Saturday, September 13, 2008

Mahu Menjadi Bintang

oleh: Azree Hanifiah

Dan dia melompat lagi. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Terkinja-kinja ke depan terkinja-kinja ke belakang. Tangannya dihayun-hayun tidak tentu arah. Habis satu rangkap, dia berlari ke tengah pentas pula. Aksi lain pula mahu ditonjolkan.

Entah dia faham atau tidak lirik lagu bahasa Inggeris yang dinyanyikannya itu. Kejap menjerit kejap ... ops ... pitching lari. Sedikit sumbang suaranya ketika menjerit satu baris lagu tersebut. Tidak sampai agaknya.

Suaranya hampir hilang malam itu. Baru dia sedar rupanya sakit juga tekak menjerit-jerit walaupun sudah memakai mikrofon. Hurm. Sudah ada mikrofon pun mahu dijeritkan lagi suara. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Tiada siapa yang mengajarnya kenapa mikrofon dicipta dan bagaimana menggunakannya dengan betul.

Tamat saja program pada malam tersebut, terus saja ibunya diwawancarai oleh seorang pemberita.

"Saya tahu anak saya memang ada bakat dalam bidang nyanyian. Dan insyaAllah anak saya ini akan berjaya menjadi artis yang popular satu hari nanti."

ii

Berkali-kali ia membetulkan posisi kopiahnya. Namun, sayangnya, berkali-kali pula dia gagal memertahankan posisi kopiahnya. Maklum saja, kopiahnya terlalu besar untuk kepala si bocah berusia lapan tahun itu.

Tapi, kopiah bukan halangan baginya untuk menyihir penonton dengan materi dakwahnya. Benar saja. Si bocah tersebut bak bintang terang. Ia berhasil menarik para penonton untuk memberi sokongan kepadanya lewat SMS.

Sebelum ini ramai meragui kebolehannya.

"Betulkah si budak ini boleh berpidato di depan khalayak ramai? Takut nanti tergagap saja."

Kali ini di hadapan beribu penonton, dia petah berkata-kata menyampaikan sesuatu yang datang memang betul-betul daripada dirinya. Bukan sekadar teks yang dihafal. Sesekali dalam ucapannya, dia menceletuk dengan unsur-unsur humor. Hadirin berasa terhibur, ada juga yang rasa disindir tetapi turut senyum juga melihat kepetahannya berkata-kata.

Apabila dirinya ditanya oleh wartawan dengan riang hati dia menjawab, "Duit hasil kemenangan saya ini akan saya tabung buat biaya persekolahan saya.

Program realiti tv

Sebenarnya saya baru sahaja mengenali rancangan program realiti tv di Indonesia yang diberi nama PILDACIL ini. PILDACIL yang bermaksud Pemilihan Da'I Cilik merupakan salah satu program realiti tv terbitan LATIVI.

Konsep yang dibawa lebih kurang sama seperti Akademi Fantasia. Kanak-kanak yang ingin menjadi finalis PILDACIL perlu menduduki sesi temuduga. Mereka bukan sahaja perlu menghafal Al-Quran malah meraka juga perlu memahaminya dan perlu mempunyai pendidikan agama Islam yang baik.

Hal ini saya lihat sangat berbeza dengan keadaan di Malaysia. Memang ada program realiti tv untuk si kecil tetapi kebanyakkannya berbentuk nyanyian semata. Mahu mencipta bintang kata mereka. Tetapi bintang yang bagaimana?

Kalau satu ketika dahulu semasa saya kecil, seingat saya banyak juga program tv yang bagus untuk kanak-kanak seperti Cerdas Cergas, ALONG(Ini yang paling saya suka), dan lain-lain lagi. Tetapi entah mengapa rancangan di televisyen kini banyaknya dihambat oleh program-program hiburan. Bukannya saya membantah 100% program berbentuk hiburan seperti nyanyian.

