بسم الله الرحمن الرحيم
||Kisah
Ulama Menjaga Waktu dan Ilmu||
Kisah Ibnu Nafis
Beliau adalah seorang doktor
perubatan yang terkenal. Beliau juga adalah orang pertama yang menjumpai teori
perjalanan darah pada kurun ketujuh Hijrah.
Diriwayatkan bahawa Ibnu Nafis
seorang yang tidak suka membuang masa. Apabila ingin menulis beliau akan
memalingkan mukanya menghadap dinding, kemudian mula menulis daripada ilmu
pengetahuannya tanpa merujuk apa-apa kitab. Dikatakan beliau menulis laju
seperti air yang mengalir. Apabila penselnya tumpul beliau akan mencampaknya ke
suatu tempat khas kemudian mengambil pensel baru, oleh yang demikian beliau
akan pastikan pensel-pensel yang telah diasah tersedia di atas mejanya sebelum
memulakan penulisan kerana ditakuti masanya akan terbuang dengan mengasah
pensel-pensel berkenaan.
Satu ketika, beliau masuk tandas
untuk mandi, kemudian beliau keluar kembali seraya meminta pen, dakwat dan
kertas, justeru menulis satu karangan mengenai denyutan nadi. Setelah itu
beliau masuk semula ke dalam tandas untuk menghabiskan mandiannya.
Kisah Ibnu Jauzi
Setiap kali selepas mengasah
penselnya, Ibnu Jauzi akan mengumpul habuk tersebut di dalam satu bekas khusus.
Apabila beliau jatuh sakit, beliau mewasiatkan agar habuk tersebut dijadikan
bahan bakar untuk memasak air mandian mayatnya. Apabila beliau wafat, sahabat
dan kerabat beliau melaksanakan wasiat yang ditinggalkan, ternyata habuk pensil
tersebut sempat memanaskan air mandian mayatnya malah ianya masih berbaki
sedikit.
Kisah Imam at-Tabari
Beliau seorang ahli tafsir yang
masyhur. Beliau juga terkenal dengan pengawasannya terhadap ilmu pengetahuan.
As-Simsimi berkata: “Beliau menulis setiap hari empat puluh helaian dalam masa
empat puluh tahun.”
Muridnya (al-Qadhi Abu Bakar) telah
meriwayatkan bahawa beliau seorang yang terlalu menjaga rutin hariannya.
Selepas mengambil sarapan pagi beliau akan tidur kemudian bangun dan solat
zohor. Sejurus kemudian beliau akan mula menulis hingga masuk waktu Asar.
Apabila selesai menunaikan Fardhu Asar, dia akan bersama murid-muridnya
menelaah ilmu sehingga Maghrib. Selepas Maghrib pula beliau akan mengajar ilmu
Feqah sehingga larut malam.
Kalau kita perhatikan, betapa beliau
pandai membahagikan masa dan usianya demi kepentingan agama, masyarakat dan
dirinya sendiri. Beliau tidak pernah membazirkan walaupun sesaat pada perkara
yang tidak berfaedah, masa baginya biarlah digunakan untuk perkara-perkara yang
berfaedah ataupun untuk mengambil faedah daripada orang lain.
Sebuah kisah lain, mengisahkan
kehidupan Imam at-Tabari yang tidak boleh terpisah daripada ilmu. Kisah ini
diriwayatkan oleh salah seorang sahabat beliau (al-Murafi bin Zakaria) yang
datang menziarahinya ketika beliau sakit. Apabila Imam at-Tabari mendengar
salah seorang pelawat membaca doa ke atasnya, lalu beliau meminta agar
diberikan sebatang pen dan sehelai kertas, kemudian beliau menulis doa
tersebut. Salah seorang daripada mereka bertanya: “Apakah kamu masih menulis
ilmu sedangkan kamu dalam keadaan begini?” Jawab beliau: “Sememangnya menjadi
kewajipan setiap manusia untuk tidak meninggalkan ilmu berlalu pergi begitu
sahaja hingga mati.”
