Sunday, July 4, 2010

kata alu-aluan ketua BADAR

Assalamualaikum dan Salam Sejahteta..
             
Selamat datang diucapkan kepada seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia khususnya mahasiswa tahun satu bagi sesi 2010/2011. Tahniah atas kejayaan mendapat tempat di universiti yang menjadi kebanggaan kita bersama, Universiti Teknologi Malaysia. Kejayaan ke sini sudah pasti menjadi kejayaan yang diidamkan bagi seseorang pelajar khususnya yang meminati bidang kejuruteraan. Sudah pasti mahasiswa baru tertanya-tanya apa keistimewaan yang ada pada tempat yang dinamakan ‘universiti’. Berdasarkan seorang sarjana;

“..universiti bukan hanya bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah universiti mana pun, pengajar atau gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan universiti. Jadi cemerlang atau tidak universiti bergantung pada ilmu pengetahuan dan pengenalan yang ada pada diri guru masing-masing. Sekiranya ilmu yang ada pada guru itu tidak matang serta mendalam, maka tentu sahaja taraf universiti itu tidak akan cemerlang.” (Al-Attas, S.M.N. 1998)


Budaya Ilmu

Budaya Ilmu juga sesuatu yang menarik yang ada pada sesebuah universiti. Saya juga ingin merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.

Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidak berbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual-beli. (Dato’ Saifuddin Abdullah, 2009)

Menghayati merupakan elemen yang penting yang ada pada sesebuah universiti.

Tradisi Mencabar & Apati

Tertarik dengan pesanan bekas Naib Canselor Unversiti Malaya, Prof. Ungku Aziz dalam kata pengantar buku ‘Mahasiswa Menggugat’ karangan Muhammad Abu Bakar: Biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.

Mencabar menyebabkan mereka sentiasa berfikir dalam segala tindak tanduk dan perbuatan. Mereka tidak mendungukan diri dalam segala kritis-kritis yang yang dikenakan dan tidak membuta tuli dalam memberikan kritikan. Mahasiswa mencabar lebih terkehadapan dalam menentukan masa hadapan mereka. Realiti dunia mahasiswa kini yang perlu dielakkan khususnya para mahasiswa baru yakni apati yakni sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian. Sikap seperti ini menyebabkan segala macam perkara yang dianjurkan dan dicanangkan kepimpinan mahasiswa dan universiti bakal tergendala akibat kurang sambutan. Ini menyebabkan visi, misi dan objektif universiti bakal tidak tercapai.

Penutup

Kejayaan sesebuah universiti khususnya mahasiswa bukan peranan pentadbiran sahaja dan juga peranan mahasiswa sahaja. Dalam menggerakkan universiti semua pihak harus memainkan peranan mereka. Mahasiswa baru harus sedar kemasukan mereka ke universiti adalah satu pintu bagi mereka mempelajari nilai-nilai kehidupan. Mahasiswa baru, bersedialah dan selamat maju jaya!.

Salam Islamisasi.


1 comment:

Anonymous said...

salam..
ucapan tahniah kepada BADAR KTC..
sy mewakili ex-jkmktc 2005 mendoakan agar adik2 semua bersemangt dlm meneruskan perjuangan.. moga istiqamah..

Wasalam.
Ikhlas --> farah