Suati hari, Saidina Usman r.a. berjalan melintasi sebuah kawasan kubur. Tiba-tiba Saidina Usman berhenti melangkah dan terdiam. Kemudian air matanya mengalir setitis demi setitis, hingga membasahi janggutnya.
Melihat Usman menangis teresak-esak di tepi kuburan itu, datang seorang sahabat lalu bertanya, "Wahai Amirul Mukminin, engkau selalu menyebut syurga dan neraka serta segala penderitaan di hari akhirat, tetapi aku tidak pernah melihat engkau menangis semasa memperkatakannya. Tapi hari ini apabila engkau berjalan ditepi kuburan, engkau menangis pula. Apa sebabnya wahai Amirul Mukminin?".
Jawab Usman,"Kerana Nabi telah bersabda,' Kubur ini tempat pertama dari tempat-tempat akhirat dan tempat terakhir dari tempat-tempat dunia. barang siapa yang selamat dari kubur itu, maka apa yang sesudahnya adalah lebih ringan. Dan barang siapa yang tidak selamat darinya, maka apa yang berlaku sesudahnya akan lebih berat lagi."
Usman mengesat air matanya, kemudian menyambung, "Jika aku di neraka, aku akan bersama manusia lain, jika aku dialam akhirat akupun bersama manusia lain, tetapi jika aku berada di dalam kubur maka tiada seorang manusia pun bersamaku. Tinggallah aku bersendiri sahaja di dalam pusara. Itulah sebabnya aku menangis."
Rujukan: Mastika, September 2008
No comments:
Post a Comment