Wednesday, August 11, 2010

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Narrated Abu Huraira: The Prophet, Rasulullah (peace be upon him) said,

"When Ramadan begins, the gates of Paradise are opened."   [Bukhari]

Kehadiran bulan ramadan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan. Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah:


1. Disyariatkan Ibadah Puasa

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu." ­[Riwayat Imam Ahmad]

2. Bulan Diturunkan Al-Quran

Kalamullah telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:

"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah."
[Surah al-Baqarah: 185]

3. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­[Riwayat Muslim]

4. Pintu Langit Terbuka Luas dan Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat

ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." [Riwayat al-Bukhari]

5. Syaitan dan Jin Dirantai

Pada bulan Ramadhan, syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan, dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." [Riwayat al-Tirmizi]

6. Terdapat Lailatul Qadar

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." [Surah al-Qadr: 1-5]


p/s: Ramadhan hanya setahun sekali, dan mungkin kita tidak mampu bertemu dengannya lagi tahun depan. Semoga Ramadhan penuh berkah ini membawa seribu makna buat kita semua. Dan bersama-sama kita membina taqwa dalam bulan yang penuh rahmah ini. Insya Allah.



No comments: