau kotor, ia tidaklah dapat memberi imej yang baik sepenuhnya.

Anda ada idea lagi tentang ciri-ciri cermin? Boleh kongsikannya dengan saya.



Sumber: Isi-isi tentang cermin ini diambil dari khutbah jumaat pada 16 November, Riley Smith Hall, University Student Union, University of Leeds. www.ibnulatef.blogspot.com.


*Azree Hanifiah merupakah salah seorang penulis jemputan iLuvislam.com. Beliau kini merupakan seorang pelajar kejuruteraan di UIAM. Artikel dipetik daripada blog beliau.

Sunday, July 6, 2008

Islam dan Melayu dan Islam

Memang meletakkan Melayu sebagai matlamat perjuangan sehingga mengesampingkan Islam itu tidak tepat. Tetapi dalam konteks Malaysia, memperjuangkan jatidiri Melayu itu bagi saya berperanan penting juga dalam membina sebuah umat yang berjaya.

Bahasa dan kebudayaan Melayu itu adalah medium utama yang digunakan untuk menzahirkan 'nilai-nilai Islami' dalam masyarakat sejak mula Islam didakap oleh umat lagi. Kebudayaan di sini merangkum aspek sopan santun dan budi bahasa, malah merangkum kedudukan Islam sendiri yang diletakkan tertinggi dalam struktur budaya Melayu. bukan merujuk kepada seni-senian yang ada tempatnya melanggar nilai Islam.

Kerana 'gaya hidup Islam' itu adalah subjektif, dan mengaitkannya dengan imej yang lebih hampir seperti jati diri bangsa sendiri, bagi saya akan menjadikan umat lebih mudah mesra dan menghayati.

Lagipun, tidak salah bukan untuk kita menghargai dan menyayangi jatidiri kita sendiri? Identiti kita sendiri. Islam itu fleksibel dan tidak menuntut kita mencabut diri daripada akar umbi.

Banyak orang menyedari peri mustahaknya kepentingan agama dimartabatkan dan diserapkan dalam jiwa rakyat. Tetapi tidak ramai yang mengerti, apatah lagi menyuarakan, jauh sekali memperjuangkan, tentang letak duduknya budaya dan bahasa Melayu dalam strata prioriti pembangunan insan.

Abaikan suara-suara retorik yang menggadai 'perjuangan bangsa' demi kepentingan sendiri. Bukan itu yang saya maksudkan. Bukan 'jihad menyelamatkan makyong' dan 'perjuangan mengembalikan kegemilangan joget' yang saya kaitkan.

Saya merujuk kepada ajakan, galakan, seruan, dan desakan supaya umat Melayu kembali kepada akar budaya mereka yang kaya dengan segala falsafah dan sopan santunnya, yang berlilit kait dengan Islam.

Bukanlah maksud saya pemerkasaan jatidiri Melayu ini lebih penting daripada memartabatkan Islam, jauh sekali menggantikan perjuangan memartabatkan Islam. pemerkasaan jatidiri Melayu, Bagi saya, akan menjadi instrumen yang dapat membantu dalam usaha memartabatkan Islam.

Pihak-pihak yang memperjuangkan ketuanan Melayu mempunyai justifikasi mereka sendiri. Ada yang berkata, inilah caranya, 'taktik sulit' untuk memelihara martabat Islam. Sementelah perlembagaan tidak memberikan sebarang keistimewaan terhadap Islam selain daripada Artikel 3 - Islam agama rasmi - , dan kita maklum mudahnya sensitiviti tercuit jika apa-apa berunsur Islam diwara-warakan dan disebarluaskan. Sesatlah, ekstrimislah, macam-macam lagi. dan mereka melihat agenda ketuanan Melayu ini memberi ruang kepada mereka untuk memelihara ketuanan Melayu sekaligus martabat Islam di bumi bertuah ini, Sementelah juga dilihat lebih mudah menjaga martabat Islam melalui cara ini kerana sudah termaktub 'ketuanan Melayu' dalam dasar negara. Hasil persetiaan murni yang mengizinkan pendatang berkongsi hak menjadi warga negeri.

Sukar sekali sebenarnya memisahkan soal-soal Islami daripada soal-soal Melayu, dalam konteks negara ini. Lihatlah, apabila 'pihak-pihak tertentu' mempersoalkan ketuanan Melayu, hampir serentak 'ketuanan Islam' turut dipersoalkan. Mereka bertanya mengapa Melayu punya hak istimewa, adakah Islam bersifat tidak adil.

Daripada satu segi, nampaklah silapnya apabila melabelkan Melayu=Islam dan Islam=Melayu, kerana kekalutan yang melanda umat Melayu akan memalit noda kepada Islam yang tidak salah apa-apa.

Jadi bagaimana? Memang kita tahu, meletakkan Islam sebagai teras perjuangan mengatasi unsur-unsur bangsa dan perkauman adalah kunci untuk mencapai kesepaduan dan kemakmuran. Tetapi dalam konteks sekarang, jalan seolah-olah buntu.

Pertubuhan-pertubuhan yang mengaku memperjuangkan Islam bertelagah sesama sendiri. Masalah dalaman mencanak. Memperalatkan agama. Jumud dalam penafsiran dan aplikasi agama, Tuntas khalayak silap mengerti, langsung menolak Islam itu sendiri.

Pertubuhan-pertubuhan politik ala 'ketuanan Melayu' pula taksub dengan agenda bangsa sehingga meremehkan atau mengelakkan daripada meletakkan agama sebagai item yang penting dalam perjuangan mereka. Mengapa? Kepentingan diri, kejahilan.

Tetapi jika kita cabut 'ketuanan Melayu' daripada konsep bernegara di Malaysia sekarang, logiknya Islam juga tidak akan mendapat tempat dalam perundangan. 'ketuanan Melayu' telah membolehkan orang-orang Melayu berada di tempat-tempat yang 'tinggi', dengan 'jaminan hak', sekaligus memberikan mereka 'suara' untuk mempertahankan Islam.

Kerana Islam di Malaysia seolah-olah belum mampu berdiri sendiri dalam lokus perundangan, sekadar menumpang peruntukan-peruntukan kecil perlembagaan (yang diserang dari segenap segi, hatta oleh Melayu-Islam sendiri), dan musuh-musuh menanti daripada segenap sudut, mencari lompong walaupun sebesar kuman untuk menerobos dan menyerang.

Saya rindu melihat gagasan penyelesaian yang sistematik, kemas, dan realistik kepada situasi ini.