Kalau ia sesuatu yang baik apa salahnya. Kalau ia dapat membawa perubahan supaya si cilik berfikir dengan lebih kritis dan mendalam, apa salahnya. Tetapi anda sendiri boleh lihat bagaimana program-program yang baik tidak diteruskan. Sebaliknya diganti dengan program yang lebih menjurus kepada hiburan semata.

Perlu ada nilai tambah

Bukannya tidak boleh berhibur, menyanyi, menjerit dan melolong. Tetapi perlulah ada satu nilai tambah(value add) dalam program tersebut. Sekaligus menarik mereka untuk sama-sama menghayati keindahan Islam dan sejagat melalui kefahaman dan pengamalan yang benar. Mahu menjadi bintang, biarlah menjadi bintang yang terang sinarnya.

Contohnya nilai tambah tersebut, kalau mahu menyanyi itu perlu mengarang lirik atau lagu sendiri. Dan dalam mengarang lirik itu perlulah diajar lirik yang bagaimana yang bagus, yang ada mesej baik untuk disampaikan.

Harapnya tidaklah ada lagi lirik-lirik lagu yang pelik dihasilkan macam ‘tak tahu', ‘mari berjoget', ‘bunga-bunga api' dan macam-macam lagi. Rasanya bila buka radio, saya berfikir-fikir adakah penulis lirik negara ini sudah ketandusan idea lain untuk menulis lirik.

Boleh juga diletakkan nilai tambah yang lain yang lebih bagus. Cuma poinnya perlulah ada sesuatu nilai supaya si cilik itu menjadi lebih kreatif. Bukan hanya sekadar menyanyi sahaja. Ya, biarlah menjadi bintang yang lebih murni terangnya. Supaya tembus jika ditutupi awan gemawan.

Kadang kerana kita memandang rendah terhadap apa yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak, maka kita tidak memikirkan yang program seperti Bintang Kecil dan sebagainya boleh diubah kepada satu program yang lebih baik, yang lebih mencungkil bakat terpendam(jika betul mahu mencungkil la).

Kita memerlukan satu program yang dapat memberi lebih kesan positif terhadap pembangunan negara kita.

Itqan

Saya menulis tentang perkara ini kerana melihatkan sudah terlalu banyak perkara di negara kita khususnya, impak positifnya seakan tidak diambil kira. Atau impaknya tidak kelihatan jika mahu dibandingkan dengan perbelanjaan yang telah dikeluarkan seperti program mengangkasa dan sebagainya.

Mahu melahirkan bintang, bukan hanya dengan duit yang banyak. Tetapi dengan strategi yang betul dan berkesan.

Setiap apa yang perlu kita buat mestilah dilakukan dengan optimum. Itulah prinsip Islam yang penting, Itqan. Setiap apa yang kita lakukan mestilah memikirkan dahulu apa impaknya. Adakah dengan modal sebanyak sekian, impaknya lebih besar dengan modal yang lebih kecil.

Dengan usaha yang minima dan menjimatkan, kita mendapat hasil yang maksima. Jadi, fikirkan semula adakah berbaloi jika program seperti Bintang Kecil itu diteruskan dengan cara yang lama atau perlu ditukar dengan cara yang lain supaya impaknya lebih memberi kesedaran kepada masyarakat. Dan juga kepada para pesertanya.

Persoalan ini juga saya tujukan kepada para pendukung dakwah di IPT. Selalunya program yang dibuat, yang hadirnya adalah muka yang sama atau daripada konco yang sama. Cuba fikirkan satu program supaya orang ‘luar' juga boleh tertarik untuk turut serta.

Setiap yang dilakukan, mestilah memberikan kesan positif yang optimum. Si kecil kita perlukan sesuatu yang lebih mematangkan mereka. Jangan sekali-kali dipandang rendah akan apa yang mereka mampu buat.

Bintang yang bagaimana yang kita mahukan?

No comments: