Thursday, October 14, 2010

DETIK UMUR


Masa berjalan begitu laju
Tidak pernah berhenti walaupun sedetik
Ertinya detik umur kita meninggalkan kita
Kalau begitu setiap detik umur kita berkurang

Tapi kita tidak terasa
Setiap detik dunia meninggalkan kita jauh
Setiap detik pula akhirat mendekati kita
Kalaulah kita cintakan dunia
Apa yang kita cinta makin jauh terpisah
Sedangkan Tuhan dan akhirat
Tidak pernah kita cinta, makin dekat

Alangkah terseksanya jiwa
Meninggalkan apa yang disuka dan dicintai
Bertambah terseksa lagi yang dihadapan kita
Tidak pernah kita cinta
Ertinya kita pergi ke akhirat tidak membawa apa-apa
Yang kita cinta hendak ditinggalkan
Yang tidak cinta akan berhadapan
Aduh! Dua kali penderitaan
Meninggalkan yang kita cinta
Hendak bertemu dengan yang tidak kita cinta
Ingatlah roda umur kita makin laju ke hadapan
Dunia dan yang kita cinta makin jauh kita tinggalkan

Tidak terfikirkah oleh kita
Apakah yang hendak kita bersama
Untuk satu kehidupan yang begitu lama



Wednesday, August 11, 2010

bulan keberkahan


Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

Narrated Abu Huraira: The Prophet, Rasulullah (peace be upon him) said,

"When Ramadan begins, the gates of Paradise are opened."   [Bukhari]

Kehadiran bulan ramadan merupakan satu rahmat daripada ALLAH. Ia merupakan bulan di mana ALLAH melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-NYA. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya golongan yang benar-benar beriman dan bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan. Antara keistimewaan yang terdapat pada bulan Ramadan ialah:


1. Disyariatkan Ibadah Puasa

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi ALLAH, iaitu puasa. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu." ­[Riwayat Imam Ahmad]

2. Bulan Diturunkan Al-Quran

Kalamullah telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba ALLAH untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Firman ALLAH S.W.T:

"(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah."
[Surah al-Baqarah: 185]

3. Pintu Rahmat (Belas Kasihan Terhadap Hamba-NYA) Terbuka Luas

Pada bulan Ramadan pintu-pintu Rahmat dibuka. ALLAH meluaskan rahmat-NYA agar menaungi seluruh hamba-hamba-NYA yang tekun beribadah dan taat kepada-NYA dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." ­[Riwayat Muslim]

4. Pintu Langit Terbuka Luas dan Pintu-Pintu Neraka Tertutup Rapat

ALLAH membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadan yang mulia ini dan pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadan yang mulia ini hamba-hamba ALLAH yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-NYA terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup." [Riwayat al-Bukhari]

5. Syaitan dan Jin Dirantai

Pada bulan Ramadhan, syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadan, dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka." [Riwayat al-Tirmizi]

6. Terdapat Lailatul Qadar

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu lailatulqadar.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya KAMI telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar." [Surah al-Qadr: 1-5]


p/s: Ramadhan hanya setahun sekali, dan mungkin kita tidak mampu bertemu dengannya lagi tahun depan. Semoga Ramadhan penuh berkah ini membawa seribu makna buat kita semua. Dan bersama-sama kita membina taqwa dalam bulan yang penuh rahmah ini. Insya Allah.



Wednesday, July 14, 2010

AZAB MENDENGAR AZAN


Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya
yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa
kebanyakan orang yg nazak, hampir ajal tidak dapat
berkata apa-apa.. lidahnya kelu, keras dan hanya mimik
mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut'.

Diriwayatkan sebuah hadis yg bermaksud: "Hendaklah
kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah
akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya
."

Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan
diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan
berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib
menghormati azan. Banyak fadhilatnya. Jika lagu
kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan
diri.

Mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri?
Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah
akan kelukan lidahnya ketika nazak. Kita takut dengan
kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita
tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah.." yang
mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika
nyawanya akan dicabut Allah dgn izinNya menjanjikan
syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama
menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah
ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut. "Ya
Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian
yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap
kalimah "Lailahaillallah.." semasa sakaratul maut
menghampiri kami. Amin.. amin.. amin Yarobbal
a'lamin.."


WASIAT NABI MUHAMMAD S.A.W. kepada SAIDINA ALI R.A.;

Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda2nya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yg haram.
3) Merendahkan diri.


Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda2nya:
1) Merahsiakan ibadahnya.
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.


Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda2nya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam
keharaman.


Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda2nya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Sunday, July 4, 2010

kata alu-aluan ketua BADAR

Assalamualaikum dan Salam Sejahteta..
             
Selamat datang diucapkan kepada seluruh warga Universiti Teknologi Malaysia khususnya mahasiswa tahun satu bagi sesi 2010/2011. Tahniah atas kejayaan mendapat tempat di universiti yang menjadi kebanggaan kita bersama, Universiti Teknologi Malaysia. Kejayaan ke sini sudah pasti menjadi kejayaan yang diidamkan bagi seseorang pelajar khususnya yang meminati bidang kejuruteraan. Sudah pasti mahasiswa baru tertanya-tanya apa keistimewaan yang ada pada tempat yang dinamakan ‘universiti’. Berdasarkan seorang sarjana;

“..universiti bukan hanya bangunannya, bukan hanya kenyataan zahirnya. Sesungguhnya, dalam sejarah universiti mana pun, pengajar atau gurunya dan yang belajar daripada mereka adalah unsur utama kewujudan universiti. Jadi cemerlang atau tidak universiti bergantung pada ilmu pengetahuan dan pengenalan yang ada pada diri guru masing-masing. Sekiranya ilmu yang ada pada guru itu tidak matang serta mendalam, maka tentu sahaja taraf universiti itu tidak akan cemerlang.” (Al-Attas, S.M.N. 1998)


Budaya Ilmu

Budaya Ilmu juga sesuatu yang menarik yang ada pada sesebuah universiti. Saya juga ingin merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.

Ketiga-tiga rukun ini perlu diamalkan secara bersepadu dan seimbang. Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidak berbekal ilmu, maka ia tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesanan yang berganda. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual-beli. (Dato’ Saifuddin Abdullah, 2009)

Menghayati merupakan elemen yang penting yang ada pada sesebuah universiti.

Tradisi Mencabar & Apati

Tertarik dengan pesanan bekas Naib Canselor Unversiti Malaya, Prof. Ungku Aziz dalam kata pengantar buku ‘Mahasiswa Menggugat’ karangan Muhammad Abu Bakar: Biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.

Mencabar menyebabkan mereka sentiasa berfikir dalam segala tindak tanduk dan perbuatan. Mereka tidak mendungukan diri dalam segala kritis-kritis yang yang dikenakan dan tidak membuta tuli dalam memberikan kritikan. Mahasiswa mencabar lebih terkehadapan dalam menentukan masa hadapan mereka. Realiti dunia mahasiswa kini yang perlu dielakkan khususnya para mahasiswa baru yakni apati yakni sikap tidak endah terhadap sesuatu yang wajar diberi perhatian. Sikap seperti ini menyebabkan segala macam perkara yang dianjurkan dan dicanangkan kepimpinan mahasiswa dan universiti bakal tergendala akibat kurang sambutan. Ini menyebabkan visi, misi dan objektif universiti bakal tidak tercapai.

Penutup

Kejayaan sesebuah universiti khususnya mahasiswa bukan peranan pentadbiran sahaja dan juga peranan mahasiswa sahaja. Dalam menggerakkan universiti semua pihak harus memainkan peranan mereka. Mahasiswa baru harus sedar kemasukan mereka ke universiti adalah satu pintu bagi mereka mempelajari nilai-nilai kehidupan. Mahasiswa baru, bersedialah dan selamat maju jaya!.

Salam Islamisasi.


Tuesday, June 1, 2010

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barang siapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :

1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.

2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.

3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.

4. Orang lelaki yang melarikan diri.

5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).

6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.

7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.

8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.

9. Orang-orang yang suka makan riba'.

10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah."

Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."