Sunday, October 12, 2008
Krisis Dunia vs Krisis Dosa
Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Kedatangan bulan Ramadhan walaupun menjadi suatu kebiasaan kepada kebanyakan orang, tetapi sebenarnya ianya menjadi suatu mercu tanda kepada orang-orang yang ingin mencapai kepada matlamat penghidupan yang sebenarnya iaitu seperti yang disebutkan oleh Allah swt khususnya dalam kontek kita berpuasa disebutkan sebagai "La 'al lakum tat takuun" maksudnya dengannya kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah swt.
Menjadi suatu yang agak lumrah kepada insan, biasa disebut, di hafal dan diingati kalimah ini "La 'al lakum tat takuun", tetapi pernahkah, sampaikah kita ke tahap "tat takuun" itu bila sampai Ramadan dan berakhir Ramadan?
Sampaikah kita kepada apa yang nabi sebut kepada isteri-isterinya dan kepada sahabat-sahabatnya iaitu " Faya 'ajaban liman adraka ramada na fala yukh farulah", iaitu maksudnya "Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya". Tidak ada insan yang tidak berdosa melainkan nabi yang maksom.
Lailatul Qadar dan Doanya
Kita lihat dizaman ini banyak perkara yang terpaksa kita telan dan kita tempuh. Akibatnya kita terpaksa menerima kemurkaan-kemurkaan Allah swt. kepada hamba-hambanya. Kita lihat dari bala bencana, musibah demi musibah, kita lihat dari berbagai-bagai kejadian yang tidak menyenangkan menunjukkan bahawa adanya kemurkaan Allah. Allah tidak akan murka melainkan kerana besarnya dosa manusia. Kerana itu datang Ramadhan, memanglah boleh menghairankan orang yang sempat hidup sampai Ramadhan, apabila habis Ramadan dosa dia tidak terampun.
Sebab itu Siti Aisyah radiaAllahhu anha ingin sangat untuk bertemua peluang dengan malam Qadar (Lailatul Qadar), dia bertanya kepada nabi "Bilakah berlaku malam Qadar?". Nabi bertanya kepada Aisyah semula "Apakah kamu nak buat bila kamu bertemu dengan malam Qadar?". Aisyah menjawab "Saya tak tahu" kemudian Aisyah bertanya lagi "Apakah yang patut saya buat bila bertemu dengan malam Qadar itu?". Nabi berkata kepada Aisyah "Malam itu malam yang amat baik untuk beramal dimalamnya dan amat mudah dimakbul Allah doanya". Aisyah bertanya lagi "Apakah doa yang paling baik untuk aku berdoa pada malam itu?" Nabi jawab "Kalau kamu sempat berjumpa dan mengetahui malam itu ialah malam Qadar berdoalah "Allah humma innaka 'afuu 'un karimun tuhib bul 'af wa fa' fu 'anni" (maknanya Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosa saya).
Sebenarnya Nabi dah tahu yang Aisyah itu akan masuk syurga ertinya dosanya telah diampunkan oleh Allah tetapi kenapa Nabi masih menyuruh Aisyah untuk memohon kepada Allah agar diampunkan dosa? Sedangkan Aisyah memang layak untuk tidak dimasukkan ke dalam neraka, hanya layak ke syurga. Soal dosa dan pahala dia dah tak kisah sangat tapi nabi masih menyuruhnya berdoa supaya Allah ampunkan dosa.
Kisah Uwais Al-Qarni
Saya nak kaitkan dengan satu kisah iaitu bila Allah bagitahu kepada nabi Muhammad s.a.w. iaitu ada insan yang akan lahir dikalangan *Tabiin. Nabi berpesan kepada Umar dan Ali, "Akan lahir dikalangan Tabiin seorang insan yang doa dia sangat makbul nama dia Uwais al-Qarni dan dia akan lahir dizaman kamu". Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai "al-Mubasyirun bil Jannah" iaitu mereka dah dijamin masuk syurga.
Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali, "Dizaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doa dia sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dbesarkan di Yaman. Dia akan muncul dizaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia mintak tolong dia berdoa untuk kamu berdua."
Sama juga macam kisah Siti Aisyah tadi, Umar dan Ali bertanya kepada nabi soalan yang sama iaitu "Apakah yang patut saya mintak daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah?" Nabi menjawab "Kamu mintak kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian". Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan nabi, minta sesuatu yang baik kepada mereka, nabi menjawab "Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt."
Jadi, topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau logiknya ahli syurga macam dah tak perlu kepada ampun dosa kerana mereka dah dijamin masuk syurga, tetapi tidak, nabi masih tekankan supaya mintak Allah ampunkan dosa.
Memang benarlah firasat seorang nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Memang mereka tunggu dan cari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata luar, tidak mungkin dia orang yang nabi maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang akal tidak sempurna (wire short), sesuatu yang macam tidak betul pada pandangan orang. Tetapi dia ada sesuatu.
Sayidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais ini minta satu sahaja iaitu minta supaya doakan supaya Allah swt. mengampun semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata "Aku datang ini dari Yaman ke Madinah kerana aku nak tunaikan wasiat nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku. Aku datang ini nak tunaikan wasiat itulah". Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Memang hairan
Seperti yang saya sebutkam dipermulaan tadi "Faya 'ajaban liman adraka ramada na fala yukh farulah", Memang hairan orang yang dapat hidup sampai Ramadan ini, tetapi dosa dia tidak diampun.
Kalau malam ini malam Qadar, fokus kita selalunya memanglah nak minta hal-hal keduniaan. Kalau kita dapat rasakan dalam perasaan dalaman seorang insan kecil hamba Allah ini apa yang hendak kita mintak di malam Qadar? Saya rasa orang tidak begitu berminat untuk minta supaya diampunkan segala dosa, mereka akan minta yang lain pula, minta saham naik, perniagaan laris, dapat kahwin lagi dua, kaya, mesti pilihan mereka kepada kesenangan-kesenangan dunia, sedangkan "Wallah yuridul akhirah". Allah dan RasulNya lebih mengutamakan penghidupan akhirat itulah yang paling mustahak sekali.
Selama ini pun kita tidak tahu bahawasanya terampunkah dosa-dosa yang telah kita buat? Walaupun kita rasa macam dosa itu Allah telah ampunkan. Ada peluang yang macam ini iaitu malam Qadar atau berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang konfirm macam tadi iaitu doa-doa mereka makbul seperti orang-orang yang soleh dan seumpamanya doa yang paling utama dan besar diminta ialah minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa kita.
Bukan kata orang lain sebagai contoh besar, hatta nabi yang dikatakan "Ghoforollah hu mat taqadaman", Allah ta'ala ampunkan dosa dia yang telah lalu (jika ada) dan juga ampun untuk yang akan datang. Tetapi kenapa nabi masih berdoa kepada Allah tiap-tiap hari tidak kurang dari seratus kali iaitu "Astagh firruka humma waatubu ilaih". Sehari seratus kali , sembahyang baginda, berdoa panjang-panjang sampai dikataka juga (hadith Aisyah) sampai bengkak kaki nabi. Sampai Siti Aisyah berkata kepada nabi, "Ya Rasulullah, kenapalah sampai kamu teruk-teruk beribadah hingga bengkak kaki, sembahyang lama-lama, menangis lama-lama, tidakkah Allah telah ampunkan dosa kamu dahulu dan kemudian?". Nabi menjawab "Kalau demikian adanya mengapa aku tidak menjadi hamba yang bersyukur".
Syukur maknanya melakukan ibadah kepada Allah swt. Inilah yang saya katakan tadi, datanglah sistem yang Islam kemukakan kepada ummah, seluruh aktiviti-aktiiti ibadah, penumpuan kepada persiapan-persiapan yang dikatakan "Wa tazau wadu" kesemuanya ditujukan ke arah pembersihan diri, hati, akal dan budi daripada yang dipanggil "al-khush" (yang tidak baik).
Pembersihan hati, pembersihan diri
Al-Quran memberikan satu analogi iaitu Bumi kalau sudah cantik dan subur dia mudah menumbuhkan pokok-pokok yang bermanfaat dan bagi bumi yang kotor (bagi maksud tidak sesuai ditanam tumbuhan) seperti tempat berbatu dan berpasir, tanam apapun tak tumbuh, kalau tumbuh pun dia tak jadi seperti tempat yang lain.
Maksudnya sama seperti insan, kalau yang disimpan dalam diri kita ini kotor (benda yang jijik) maka tidak akan keluar melainkan yang kotor juga. Kalau dalam diri kita baik, dia akan menumbuhkan yang baik, amal dia baik, kata-kata dia baik, akhlak dia baik, muammalah dia baik dan dia dikatakan orang yang baik. Allah itu baik, Dia tidak terima amalan melainkan amalan yang baik juga.
Sebab itu dari awal Islam datang dah ada sistem seperti contoh ayat-ayat al-Quran yang awal turun surah Al-Mudatsir, firman Allah yang bermaksud "Wahai orang-orang yang sedang tidur, bangunlah kamu beri peringatan kepada manusia (maknanya bergerak dalam satu wadah perjuangan, mengerakkan jiwa diri sendiri dan jiwa insan) dan kepada Tuhanmulah kamu wajib membesarkanNya, jangan mengagungkan yang lain, agungkan Allah swt. sahaja.
Caranya diberikan beberapa analogi seperti apa yang kamu pakai iaitu pakaian biasa, rumah tempat tinggal, kereta yang dinaiki dan apa sahajalah mestilah yang bersih, kamu kena sucikan dia. Sebab ini sangat kena dengan ayat yang nabi hayati. Diantara pakaian yang nabi suka pakai ialah pakaian putih yang melambangkan suci dan bersih. Walaupun kadangkala nabi pakai warna merah dan hitam didalam peperangan tetapi yang paling nabi sukai ialah warna putih. Sebab itu kita lihat, pakaian haji putih, kain kafan putih (tak pernah nampak lagi kain kafan warna hijau, kain kafan biru lagi tak pernah nampak).
Ditempat saya masjid-masjid gunakan kain putih sebagai alas tempat sujud. Serban umumnya putih. Serban nabi putih kadangkala ada yang hijau. Apabila diluar memakai pakaian putih bersih maka didalam diri perlu buang segala kekotoran. Islam mengajar agar diluar bersih sehingga kedalam diri juga bersih. Kalaulah inilah yang nabi buat dari pada mula memanglah bulan Ramadan ini yang utama ialah untuk membersihkan diri.
Krisis dunia vs krisis dosa
Semua krisis-krisis dunia, semua masalah yang insan hadapi didunia, yang kita hadapi hari ini dalam semua masalah, pergaduhan, hutang yang banyak, akan berakhir bila orang itu mati. Kita berjanji dengan orang, bertelagah, bergaduh, semua krisis-krisis dunia ini kepada seorang insan dia habis bila dia mati.
Tetapi krisis dosa dengan Allah ta'ala khasnya krisis keimanan, krisis kerana kita menyimpan dosa yang melibatkan iman dan sebagainya, didunia dia tidak menampakkan masalah tetapi sebenarnya ia akan bermula apabila telah hampir nak mati, masuk kubur lagi masalah, alam barzakh lagi masalah, sampai kepada alam mahsyar lagi bermasalah puncanya balik kepada dosa tadi.
Sebab itu nabi telah bagi satu garis panduan yang cukup senang kita faham. Kita tidak disuruh minta dimalam Qadar supaya turun emas dari langit, minta agar dikasihani oleh semua orang, minta agar dijadikan ketua selama-lamanya, untung berniaga, bukan itu yang patut diminta. Sebaliknya nabi bagi contoh kalau ini dapat kamu capai walaupun dunia kamu susah sekejap tetapi kamu akan berakhir krisis dunia ini bila kamu mati.
Jika kamu ada dosa ini mati bermula suatu penghidupan yang perit, malah dari sejak nak mati sekalipun sudah bermula, sampai kepada peringkat orang-orang yang "Zalimi an fusu hum" orang-orang yang menzalimi diri mereka dalam kehidupan ini kerana membiarkan dosa, banyak melakukan dosa, tidak cuba untuk membuang dosa, bila nak mati akan datang malaikat kepada mereka dengan pemukul untuk pukul muka, belakang hingga ke punggung mereka.
Ia bermula daripada nyawa nak keluar, tergantung-gantung diantara langit dan bumi, diantara barzakh dengan tidak barzakh, masuk kubur terseksa. Sebab itulah nabi nak lepaskan kita daripada seksaan ini semua, nak pastikan kepada isteri dia Siti Aisyah pun berpesan "Kalau kamu dapat malam Qadar jangan minta yang lain selain daripada minta supaya diampunkan Allah segala dosa".
Begitu juga nabi berpesan kepada sahabat-sahabat yang lain supaya bermohon supaya Allah ampunkan segala dosa.
Penutup
Memang telah menjadi tradisi kita di Darussyifa', kita bertemu sekali dalam bulan Ramadan bersama-sama berbuka puasa, bersolat tarawih dan saya berpeluang untuk berucap mengajak diri saya dan mengajak semua orang. Kita akan manfaatkan Ramadan ini dengan fokus kita supaya tidak ada lagi dosa, kalau ada dosa diampunkan. Caranya kita jangan tambah dosa, yang ada selesaikan. Minta ampun yang berbaki daripadanya. Dan AlhamdulilLah jika kita diambil oleh Allah dibulan Ramadan lebih-lebih lagi jika kita mati di Mekah di bulan Ramadan.
Macam baru-baru ini orang Malaysia yang mati kemalangan jalanraya di Mekah, kita cemburu kerana Allah pilih dia dan tidak pilih kita. Pilih mereka yang dalam musafir, dalam keadaan buat Umrah, dalam bulan Ramadan pula, mati syahid dunia kerana mereka luka parah, kemudian disembahyangkan pula di Masjidil Haram yamg setiap malam sembahyang itu jutaan manusia yang mendoakan mereka masuk syurga. Jadi itu satu keberuntungan kerana Allah pilih mereka. Kita pula menunggu giliran entah dimana..
Maka persediaan kepada kita, pada saya, pada saudara sekalian, kita ambil peluang Ramadan ini untuk Allah ampunkan dosa kita semua. Supaya kita termasuk dikalangan hamba yang akan beruntung khasnya selepas kita kembali kepada Allah swt. Selamat berpuasa, selamat berhari raya, maaf zahir batin, terima kasih kepada yang menganjurkan majlis malam ini Darussyifa' dan kita mengharapkan kepada Allah swt. agar sentiasa menghimpunkan kita sebagai orang-orang yang sentiasa berkasih sayang dan saling bermaaf-maafan menuju kepada kerahmatan dan keberkatan Allah swt.
Wednesday, September 17, 2008
Saintis rakam planet baru
Sekumpulan saintis percaya mereka berjaya merakam gambar pertama sebuah planet yang mengelilingi bintang mirip matahari, lapor sebuah akhbar semalam.
Planet itu sangat jauh dan mempunyai jisim lapan kali ganda lebih berat daripada Planet Musytari dan berada sangat jauh daripada bintangnya iaitu 330 kali jarak Bumi ke matahari.
Sebelum ini, hanya sejumlah planet yang berada di luar sistem suria dirakam bersama bintang kecil dan ia dikenali sebagai si kerdil kelabu.
Imej-imej yang dikenali sebagai bintang muda tersebut dirakam oleh para pengkaji astronomi di Universiti Toronto dengan menggunakan teleskop Gemini North di Mauna Kea, Hawaii.
Laporan berita National Geographic menyatakan mereka tidak pasti sama ada bintang itu merupakan sebuah planet atau ia adalah sebuah objek yang menyerupai planet.
Dalam satu kertas kerja yang diserahkan kepada Astrophysical Journal Letters, saintis-saintis tersebut, David Lafreniere, Ray Jayawardhana dan Marten H. Van Kerkwijk berkata:
"Jika ia bersatu secara graviti, itu bermakna ia mungkin imej berjisim rendah dan kewujudannya dengan perbezaan yang besar boleh memberi cabaran yang besar terhadap teori kewujudan planet," kata saintis berkenaan.
Saturday, September 13, 2008
Mahu Menjadi Bintang
Dan dia melompat lagi. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Terkinja-kinja ke depan terkinja-kinja ke belakang. Tangannya dihayun-hayun tidak tentu arah. Habis satu rangkap, dia berlari ke tengah pentas pula. Aksi lain pula mahu ditonjolkan.
Entah dia faham atau tidak lirik lagu bahasa Inggeris yang dinyanyikannya itu. Kejap menjerit kejap ... ops ... pitching lari. Sedikit sumbang suaranya ketika menjerit satu baris lagu tersebut. Tidak sampai agaknya.
Suaranya hampir hilang malam itu. Baru dia sedar rupanya sakit juga tekak menjerit-jerit walaupun sudah memakai mikrofon. Hurm. Sudah ada mikrofon pun mahu dijeritkan lagi suara. Dia sendiri tidak pasti mengapa. Tiada siapa yang mengajarnya kenapa mikrofon dicipta dan bagaimana menggunakannya dengan betul.
Tamat saja program pada malam tersebut, terus saja ibunya diwawancarai oleh seorang pemberita.
"Saya tahu anak saya memang ada bakat dalam bidang nyanyian. Dan insyaAllah anak saya ini akan berjaya menjadi artis yang popular satu hari nanti."
ii
Berkali-kali ia membetulkan posisi kopiahnya. Namun, sayangnya, berkali-kali pula dia gagal memertahankan posisi kopiahnya. Maklum saja, kopiahnya terlalu besar untuk kepala si bocah berusia lapan tahun itu.
Tapi, kopiah bukan halangan baginya untuk menyihir penonton dengan materi dakwahnya. Benar saja. Si bocah tersebut bak bintang terang. Ia berhasil menarik para penonton untuk memberi sokongan kepadanya lewat SMS.
Sebelum ini ramai meragui kebolehannya.
"Betulkah si budak ini boleh berpidato di depan khalayak ramai? Takut nanti tergagap saja."
Kali ini di hadapan beribu penonton, dia petah berkata-kata menyampaikan sesuatu yang datang memang betul-betul daripada dirinya. Bukan sekadar teks yang dihafal. Sesekali dalam ucapannya, dia menceletuk dengan unsur-unsur humor. Hadirin berasa terhibur, ada juga yang rasa disindir tetapi turut senyum juga melihat kepetahannya berkata-kata.
Apabila dirinya ditanya oleh wartawan dengan riang hati dia menjawab, "Duit hasil kemenangan saya ini akan saya tabung buat biaya persekolahan saya.
Program realiti tv
Sebenarnya saya baru sahaja mengenali rancangan program realiti tv di Indonesia yang diberi nama PILDACIL ini. PILDACIL yang bermaksud Pemilihan Da'I Cilik merupakan salah satu program realiti tv terbitan LATIVI.
Konsep yang dibawa lebih kurang sama seperti Akademi Fantasia. Kanak-kanak yang ingin menjadi finalis PILDACIL perlu menduduki sesi temuduga. Mereka bukan sahaja perlu menghafal Al-Quran malah meraka juga perlu memahaminya dan perlu mempunyai pendidikan agama Islam yang baik.
Hal ini saya lihat sangat berbeza dengan keadaan di Malaysia. Memang ada program realiti tv untuk si kecil tetapi kebanyakkannya berbentuk nyanyian semata. Mahu mencipta bintang kata mereka. Tetapi bintang yang bagaimana?
Kalau satu ketika dahulu semasa saya kecil, seingat saya banyak juga program tv yang bagus untuk kanak-kanak seperti Cerdas Cergas, ALONG(Ini yang paling saya suka), dan lain-lain lagi. Tetapi entah mengapa rancangan di televisyen kini banyaknya dihambat oleh program-program hiburan. Bukannya saya membantah 100% program berbentuk hiburan seperti nyanyian.
Kalau ia sesuatu yang baik apa salahnya. Kalau ia dapat membawa perubahan supaya si cilik berfikir dengan lebih kritis dan mendalam, apa salahnya. Tetapi anda sendiri boleh lihat bagaimana program-program yang baik tidak diteruskan. Sebaliknya diganti dengan program yang lebih menjurus kepada hiburan semata.
Perlu ada nilai tambah
Bukannya tidak boleh berhibur, menyanyi, menjerit dan melolong. Tetapi perlulah ada satu nilai tambah(value add) dalam program tersebut. Sekaligus menarik mereka untuk sama-sama menghayati keindahan Islam dan sejagat melalui kefahaman dan pengamalan yang benar. Mahu menjadi bintang, biarlah menjadi bintang yang terang sinarnya.
Contohnya nilai tambah tersebut, kalau mahu menyanyi itu perlu mengarang lirik atau lagu sendiri. Dan dalam mengarang lirik itu perlulah diajar lirik yang bagaimana yang bagus, yang ada mesej baik untuk disampaikan.
Harapnya tidaklah ada lagi lirik-lirik lagu yang pelik dihasilkan macam ‘tak tahu', ‘mari berjoget', ‘bunga-bunga api' dan macam-macam lagi. Rasanya bila buka radio, saya berfikir-fikir adakah penulis lirik negara ini sudah ketandusan idea lain untuk menulis lirik.
Boleh juga diletakkan nilai tambah yang lain yang lebih bagus. Cuma poinnya perlulah ada sesuatu nilai supaya si cilik itu menjadi lebih kreatif. Bukan hanya sekadar menyanyi sahaja. Ya, biarlah menjadi bintang yang lebih murni terangnya. Supaya tembus jika ditutupi awan gemawan.
Kadang kerana kita memandang rendah terhadap apa yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak, maka kita tidak memikirkan yang program seperti Bintang Kecil dan sebagainya boleh diubah kepada satu program yang lebih baik, yang lebih mencungkil bakat terpendam(jika betul mahu mencungkil la).
Kita memerlukan satu program yang dapat memberi lebih kesan positif terhadap pembangunan negara kita.
Itqan
Saya menulis tentang perkara ini kerana melihatkan sudah terlalu banyak perkara di negara kita khususnya, impak positifnya seakan tidak diambil kira. Atau impaknya tidak kelihatan jika mahu dibandingkan dengan perbelanjaan yang telah dikeluarkan seperti program mengangkasa dan sebagainya.
Mahu melahirkan bintang, bukan hanya dengan duit yang banyak. Tetapi dengan strategi yang betul dan berkesan.
Setiap apa yang perlu kita buat mestilah dilakukan dengan optimum. Itulah prinsip Islam yang penting, Itqan. Setiap apa yang kita lakukan mestilah memikirkan dahulu apa impaknya. Adakah dengan modal sebanyak sekian, impaknya lebih besar dengan modal yang lebih kecil.
Dengan usaha yang minima dan menjimatkan, kita mendapat hasil yang maksima. Jadi, fikirkan semula adakah berbaloi jika program seperti Bintang Kecil itu diteruskan dengan cara yang lama atau perlu ditukar dengan cara yang lain supaya impaknya lebih memberi kesedaran kepada masyarakat. Dan juga kepada para pesertanya.
Persoalan ini juga saya tujukan kepada para pendukung dakwah di IPT. Selalunya program yang dibuat, yang hadirnya adalah muka yang sama atau daripada konco yang sama. Cuba fikirkan satu program supaya orang ‘luar' juga boleh tertarik untuk turut serta.
Setiap yang dilakukan, mestilah memberikan kesan positif yang optimum. Si kecil kita perlukan sesuatu yang lebih mematangkan mereka. Jangan sekali-kali dipandang rendah akan apa yang mereka mampu buat.
Bintang yang bagaimana yang kita mahukan?
Peribadi Seorang Dai'e
Seorang da’ie harus memahami bahawa jalan dakwah tidak pernah sunyi daripada ujian dan dugaan. Al-Quran telah berulang-ulang kali memberikan peringatan dan perangsang;
“Maka bersabarlah kamu seperti orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul- rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka...” (Al-Ahqaf: 35)
“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).”
(Luqman: 17)
Seorang da’ie itu harus mempunyai ketabahan hati agar mampu berhadapan dengan bermacam dugaan dan cubaan. Tambahan lagi, dugaan dan cubaan itu datangnya daripada sumber yang pelbagai.
Cabaran Luaran
Renungilah firman Allah S.W.T. tentang ancaman cubaan dari luar;
“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu jadi sahabat yang setia.” (Al-Israa’: 73)
Jika tiada kemantapan ilmu dan keteguhan iman di dada, pasti kita terpaling sedikit. Dan biarpun kita terpaling hanya sedikit, tetapi balasannya cukup besar.
“Dan kalau Kami tidak memperkuat (hati)mu, nescaya kamu hampir-hampir condong sedikit kepada mereka. Kalau terjadi demikian, benar-benarlah Kami akan rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan begitu (pula siksaan) berlipat ganda sesudah mati, dan kamu tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.” (Al-Israa’: 74-75)
Renungilah kisah penawaran pihak kafir Quraisy kepada Rasulullah s.a.w.;
Kaum Quraisy tidak akan menghalangi pekerjaan Rasul. Islam boleh hidup terus. Malah mereka akan bersedia turut bersama-sama beribadah secara Islam pula, asal orang-orang Islam mahu turut pula, memuja dewa-dewa yang mereka puja. Boleh berganti-ganti setahun ke mari, setahun ke sana.
“Dan apabila ada unsur-unsur kebaikan yang engkau bawa, maka kami akan bersama-sama dengan engkau menjalankannya; dan kami akan ambil bahagian kami daripadanya. Dan jika ada unsur-unsur kebaikan yang ada pada kami, bersama-sama pulalah engkau menjalankannya; dan engkau ambillah bahagianmu daripadanya.”
Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Berlindung aku dengan Allah, jangan sampai aku menysirikkan Dia dengan dengan lainnya.”
Kaum Quraisy pun mengurangkan isi tawaran mereka:
“Kalau begitu, engkau terimalah sebahagian sahaja dari tuhan-tuhan kami, kami akan akui kebenaranmu; dan kami sembah Tuhanmu.”
Dengan cepat dan tegas Rasulullah s.a.w. memberikan jawapan dengan firman Allah S.W.T.
“Katakanlah: Hai orang-orang yang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmulah agamamu, dan untukkulah, agamaku.” (Al-Kaafiruun: 1-6)
Dan cubaan itu akan terus datang dalam pelbagai bentuk. Kadang kala berupa siksaan dan penderitaan. Inilah hakikat yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku.
Bertanya Sa’ad bin Abi Waqqas: “Di antara manusia, siapakah yang mendapat seberat-berat ujian, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Para Nabi, kemudian orang-orang yang sama seperti mereka; lalu orang-orang yang sama dengan mereka itu pula.”
Cabaran Dalaman
Seorang da’ie itu, disebabkan oleh jiwa perjuangan dan idealisme murninya, adalah seorang yang tidak biasa dengan soal-soal mencari nafkah, seorang yang tidak dapat masuk ke dalam sistem kepegawaian yang biasa, seorang yang tidak boleh melalui birokrasi mencengkam, seorang yang tidak boleh terikat dengan apa-apa kepentingan kerana lidahnya lancar menuturkan kata-kata yang kadang-kala tajam dan pedas. Lalu timbul masalah bila masyarakat masih kurang memahami dan masih rendah taraf ekonominya; siapa yang akan membiayai kerja-kerja dakwah? Siapa yang akan membiayai kehidupan para pendakwah?
Apatah lagi bila sudah berkeluarga, cabarannya semakin meningkat. Adakah hendak diutamakan kehidupan pasangan dan anak-anak? Ataupun perjuangan yang harganya adalah kehidupan sederhana dan kadang-kala melarat? Kerana itulah Rasulullah s.a.w. mengingatkan kepada isteri-isterinya:
“...Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi sesiapa yang berbuat baik di antaramu pahala yang besar.” (Al-Ahzab: 28-29)
Sebab itulah, seorang da’ie itu harus memastikan dua perkara:
1. membina pengaruh dan memastikan pengaruh yang diperolehi itu tetap bersih daripada unsur-unsur yang tidak sihat, dan jangan sampai penghormatan sampai ke tahap ta’sub dan memuja-muja.
2. da’ie itu sendiri jangan hanyut dalam populariti dan pengaruh yang diperolehi sehingga dia lupa daratan dan menyimpang dari tujuan dakwah yang sebenarnya.
Sumber Kekuatan
Sumber kekuatan untuk berhadapan dengan segala macam dugaan dan cabaran tidak lain dan tidak bukan adalah daripada Allah S.W.T. Oleh sebab itu seorang da’ie perlu berusaha membina hubungan yang baik dengan Allah S.W.T.
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai satu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. Dan katakanlah: ‘Ya Yuhanku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.’'
(Al-Israa’: 78-80)
Usahlah kita gentar dan gusar lagi andai kita sudah dekat dengan Allah S.W.T. kerana Allah pasti bersama kita. Sepertimana yang dibisikkan oleh Ilahi kepada kedua utusan-Nya, Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. tatkala mereka dalam kegusaran untuk berhadapan dengan Firaun yang zalim.
“...Janganlah kamu berdua khuatir, sesungguhnya Aku beserta kamu berdua, Aku mendengar dan melihat.” (Thaahaa: 46)
Antara Kemahuan dan Kewajipan
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-3)
Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud):
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Serulah (manusia) berbuat ma’ruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja munkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dan Ibn Hibban)
Apabila seseorang individu itu telah menggabungkan dirinya dengan gerakan (menjadi aktivis gerakan), maka adalah perlu untuk individu tersebut taat kepada kepimpinan, patuh kepada segala undang-undang dan peraturan serta beriltizam dengan perjuangan gerakan. Penggabungan dengan gerakan bukan setakat melalui pendaftaran sebagai ahli, bukan juga sekadar berulang-alik ke pusat atau sekretariat, dan bukan juga sekadar menghadiri program-program. Penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh daripada itu, yakni penggabungan yang tidak sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang membuktikan kemantapan ‘aqidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.
Namun, untuk mencapai tahap penggabungan yang sebenarnya itu bukanlah satu proses yang mudah. Aktivis gerakan seringkali terpaksa berhadapan dengan beberapa konflik dan dilema, khususnya dalam menentukan keutamaan dan memilih di antara kemahuan peribadi dan kehendak gerakan. Justeru, adalah penting bagi para aktivis gerakan, khususnya gerakan pelajar, untuk memahami apakah kewajipan-kewajipan mereka dalam gerakan agar tidak mengutamakan kemahuan dan kehendak peribadi melebihi kewajipan-kewajipan yang sebenarnya merupakan tuntutan yang wajib dilaksanakan.
Pertama sekali, adalah penting untuk kita memahami bahawa penggabungan kita dengan gerakan adalah merupakan penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri. Hal ini bermakna, penglibatan kita sebagai aktivis gerakan adalah kerana ‘aqidah yang benar, bukan kerana ikut-ikutan, bukan kerana kawan, dan bukan kerana terpesona atau kagum dengan karismatik seorang pemimpin gerakan itu. Perkara ini berbalik kepada kewajipan penggabungan diri dengan gerakan itu sendiri.
Maka, apabila penglibatan kita sebagai aktivis gerakan itu ditunjangi oleh penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri, penglibatan kita itu akan mengukuhkan lagi kefahaman kita dalam agama dan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perkara ini adalah perkara asas yang sangat penting, kerana visi gerakan tidak akan berjaya kecuali hubungan seseorang aktivis itu dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah benar-benar kukuh dan mendalam dan perhatiannya semata-mata terus bekerja kerana Allah sahaja.
Justeru, aktivis gerakan seharusnya mendapat motivasi untuk terus bergiat dan menyumbang kepada gerakan atas kecintaannya kepada Allah. Apabila yang sebaliknya berlaku, yakni motivasi ataupun dorongan untuk bergiat dalam gerakan datangnya daripada rakan, daripada orang yang diminati serta daripada keuntungan material, maka akan berlakulah gejala futur di mana aktivis gerakan itu akan cepat merasa lesu dan putus asa di tengah-tengah perjuangan. Perkara inilah yang menyebabkan timbulnya sikap acuh tak acuh dan sambil lewa dalam gerakan, walhal setiap aktiviti dan gerak kerja dalam gerakan memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada ahli-ahlinya kerana perjuangan dakwah itu adalah satu perjuangan nafas panjang.
Selain daripada itu, apabila seseorang itu telah menggabungkan diri dengan gerakan, kefahaman tentang agama dan juga tentang budaya dan undang-undang gerakan itu sendiri perlu wujud. Hal ini demikian kerana penggabungan secara membuta-tuli, yang didorong oleh semangat dan perasaan yang melulu adalah ditolak. Atas sebab itulah Al-Maududi meletakkan kelayakan peribadi yang pertama bagi seorang aktivis gerakan ialah kefahaman Islam yang sebenar.
Apabila penggabungan diri seorang aktivis itu dengan gerakan adalah didasarkan kepada ‘aqidah yang benar, serta dipandu oleh ilmu yang jelas dan benar, maka tidak akan wujud aktivis-aktivis gerakan yang menjadikan gerakan itu sebagai kuda tunggangan ataupun batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan peribadi semata-mata. Apabila seseorang aktivis itu menggabungkan dirinya ke dalam gerakan, maka seseorang itu mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk gerakan, menyerahkan kepentingan diri untuk kepentingan gerakan, bukan sebaliknya.
PengorbananDalam soal ini, pengorbanan adalah amat diperlukan. Mana mungkin ada perjuangan kalau tidak ada pengorbanan. Aktivis gerakan, khususnya anak muda dan golongan pelajar, perlu banyak mengorbankan matlamat dan kehendak peribadi demi memastikan matlamat gerakan dapat dicapai. Atas faktor inilah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berulang-ulang kali menyeru di dalam Al-Qur’an untuk berjihad dengan mengorbankan harta dan jiwa.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
“(yakni) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,” (Surah As-Saff: 11)
Seterusnya, seperkara lagi yang perlu difahami oleh aktivis gerakan adalah penggabungan masa depannya dengan gerakan. Hal ini bermakna, masa depan seorang aktivis itu mestilah terikat dengan gerakan dalam apa bentuk dan keadaan sekalipun.
Apabila seseorang aktivis itu telah memahami bahawa penggabungan dirinya dengan gerakan adalah merupakan penggabungan dirinya dengan ajaran Islam itu sendiri, dan juga memahami bahawa keberadaan dalama gerakan itu sendiri merupakan antara tuntutan dalam ajaran Islam itu sendiri, maka dengan sendirinya seseorang aktivis itu akan memahami bahawa ia perlu menggabungkan seluruh kehidupannya, termasuk masa depannya, untuk gerakan. Hal ini tidaklah bermaksud seseorang aktivis itu perlu menyerahkan sepenuhnya kepada gerakan untuk mencatur masa depannya, sebaliknya ia perlu menjadikan misi dan visi perjuangan gerakan (yang berdasarkan kepada tuntutan Islam itu sendiri) sebagai tunjang dalam merancang masa depannya. Dalam erti kata lain, seorang aktivis gerakan Islam perlu memastikan bahawa seluruh aktiviti kehidupannya dapat menyumbang kepada matlamat gerakan Islam.
Penggabungan dalam gerakan ini memerlukan pengorbanan. Namun, pengorbanan itulah yang dituntut dalam perjuangan. Aktivis gerakan perlu mengorbankan segala keinginan dan cita-cita peribadi yang tidak menguntungkan gerakan secara keseluruhan. Aktivis gerakan adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk melakukan tajdid Islami itu sebagai matlamat hidup mereka. Seseorang aktivis itu mungkin melakukan aktiviti-aktiviti lain untuk faedah rohani dan jasmaninya, tetapi tujuan hidupnya tetap merupakan perjuangan tadi dan bukan untuk tujuan lain.
Kesimpulannya, aktivis gerakan itu perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang peranan dan tanggungjawabnya untuk menggabungkan dirinya dengan gerakan, dan seterusnya mengorbankan seluruh kehidupannya demi menyumbang ke arah melaksanakan misi dan visi perjuangan gerakan.
Allah jua yang Maha Mengetahui.
Thursday, August 21, 2008
Solat Sunat Tahajjud
CARA SOLAT SUNAT TAHAJJUD
Al-Quran Sebagai Pembela di Hari Akhirat
Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya." Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?"
Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?" Maka berkata Al-Qur'an :"Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayahnya dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."