Friday, March 11, 2011

Hiburan itu INDAH andai...


Hiburan mendidik jiwa
Islam itu indah

Islam adalah satu agama yang diturunkan oleh Allah bersesuaian denagn fitrah dan naluri manusia. Tidak ada satu pun di dalam ajaran Islam yang disampaikan oleh Rasulullah bercanggah dengan tatacara hidup manusia sejak dahulu hinggalah ke hari kiamat. Begitulah indahnya agama Islam yang kita anuti ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud :

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redha Islam itu menjadi agama bagimu”

Secara naluri dan fitrahnya, setiap manusia mencari sesuatu yang boleh memberikan ketenangan kepada jiwa dan yang boleh mendatangkan keseronokan kepada diri. Namun setiap perkara yang boleh mendatangkan keseronokan dan ketenangan ini harus didasari dengan jalan-jalan yang selari dengan tuntutan agama. Secara realitinya ketika ini, manusia melihat hiburan itu sebagai satu platform yang boleh membawa kepada ketenangan dan keseronokan kepada diri. Namun hiburan yang diambil ini harus dipimpin dengan syariat Allah. Perkara ini harus dilakukan agar kita tidak terjerumus dengan dunia kelalaian sehingga mengabaikan urusan agama semata-mata terlalu mengagungkan hiburan.

Islam tidak pernah melarang untuk manusia berhibur tetapi hiburan yang dipilih itu mestilah selari dengan kehendak Allah dan bukannya semata-mata kehendak nafsu. Ini berdasarkan hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Hadith tersebut jelas menyatakan kepada kita bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa dan menenangkan adalah diharuskan di sisi Islam cumanya ia harus dipandu dengan syariat Allah.

Renungan buat aktivis dakwah

Menurut garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di dalam laman sesawangnya, dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia  dalam persidangan kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan bahawa  nyayian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus dan jika perkara sebaliknya berlaku, menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia ianya adalah haram.[1]

Bagi seorang aktivis dakwah, hiburan yang jelas bertentangan dengan tuntutan agama dan melalaikan pasti akan cuba dicegah  dengan bermati-matian. Perkara baik seperti ini jelas menunjukkan betapa tegasnya pendirian setiap daripada aktivis dakwah yang jelas tidak mahu berkompromi dengan apa sahaja perkara yang boleh merosakkan pemikiran masyarakat. Namun, setiap perkara yang dicegah itu seharusnya didatangkan dengan solusi bersamanya. Sudah diketahui bahawa Islam itu datang dalam keadaan yang cukup cantik. Islam ajarkan kepada kita tentang amar makruf nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.Amar makruf dan nahi mungkar ini harus digerakkan seiring bersama tanpa meninggalkan salah satu daripadanya.

Malang sekali jika sekiranya seorang aktivis dakwah hanya mengerakkan nahi mungkar dan meninggalkan amar makruf. Seorang aktivis dakwah seharusnya bersifat membaiki bukannya menentang semata-mata. Seorang aktivis dakwah seharusnya bersifat menyantuni dalam ketegasan dan bukan mencela. Sekiranya kita sekadar mencegah tanpa memberikan solusi, mana mungkin dakwah yang cuba kita sampaikan berkesan kepada masyarakat sedangkan masyarakat mahukan hiburan. Seorang aktivis dakwah harus memikirkan alternatif yang terbaik untuk perkara-perkara ini untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Solusi buat kita

Motto UTM iaitu “ Kerana Tuhan Untuk Manusia”,  Pelan Transformasi  Pembangunan Mahasiswa (PTPM), Budaya Ilmu dan pelbagai lagi program yang dianjurkan adalah untuk mewujudkan atau mendidik mahasiswa dan staff universiti menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Namun segala perkara baik ini dipandang sepi sekiranya ada unsur-unsur yang mencemarkan seperti hiburan yang bertentang dengan Islam dan Dasar Kebudayaan Universiti.

Kalau kita meneliti setahun demi setahun, permasalahan hiburan sering kali menjadi masalah kepada pelbagai pihak sama ada yang menyokong dan yang cuba mencegahnya sehinggakan ada yang bertegang leher berkenaan isu ini. Persoalannya adalah  ia berlaku sepanjang tahun tanpa kesudahan. Masa untuk transformasi harus tiba selari dengan dasar-dasar yang diusulkan oleh UTM. Satu solusi harus dicari bagi memastikan setiap aktiviti yang dianjurkan pada masa akan datang tidak lagi timbul isu hiburan yang melalaikan ini.

Pusat Islam (PIUTM), Pusat Kebudayan UTM, Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMAUTM), Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPMUTM), Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUTM) dan pihak berwajib yang lain seharusnya duduk berbincang bersama mencari solusi terbaik untuk memastikan tidak ada lagi hiburan yang melalaikan masuk ke UTM. Dasar kebudayaan universiti juga harus dibukukan dan diberikan kepada setiap kelab atau persatuan pelajar dan staff agar dasar yang dibuat sekian lama ini difahami dengan jelas dan menjadi tuntutan untuk diikuti. Satu diskusi berkenaan dasar ini juga harus diwacanakan secara ilmiah kepada seluruh mahasiswa dan staff universiti. Semoga universiti, masyarakat dan negara yang kita dicintai ini mendapat kerahmatan daripada Allah

Rujukan:


No comments: