Wednesday, May 14, 2014

ALLAH MENENTUKAN YANG TERBAIK


oleh: Fuad Latif 
 بسم الله الرحمن الرحيم~
Sesuatu yang terbaik bagi kita belum tentu terbaik bagi Allah. Hidup ini adalah pilihan. Setiap apa yang kita lakukan merupakan pilihan. Ramai di antara kita mempunyai hajat sebagai contoh ingin menjadi kaya dan kita merasakan ia adalah terbaik bagi kita. Setiap hari kita bekerja dan berusaha ke arah itu dengan harapan hajat menjadi kaya itu menjadi kenyataan. Kita melakukan pelbagai cara untuk memotivasikan diri kita ke arah itu. Kita juga melakukan ibadah seperti solat malam, bersedekah dan sebagainya dengan harapan Allah makbulkan hajat kita.

Pernahkah kita fikirkan banyak doa dan permohonan kita kepada Allah yang tidak dimakbulkan? Akhirnya amalan ibadah kita menjadi kurang dari hari ke sehari kerana kita rasa penat melakukan tetapi masih tidak berjaya. Atau mungkin kita sudah berjaya tetapi ibadah pula semakin kurang kerana apa yang kita hajati sudah dimakbulkan.

Mengapa begitu?

Di dalam setiap hajat dan keinginan kita, pernahkah kita memohon kepada Allah dan bertanya kepada Allah samada apa yang kita inginkan itu merupakan yang terbaik untuk kita dan terbaik di sisi Allah? Konsep Qada’ dan Qadar adalah Allah akan memberikan apa yang dihajati oleh manusia kerana Allah tidak zalim. Allah tidak menetapkan sesuatu kepada kita melainkan semuanya adalah pilihan kita sendiri. Namun ada beberapa perkara menjadi ketetapan Allah kepada diri kita.
Apabila kita memilih untuk menjadi kaya atau sebagainya, adakah semua itu terbaik untuk kita dan terbaik di sisi Allah? Adakah ia cuma terbaik bagi kita tetapi sebenarnya tidak terbaik di sisi Allah. Jika ia tidak terbaik di sisi Allah, maka sudah pasti apabila kita menjadi kaya, kita akan lupakan Allah. Allah maha mengetahui apa yang berlaku di masa hadapan kita. Namun disebabkan itu adalah pilihan kita dan Allah izinkan, maka walaupun perkara itu tidak baik di sisi Allah, kita tetap dapat apa yang kita hajati tetapi malangnya ia bukanlah terbaik di sisi Allah. Apabila kita kuat beribadah dan berdoa serta memohon kepada Allah dengan harapan hajat kita dimakbulkan, maka tinggalkan ibadah kita hanya disebabkan hajat kita. Bukan kerana cintakan Allah. Kita bersusah payah dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah tetapi malangnya semua itu bukanlah kerana cintakan Allah tetapi kerana hajat kita semata-mata.

Saudara,
Di masa ini telah masuk minggu ke-3 Israel menyerang Palestine. Kebanyakan orang berdoa agar Allah hancurkan Israel. Tetapi apa yang kita lihat segala doa yang sebegini belum lagi dimakbulkan. Israel tetap kuat dan ganas menyerang Palestine. Adakah harapan kita Allah menghancurkan Israel itu adalah terbaik di sisi Allah? Menyedari dan Merasai dengan sebenarnya kepentingan Allah SWT di dalam kehidupan. Kerana itu saya tidak pernah mendoakan kehancuran Israel atau Amerika atau apa sahaja. Apa yang saya doakan adalah mendoakan agar Allah selamatkan umat Islam di seluruh dunia. Bagaimana Allah ingin menyelamatkan seluruh umat Islam di seluruh dunia, hanya Allah yang Maha Mengetahui cara yang terbaik untuk kita. Jika kita berdoa agar Allah hancurkan Israel dan Amerika, dan doa kita diizinkan atau dimakbulkan Allah tetapi bukan terbaik di sisi Allah, maka pasti sesuatu malapetaka susulan akan berlaku. Contoh yang ketara adalah peristiwa 11 September di mana Amerika diserang. Jika apa yang dilakukan untuk menghancurkan Amerika itu bukan cara yang terbaik di sisi Allah, lihatlah apa yang terjadi kesannya kepada umat Islam sekarang. Terorist terus
dilabelkan ke atas umat islam. Segala kejahatan di dalam dunia ini, pasti umat islam disalahkan terlebih dahulu. Sebelum kita melakukan sesuatu, mohonlah kepada Allah. Istigharahlah banyak banyak samada apa yang kita lakukan itu adakah terbaik di sisi Allah atau tidak. Adakah segala hajat dan keinginan kita itu terbaik di sisi Allah. Jika tidak, kita mohon agar Allah hilangkan rasa keinginan itu lalu kita tidak lagi memohonnya.
 
Hidup ini adalah pilihan. Setiap apa yang kita lakukan merupakan pilihan. Saudara membaca artikel ini merupakan satu pilihan samada ingin baca atau tidak. Saudara ingin baca sehingga habis atau tidak pun merupakan satu pilihan. Makan atau tidak juga pilihan. Memilih lauk mana ingin dimasak dan dimakan juga pilihan. Segalagalanya pilihan. Maka tidak ada siapa yang boleh mengetahui masa hadapan melainkan Allah. Mohonlah yang terbaik daripada Allah dan setiap yang kita inginkan, pastikan ia juga terbaik disisi Allah. Bagaimana untuk mengetahui samada sesuatu itu terbaik bagi Allah? Caranya adalah KOMUNIKASILAH SETIAP SAAT DENGAN ALLAH. Allah akan kuatkan gerak hati (intuition) kita dan juga Allah beri petunjuk melalui bahasa alam, inshaAllah..

wallahu'alam..



No comments: