Wednesday, June 10, 2009

Masjid dicemari darah

'Saya hanya ingat mati'

Daripada Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my



12 jemaah ditembak mati ketika imam baca al-Fatihah pada rakaat kedua solat Isyak

NARATHIWAT (Selatan Thailand): "Ketika itu saya hanya terfikir saat kematian dan tidak mampu berpaling melihat siapa menembak kami," kata Nasir Ibrahim, salah seorang jemaah yang terselamat dalam serangan ketika solat Isyak di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, dekat sini malam kelmarin.

Nasir, 42, yang juga penghulu kampung itu berkata, imam Wan Abdullah Wan Latif, 62, sedang membaca surah al-Fatihah pada rakaat kedua apabila mereka diserang dua lelaki bersenjatakan raifel kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia itu.


Dua penyerang itu, yang berpakaian serba hitam, masing-masing berada di pintu utama dan sebelah kanan masjid berkenaan, melepaskan tembakan dari jarak kurang tiga meter ke arah jemaah, menyebabkan kebanyakan mangsa mati akibat terkena tembakan di kepala dan tubuh badan masing-masing.



Serangan kejam itu, yang dianggap paling buruk di selatan Thailand, menyebabkan 10 jemaah termasuk Wan Abdullah mati serta-merta, manakala dua lagi jemaah meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Narathiwat.

Sebelas lagi mangsa cedera parah dan dirawat di hospital itu. Hanya Nasir dan seorang lagi jemaah terselamat dalam serangan itu, tetapi terpaksa dirawat di Klinik Cho Airong dekat sini, ekoran trauma dan serangan jantung kerana terkejut.

Nasir berkata, tembakan bertalu-talu dari dari arah belakang dan tepi berlaku hampir 10 minit, menyebabkan ramai jemaah tumbang.


"Saya yang berada di hujung saf di sebelah kanan, turut merebahkan badan. Ketika kelam-kabut itu, saya merangkak di celah jemaah yang cedera dan berlumuran darah, menuju ke stor di sebelah tempat imam. Saya duduk di situ sehingga penyerang melarikan diri," katanya ketika ditemui semalam.

Walaupun bersyukur kerana terselamat dalam serangan itu, Nasir amat bersedih mengenangkan ramai jemaah termasuk Wan Abdullah yang menjadi korban serangan kejam itu.

Isteri Wan Abdullah, Yah Che Kob, 58, berkata ketika kejadian beliau berada di rumahnya, kira-kira 50 meter di hadapan masjid berkenaan.

"Secara tiba-tiba, saya terdengar bunyi tembakan bertalu-talu macam bertih goreng dari arah masjid. Saya terus berlindung di sebalik pintu rumah dan sejurus selepas itu, terdengar jeritan penduduk kampung menyatakan masjid diserang.

"Saya hanya mampu mendoakan keselamatan suami kerana saya tahu dia mengimamkan solat Isyak. Secara kebetulan anak lain keluar, jika tidak mereka juga berjemaah di masjid," katanya.

Yah berkata, jenazah suaminya hanya dapat dikeluarkan dari masjid itu kira-kira jam 7 pagi semalam.

"Serangan ini amat kejam. Mereka tergamak menyerang dan membunuh umat Islam yang sedang solat," katanya dengan nada sedih mengenangkan kematian suaminya yang sudah 15 tahun menjadi imam masjid itu.

Adik Wan Abdullah, juga seorang imam, Wan Ismail Wan Latif, 58, berkata selain abangnya, turut terkorban ialah lapan ahli kumpulan tabligh yang berkunjung ke masjid itu sejak tiga hari lalu.

Jenazah semua mangsa disemadikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan kampung itu kira-kira 11 pagi semalam dengan dihadiri kira-kira 2,000 penduduk termasuk kumpulan pelajar pondok sekitar Narathiwat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Razak Ali, yang meninjau tempat kejadian pagi semalam, mengutuk serangan kejam itu.

"Serangan kejam ini didalangi pihak yang tidak mahu melihat keamanan dinikmati semua penduduk di selatan Thailand. Mereka yang berbuat begini sebenarnya mahu melihat selatan Thailand terus berada dalam pergolakan," katanya.

Tinjauan Berita Harian mendapati, dinding depan masjid dan cermin pintu turut mempunyai kesan peluru, dipercayai akibat tembakan yang tersasar, manakala sebahagian besar lantai dipenuhi darah jemaah yang terkorban. Kesan itu hanya dibersihkan kira-kira 2 petang semalam dengan sebuah lori tangki air yang dihantar pihak berkuasa tempatan.


Tentera disyaki jadi dalang



NARATHIWAT: Kira-kira 1,000 orang berkumpul di Masjid al-Furqan, Kampung Air Tempayan, daerah Cho-ai-rong, Narathiwat, ketika 11 mayat - termasuk seorang imam - disolat dan dikebumikan, semalam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Rausa Aree, berkata dia mengambil sikap menunggu laporan pihak berkuasa yang kini masih menyiasat insiden itu.

“Kemudian, barulah keraguan penduduk kampung terjawab,” katanya.

Bagaimanapun, sebahagian penduduk kampung yakin serangan maut di masjid malam kelmarin dilakukan pasukan keselamatan kerajaan.

Penganalisis Human Rights Watch, Sunai Phasuk, berkata semua pihak tidak dapat menghalang kecurigaan umat Islam terhadap pembabitan tentera dalam insiden itu.

“Kawasan itu memang dikawal untuk menekan pemberontak,” katanya.

Kelmarin, sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu masjid di Cho-ai-rong, Narathiwat dan melepaskan tembakan rambang ketika penduduk kampung mengerjakan solat Isyak.

Sementara itu, panglima tentera Thailand menafikan pasukan keselamatan negara itu mendalangi serangan itu, sebaliknya menuduh ia angkara militan pemisah.

Jeneral Anupong Paojinda berkata, pejuang pemisah di selatan Thai terbabit dalam serangan itu tetapi meletakkan kesalahan kepada tentera.

“Pasti mereka mahu menggunakan isu ini untuk menarik perhatian antarabangsa dengan menjadikannya seolah-olah keganasan pihak berkuasa ke atas orang kampung,” katanya kepada media sebelum berlepas ke Narathiwat.


Kerajaan mengarahkan Anupong pergi ke wilayah bergolak itu bagi melihat sendiri keganasan terbaru dan terburuk dalam tempoh lima tahun.

Anupong berkata, selepas melakukan serangan militan menyalahkan pihak berkuasa.

“Mereka mengelirukan penduduk kampung dengan menimbulkan ketakutan,” katanya.

Sementara itu, pegawai berkata, Anupong berada di Narathiwat tetapi tidak melawat tempat kejadian. - AFP

Tuesday, June 2, 2009

Rokok Oh Rokok.....


Namaku Malboro, barang kesayangan Perokok sedunia. Adik beradik dan saudaraku banyak sekali; Peter Suyversant, Dunhil, Rothmans dan bayak lagi. Sepupuku dari Indonesia rajin datang ke sini, si Udang Garam, si Jarum, si Bentol dan Semporna datang berkodi-kodi, bermanja-manja mohon disayangi.




Orang bilang keluarga kami bangsa terhina. Siapa bilang? Kami disayangi semua Perokok. Dibungkus dengan kotak perdana...aneka warna. Walaupun harga kami tinggi, kami dibeli setiap hari oleh tua bangka, muda remaja, sama segala bangsa. Pasukan kami berjuang dengan tujuan yang sama. Untuk mempastikan agar kamu ketagihan sentiasa. Walaupun kami jadikan hidupmu sengsara. bila kamu sudah ketagihan, kami diperlukan setiap masa. Menjadikan kamu susah berpuasa. Tidakkah kaum kami sangat berkuasa?


Dibulan Ramdhan dapat kau tahan perutmu yang lapar, tekakmu yang dahaga, dapat juga kau sabar. Tetapi....ketagihan nikotinku, kau sampai nak jadi gila. Engkau ketagihan daun kering yang dibakar. Berapa pun hargaku, engkau mabuk, engkau mengarut, garu kepala seperti beruk. Bila keinginan kau rasuk dirasuk...oleh kaum kami Pasukan Rokok.

Nenekku berasal dari daun yang hijau. Orang memanggilnya daun tembakau. pohonnya hijau mudah dijangkau, disalai kering...dicampur pula racun meracau. Duitmu habis... puasamu rosak...nafasmu sesak...kenapakah engkau masih tidak risau? Bila jantungmu barah, Engkau pun rasa nak mati. Siapakah yang engkau akan marah, selain dirimu sendiri. Waktu engkau nazak, ingatlah waktu iklanku ini....