Kisah Sulaim ar-Razi
Imam Sulaim ar-Razi merupakan
seorang yang amat mementingkan masa dan ilmu, warak dan selalu menghisab
dirinya. Beliau tidak pernah meninggalkan sedetik waktu tanpa faedah. Sama ada
beliau akan belajar, mengajar, menyalin ataupun membaca. Diriwayatkan daripada
beliau sendiri: “Aku sempat menghabiskan satu juzuk (bab) bacaanku di dalam
perjalanan pulang ke rumahku.”
Perkara ini diakui oleh salah
seorang sahabat beliau (al-Muammil bin al-Hassan): “Aku terlihat Sulaim
mengasah pensel sambil mulutnya terkumat kamit menyebut sesuatu. Apabila
ditanya, aku mengetahui beliau sedang membaca al-Quran semasa mengasah
penselnya, kerana ditakuti masa akan berlalu begitu sahaja tanpa beliau
mengambil apa-apa faedah ataupun suatu tindakan yang positif.” Inilah dia
seorang ulama’ Islam yang hidup di zaman silam, oleh sebab itulah tidak
dinafikan bahawa Islam pada zaman mereka telah melalui satu zaman kegemilangan
yang tidak ada tolok bandingnya.
Kisah Imam al-Juwaini
Beliau adalah Imam Masjid al-Haram
dan Masjid an-Nabawi. Katanya: “Aku tak tidur dan tak makan pada kebiasaannya,
tetapi apabila terlalu mengantuk aku tertidur, sama ada pada waktu malam
ataupun siang, begitu juga aku makan jika aku terasa nak makan, tidak kira masa
dan ketika.” Hal ini menggambarkan betapa kelazatannya hanya tertumpu kepada
ilmu semata-mata.
Kisah Abu al-Wafa’
Imam Abu al-Wafa’ pernah berkata:
“Tidak boleh untukku persiakan setiap detik kuniaan Yang Maha Esa buatku, hatta
kalaulah lidahku kelu untuk meneruskan hafalan dan mataku penat menatapi patah
tulisan, aku akan berusaha menggerakkan fikiranku dengan memikirkan sesuatu
cadangan mahupun permasalahan, aku tidak akan berasa lega dan berpuas hati
melainkan setelah aku mendapati jalan penyelesaiannya.”
“Aku juga mendapati, kesusahan
menghadapi ilmu ini pada usiaku lapan puluhan lebih daripada usiaku dua
puluhan. Aku juga berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan masa makanku,
kadangkala hanya memadai dengan sepotong kek dan seteguk air sejuk. Sehingga
aku dapat meluangkan semaksima masa yang mungkin untuk ilmu pengetahuanku.”
Sesungguhnya harta yang paling berharga di sisi ulama ialah waktu dan ilmu.
Kerana waktu itu tidak akan menunggu seseorang sebaliknya tanggungjawab yang
datang bertandang pula bertindan-tindan.
Beliau berkata, “Sesungguhnya aku
takut berbuat dosa pada Tuhan Yang Rahman selama lima puluh tahun. Kerana
selama masa tersebut aku telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang mungkin tidak
bertepatan dengan kehendak Allah. Maka doakanlah agar aku diampuni-Nya.”
Beliau meninggal dunia tanpa
meninggalkan apa-apa melainkan kitab-kitabnya yang banyak serta beberapa helai
pakaian yang hanya cukup untuk dijadikan kain kafan serta membayar segala
hutang-hutangnya. Lihatlah betapa agungnya pengorbanan seorang hamba terhadap
tuhannya yang Esa. Walaupun telah banyak mengorbankan masanya demi kepentingan
agama, tapi masih tidak berpuas hati, masih lagi takut seksa Ilahi. Tapi kita,
apakah yang kita cari? Renungilah perbuatan-perbuatanmu wahai diri.
Kisah Imam ar-Razi
Imam ar-Razi yang merupakan seorang
ahli tafsir yang terkemuka pernah berkata bahawa beliau sangat menyesal kerana
tidak dapat mengulangkaji ilmu ketika makan. Sesungguhnya masa dan usia itu
amat mahal harganya.
Kisah Ibnu Asakir
Diriwayatkan daripada anaknya,
al-Qasim: “Ayahku seorang yang terlalu menjaga solat berjamaah dan bacaan
al-Quran. Beliau akan khatam al-Quran tersebut pada setiap hari Jumaat dan
setiap hari di bulan Ramadhan. Beliau juga sentiasa beriktikaf dalam masjid dan
membanyakkan perkara-perkara sunnat serta zikir.”
Salah seorang muridnya (Abu
al-Mawahib) juga berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang boleh
menandingi Ibn Asakir di dalam banyak perkara, seperti mengikuti cara ibadah
yang sama sepanjang empat puluh tahun, sentiasa berada di saf yang pertama
setiap waktu sembahyang kecuali jika ada keuzuran, sentiasa beriktikaf di
masjid pada bulan Ramadhan dan sepuluh Zulhijjah, tidak meminta untuk menjadi
seorang pemimpin ataupun khatib (pembaca khutbah, kerana martabat pembaca
khutbah pada masa itu terlalu tinggi), beliau juga selalu menasihati manusia ke
arah kebaikan dan melarang mereka daripada berbuat kejahatan, tanpa gentar
kepada sebarang ugutan ataupun celaan orang-orang yang mencela.”
Kisah Ibnu Malik
Beliau adalah seorang ahli Nahu yang
terkenal. Seorang yang banyak merujuk dan cepat menyemak. Beliau tidak akan
menulis sesuatu tanpa merujuk kepada kitab asal. Para sahabatnya tidak pernah
melihat beliau membuat perkara yang sia-sia, kecuali melihat beliau sama ada
sedang solat ataupun membaca al-Quran ataupun mengarang ataupun membaca kitab.
Apabila anak lelakinya datang
melawat beliau masa sakitnya, bersama anak tersebut lapan bait (baris) syair,
maka beliau meminta agar anaknya membaca syair-syair tersebut kemudian beliau
menghafalnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kisah-kisah di atas dirujuk dari
kitab “Nilai Masa di Sisi Ulama” karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.
Kitab ini antara lainnya menceritakan kesabaran para ulama silam mencari ilmu
walaupun terpaksa berpisah daripada isteri kesayangan, anak yang menjadi cahaya
kehidupan, bahkan mereka sanggup mengurangkan rutin harian mereka seperti
makan, minum, serta tidur.
Oleh sebab itu, tidak pelik jika
kita perhatikan Islam pernah gemilang pada zaman dahulu, malah kita masih
berbangga dengan kegemilangan tersebut hingga ke hari ini. Apakah cukup hanya
dengan kita berbangga? Adakah Islam akan kembali gemilang dan memerintah dunia
hanya kerana kita bangga dengan apa yang umat Islam telah capai dahulu?
Jawabnya, tidak.
Justeru itu, marilah kita mendalami
kisah hidup para ulama’ yang hidup pada zaman tersebut, pada tangan merekalah
datangnya kegemilangan. Apakah yang mereka lakukan sehingga mereka menjadi
begitu hebat? Inilah dia pegangan mereka, mereka sanggup melakukan
segala-galanya kerana pentingkan ilmu, hanya demi agama Allah yang suci murni.
Semoga dengan kisah-kisah ini kita
mendapat motivasi dan ibrah untuk kebaikan hidup kita. Insya Allah.
والله أعلمُ بالـصـواب
SEBARKAN KASIH SAYANG ALLAH#
BADAR KTC BERSAMAMU#